KUALA LUMPUR, 22 Zulkaedah 1438H, Selasa – Tarikh bagi melihat anak bulan Zulhijah untuk menetapkan Hari Raya Qurban adalah pada petang 22 Ogos bersamaan 29 Zulkaedah 1438 Hijrah, menurut kenyataan Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.
Ia akan mengisytiharkan pada malam itu juga melalui radio dan televisyen tarikh 1 Zulhijah dan tarikh 10 Zulhijah iaitu tarikh bagi Hari Raya Qurban.
Majlis Raja-Raja telah mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh Hari Raya Qurban adalah berdasarkan rukyah (melihat anak bulan) dan hisab (pengiraan secara matematik dan astronomi).
Menurut Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, jawatankuasa-jawatankuasa berkenaan telah diperkenankan untuk melihat anak bulan Zulhijah di tempat yang ditetapkan.
Pantai Pasir Panjang, Mukim Pengkalan Baru, Daerah Manjong, Perak; Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Acheh, Pulau Pinang; Kampung Pulau Sayak, Kuala Muda, Kedah; Pemandangan Indah, Pulau Langkawi, Kedah; Menara Alor Setar, Alor Setar, Kedah; Bukit Besar, Kuala Terengganu, Terengganu; Bukit Geliga, Kemaman, Terengganu; Pulau Perhentian, Besut, Terengganu; Balai Cerap Kusza, Mukim Merang, Setiu, Terengganu.
Bukit Peraksi, Pasir Puteh; Bukit Kampong Tembeling, Mukim Manjur, Daerah Olak Jeram, Kuala Krai; Menara Bangunan SEDC, Jalan Tengku Putera Semerak dan Kota Baharu yang kesemuanya di Kelantan.
Esplanade Luak, Miri; Teluk Bandung, Kuching dan Tanjung Batu, Bintulu, kesemuanya di Sarawak; Balai Cerap Al-Biruni, Tanjung Dumpil, Putatan di Sabah; Bukit Tanjong Batu, Nenasi, Gunung Berincang, Cameron Highlands, Bukit Pelindong, Kuantan kesemuanya di Pahang; Tingkat 13 Menara Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa, Labuan; Menara Kuala Lumpur, Kuala Lumpur; Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, Putrajaya dan Kuala Sungai Baru, Simpang Empat di Perlis. – Bernama
sumber : ismaweb
www.indahnyaislam.my