RIYADH – Arab Saudi pada Rabu, menafikan sedang mencari jalan perdamaian dengan Iran dan menyifatkan laporan berhubung perkara itu sebagai tidak berasas, lapor agensi berita China Xinhua memetik agensi berita Arab Saudi.
Beberapa akhbar minggu ini melaporkan, Menteri Dalam Negeri Iraq, Qasim al-Arraji dilantik Arab Saudi untuk menjadi pengantara kepada rundingan dengan seterunya Iran.
Arab Saudi memutuskan hubungan diplomatik dengan Iran pada 2016 kerana menuduh negara itu mencampuri urusan negara.
Konflik kedua-dua pihak memuncak pada Januari tahun lepas, apabila penduduk Iran menyerang Kedutaan Arab Saudi di Teheran kerana membantah tindakan Arab Saudi menjatuhi hukuman pancung ke atas seorang ulama terkenal Syiah.
Sumber Arab Saudi dalam satu kenyataan menegaskan, negaranya menolak sebarang bentuk hubungan dengan Iran, dan menuduh negara itu menyebarkan fahaman keganasan dan sektarianisme.
Pentadbiran kerajaan Iran sekarang dilihat tidak boleh dibawa berunding kerana tidak menghormati peraturan diplomatik serta norma dan prinsip hubungan antarabangsa.
Menerusi kenyataan sama, Arab Saudi menyeru dunia untuk menghalang tindakan Iran mewujudkan permusuhan dan memaksa Iran berpegang pada undang-undang antarabangsa dan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. – Bernama
www.indahnyaislam.my