Cabaran dakwah Multiracial di Malaysia

 

Nabi Muhammad SAW pernah bersabda, sampaikanlah walaupun hanya satu ayat. Tapi tak ramai yang buat? Itu cabaran pertama dakwah di Malaysia masa kini”.

FIRDAUS Wong Wai Hung, 34, dilahirkan sebagai etnik Cina tetapi fasih berbahasa Melayu, Hokkien dan Mandarin merupakan antara golongan pendakwah Islam muda yang progresif di negara ini.

Beliau memilih pendekatan disiplin dakwah menerusi kaedah multiracial dalam mengharungi cabaran dakwah sehingga sampai ke peringkat global antaranya membantu masyarakat Islam di Uganda selain merancang meluaskan dakwah sehingga ke Botswana, Zambia, Zimbabwe, Kenya dan Afrika Selatan.

Berdakwah tanpa prejudis

Firdaus Wong selaku Presiden Multiracial Revert Malaysia (MRM) turut memilih pendekatan berdakwah secara sederhana tanpa sebarang prejudis dalam menyampaikan misi dakwah dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini yang memiliki kepelbagaian kaum, agama dan kepercayaan tersendiri.

Para daie MRM dibentuk agar dapat menyampaikan misi dakwah kepada bukan Islam di samping dapat mengenali agama Islam yang indah melalui pendekatan baru yang lebih rasional dan logik sesuai dengan fitrah semulajadi manusia yang dambakan kehidupan beragama.

“MRM untuk semua bangsa. Kami berkhidmat untuk Allah,” katanya.

Sebagai sebuah negara berbilang kaum dan agama, Firdaus mengakui antara cabaran utama dakwah di Malaysia adalah kurangnya kesedaran bahawa usaha dakwah itu wajib dalam kalangan orang Islam itu sendiri.

Umumnya masyarakat Islam di Malaysia selama ini pada hematnya, masing-masing merasakan kerja-kerja dakwah itu bukan tugas mereka sebaliknya merupakan tugas hakiki pegawai-pegawai di Jabatan Agama Islam setiap negeri dan ustaz-ustaz sahaja.

“Tapi, Nabi Muhamad SAW pernah bersabda, sampaikan walaupun hanya satu ayat. Tapi, tak ramai yang buat. Itu cabaran pertama dakwah di negara kita,” katanya yang giat menjalankan kerja-kerja dakwah melalui Program Street Dakwah Malaysia atau dakwah jalanan bagi mendekati golongan bukan Islam sekurang-kurangnya sebulan sekali.

Justeru apabila mendapat jemputan dan berpeluang mengadakan ceramah atau tazkirah di masjid dan surau, fokus pertama Firdaus ialah mengambil kesempatan menerangkan kewajipan berdakwah dalam kalangan orang Islam itu sendiri bagi menerapkan kesedaran berdakwah sesuai dengan perintah agama.

“Bila dapat jemputan fokus utama saya ialah memberi kesedaran pentingnya kerja-kerja dakwah kepada masyarakat Islam. Jadi saya nak perhebatkan lagi kesedaran dan kewajipan dakwah agar setiap umat Islam mengembeling tenaga mereka untuk berdakwah menurut kapasiti dan kemampuan masing-masing,” katanya yang pernah berguru dengan Sheikh Hussain Yee, Dr. Zakir Naik, Sheikh Assim Al Hakeem, Bro Shah Kirit dan Bro Kamaruddin Abdullah.

Mengimbas kembali pengalaman memeluk agama Islam kira-kira 12 tahun lalu, Firdaus mengakui meskipun kehidupannya setiap hari di kelilingi masyarakat Islam, manakala rakan-rakannya majoriti adalah orang Muslim tetapi tiada sesiapa pernah mengajaknya menganut agama Islam yang suci itu.

Firdaus memeluk Islam atas inisiatif sendiri setelah mempelajari sendiri keindahan agama Islam melalui buku-buku dan kitab agama. Setelah yakin, inilah agama yang sebenarnya mentauhidkan Allah, Firdaus membuat keputusan melafazkan dua kalimah syahadah di Pejabat PERKIM Jalan Ipoh pada 10 Ogos 2005.

Mengakui banyak perubahan dapat dirasai Firdaus selepas memeluk agama Islam terutama berkaitan disiplin, soal halal haram dan tahap kesabarannya jauh lebih baik, berbeza berbanding dulu.

Taksub dengan Dr. Zakir Naik?

Walaupun anak muda ini memeluk agama Islam pada tahun 2005 tetapi sebelum itu beliau belum pernah mengenali pendakwah terkenal Dr. Zakir Naik. Firdaus hanya berpeluang mendampingi Dr. Zakir secara lebih dekat semasa menjadi protege pendakwah terkemuka itu menerusi program International Da’wah Training Programme (IDTP) kelolaan Islamic Research Foundation (IRF) di Mumbai, India dari 16 Januari hingga 29 Februari 2016.

Melalui program tersebut, Firdaus tidak menyangka beliau diumumkan antara tiga protege terbaik Dr. Zakir Naik. Ketika itulah Firdaus dapat melihat keistimewaan Dr. Zakir yang petah berhujah, cekap memetik nas-nas al-Quran, lengkap nama surah dan jumlah ayat serta mampu menyebut rujukan dari kitab agama lain seperti Bible, Upanishad, Puranas, Vedas, Manusmriti, Tipitaka, Grant Guru Sahib dengan fasih dan tepat bagaikan sebuah kitab bergerak.

“Saya sebenarnya bukanlah taksub atau teruja dengan beliau(Dr. Zakir Naik) tetapi saya nampak kegigihan beliau dalam menyebarkan agama Islam. Itu menjadikan saya hormat beliau.

“Usaha beliau memartabatkan Islam pada mata dunia, pengorbanannya. Beliau tidak kaya tetapi beliau sanggup laburkan duit untuk agama. Beliau sanggup berbelanja untuk agama. Itulah keistimewaan Dr. Zakir Naik,” katanya yang giat menjalankan kerja-kerja dakwah ke serata pelosok dunia termasuk di Uganda dengan kerjasama Northern Islamic Muslims Daawa Association of Uganda (NIMDAU).

Uganda antara 20 buah negara termiskin di dunia yang menjadi destinasi dakwah MRM selain Zambia, Zimbabwe, Botswana, Uganda, Kenya dan Afrika Selatan.

Pendakwah tidak faham metodologi dakwah

Cabaran terbesar dakwah di Malaysia yang perlu dilalui pendakwah muda sekarang ialah mereka ingin berdakwah tetapi tidak tahu kaedah bagaimana hendak mendekati dan memenangi hati orang bukan Muslim melalui pendekatan perbandingan agama. Pendakwah juga tidak petah bercakap dan berhujah sepertimana dilakukan pendakwah terkenal Dr. Zakir Naik.

Pengarah Kajian dan Penyelidikan MRM, Ahmad Iqram Mohammad Noor, 24, menyatakan cabaran itu boleh diatasi melalui kursus menguasai teknik dakwah berkesan supaya misi dapat dilaksanakan dengan jayanya.

“Menerusi Kursus Metodologi Dakwah (KMD) yang dianjurkan oleh MRM bakal daie diajar dan dibimbing bagaimana untuk menjadi pendakwah yang baik dan berkesan,” katanya.

Iqram menyatakan, MRM turut berdakwah melalui media sosial seperti Facebook, Youtube selain penerbitan buku-buku agama yang menjawab pelbagai isu semasa.

Setakat ini Iqram telah menulis lima buah buku antaranya Yahudi, Kristian, Hindu dan Buddha berasal Dari Islam?, Kau Sembah Apa? Berdailog Dengan Non Muslim, Menilai Persamaan Al-Quraan, Hadith & Bible Dalam Kehidupan Manusia, Misteri Bahtera Nabi Nuh dan Benarkah Ini Penguat Keimanan? – Utusan

www.indahnyaislam.my

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts