Hajar atau dalam bahasa tempatan kita panggil sebagai Siti Hajar (siti yang bermaksud nenek), ibu kepada Nabi Ismail a.s, serta isteri kedua kepada Nabi Ibrahim a.s, merupakan seorang mukminah yang sangat penyabar, tabah dan kental jiwnya. Juga merupakan seorang guru yang bersinar di dalam sejarah wanita muslimah dengan pengalaman dahsyat yang dilalui di dalam hidupnya.
Hajar sentiasa diuji sepanjang hidupnya. Beliau diuji di dalam rumahnya, diuji dengan suaminya, dan beliau diuji juga pada anaknya yang seorang. Alangkah kuatnya jiwa hajar! Betapa teguhnya iman Hajar! Betapa beratnya ujian padanya!
Tetapi berbekalkan kesabarannya yang amat tinggi, dan kesedarannya yang tinggi terhadap tabiat risalah, beliau sedar akan tanggungjawab serta amanah yang besar yang diberikan kepada suaminya dan dirinya sendiri, Hajar taat dan patuh dalam menuruti perintah Allah.
Pendahuluan:
Hajar hidup bersama tuannya Sarah dan suaminya Ibrahim di mesir, kemudian berpindah ke Palestin. Di Palestin, Hajar merupakan seorang khadam yang sangat baik dan rajin serta ikhlas berbakti kepada tuannya Sarah. Akhlaknya yang mulia serta muamalahnya yang baik, membuatkan Sarah menghormatinya dan melayaninya seperti kawannya sendiri. Sarah tidak akan memberatkan Hajar dengan pekerjaan yang tidak mampu dia lakukan. Ini melahirkan rasa kasih sayang yang kuat antara Hajar terhadap Sarah.
Nabi Ibrahim mengajaknya beriman kepada Allah, dan Hajar mengimaninya. Hajar juga mengimani bahawa Nabi Ibrahim adalah pesuruh Allah. Hajar sangat berbahagia dan berbesar hati kerana telah dipindahkan dari istana raja yang zalim ke pangkuan Sarah dan Ibrahim Nabi Allah dan dapat berkhidmat kepada mereka.
Pengajaran daripada kisah Hajar:
1. Sentiasa bersangka baik terhadap suami.
“Adakah Allah yang memerintahkan kamu melakukannya?”
Inilah kata-kata siti hajar yang solehah kepada suaminya Ibrahim, apabila beliau ditinggalkan di kota suci Mekah yang ketika itu merupakan suatu padang pasir yang tandus bersama bayinya Ismail, hanya berbekalkan sekantong air dan sebekas kurma. Soalan yang memlambangkan kekuatan iman dan keteguhan aqidah yang berakar umbi dalam diri seorang wanita yang agung.
Kita dapat melihat bagaimana tanggapannya terhadap suaminya yang mukmin lagi dikasihi. Sedangkan dia dan anaknya yang masih bayi ditinggalkan oleh suaminya di tengah-tengah padang pasir yang tandus, tiada air dan tiada tumbuhan. Hanya berbekalkan sekantung air dan sekantung tamar.
Hajar tidak beranggapan bahawa perbuatan suaminya itu merupakan sesuatu yang memudharatkannya, juga dia tidak beranggapan bahawa suaminya ingin berpisah dengannya.
Subhanallah!, kesemua kesusahan dan ujian itu diterima begitu sahaja dengan kekuatan iman dan tawakkal di dadanya. Tidak ada dalam kamus wanita muslimah untuk beranggapan yang tidak baik kepada Tuhannya, juga kepada pembawa risalah-Nya.
Sekiranya tiba-tiba terlintas di fikirannya akan kesusahan yang dialami di saat imannya lemah, dia akan cepat-cepat teringatkan ayat-ayat quran yang sentiasa akan mengembalikan fikirannya yang rasional. Bersangka-sangka yang tidak baik kepada suami boleh mengakibatkan wanita dicampakkan ke dalam api neraka, sebagaimana sabda Rasulullah saw:
“Aku diperlihatkan neraka. Dan aku melihat kebanyakan penghuninya adalah para wanita. Mereka bertanya: “Kenapa wahai Rasulallah?” Baginda menjawab, ‘kerana kekufurannya.’ Lalu mereka bertanya: “Apakah kufur kepada Allah?” Baginda menjawab: “Kufur terhadap pasangannya, dengan mengingkari kebaikannya. Jika anda berbuat baik kepada salah seorang wanita sepanjang tahun, kemudian dia melihat anda (sedikit ) keburukan. Maka dia akan mengatakan, ‘Saya tidak melihat kebaikan sedikitpun dari anda.”
(HR. Bukhari, no. 1052)
2. Keimanan yang teguh terhadap Allah dan tawakkal
Kisah kesusahan Hajar di padang pasir Mekah yang tandus, ditinggalkan dengan anak kecil yang masih menyusu dengan hanya berbekalkan sebekas kurma dan sekantung air. Apabila bekalan air sudah habis yang mengakibatkan susunya kering, sementara anaknya Ismail menangis mahu menyusu, maka hajar berlari-lari dari bukit Safa ke Marwa untuk mencari air dan melihat-lihat jika ada kelibat manusia untuk dia memohon bantuan.
Setelah berusaha, turunlah bantuan dari Allah berupa malaikat yang menguis-guiskan tumit Ismail pada padang pasir dan memancarkan air zam-zam. Yang mana air zam-zam tersebut memberi keberkatan kepada pelusuk alam sehingga hari kiamat.
Dari mana datangnya kekuatan, keberanian serta ketenangan pada diri Hajar?
Dalam semua kedahsyatan yang dialami, hatinya tetap tenang dengan kepercayaannya terhadap Tuhannya yang tidak sekali-kali akan memberi kesusahan dan kesempitan hambanya.
Imam ibnu qayyim berkata tentang tawkkal :
“tawakkal merupakan separuh daripada agama, separuh yang ke dua adalah inabah (kembali kepada Allah). sesungguhnya agama itu adalah meminta pertolongan dan ibadah. Maka tawakkal adalah meminta pertolongan, dan inabah adalah ibadah”.
Beliau menyambung lagi : “ tawakkal merupakan antara sebab yang terkuat yang dengannya hamba menolak apa yang dia tidak mampu daripada keburukan makhluk dan kezaliman mereka dan permusuhan mereka”.
3. Kuat menyahut seruan iman yang tertinggi
Fitrah sorang ibu sangat sayang kepada anaknya. Ibu akan sentiasa berkehendakkan yang terbaik buat anaknya dan akan sentiasa memberikan yang terbaik untuknya. Begitu juga Hajar. Sangat sayang kepada anaknya Ismail. Hajar mendidiknya dengan didikan yang sempurna.
Sifat keibuan Hajar dan Keimanannya diuji lagi, tatkala turunnya perintah Allah supaya suaminya menyembelih anak kesanyangannya. Sudahlah mereka telah ditinggalkan untuk beberapa tempoh yang lama, kini apabila suaminya datang kembali, suatu arahan yang besar pula perlu dituruti dan ditaati.
Hajar melihat suaminya ibrahim memimpin tangan anaknya untuk disembelih. Ketika itu syaitan datang menggoda hajar agar dia menghentikan penyembelihan itu. Tetapi hajar cepat-cepat tersedar dan merejam syaitan dengan 7 kali balingan sambil beristi’azah dengan Allah daripda syaitan. Begitu juga Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail melakukan perkara yang sama juga. Bersempena dengan peristiwa itu, adalah menjadi sebahagian daripada rukun ibadah haji untuk melepar jamrah sebanyak tujuh kali.
Berkat ketaatan mereka sekeluarga kepada Allah, Allah telah memberikan kegembiiraan kepada mereka dengan menggantikan anaknya Ismail dengan kibash yang telah disembelih. Dengan ini Nabi Ismail tidak jadi di sembelih dan terangkatlah ujian terhadap mereka. Betapa keluarga ini telah lulus suatu ujian yang besar.
Maka bergembiralah Hajar dengan selamatnya anaknya dari di sembelih, dan bersyukur kepada Tuhannya. Nabi Ibrahim telah mengagih-agihkan daging sembelihan kibash kepada penduduk di sekitar tanah haram.
4. Ketaatan dan taqwa kepada Allah membuahkan kebaikan
Hajar mentaati suami dengan meredhai ditinggalkan di padang pasir yang tandus.
Ismail mentaati ayahnya dalam membantu ayahnya menuruti perintah Allah untuk menyembelihnya.
Alangkah manisnya kehidupan apabila melakukan ketaatan kepada Allah. Kehidupan yang sejahtera dan menguntungkan.
Allah swt berfirman di dalam surah At-Talaq, ayat 2-3
ومن يتق الله يجعل له مخرجاً ويرزقه من حيث لا يحتسب
“Barangsiapa bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia menjadikan baginya jalan keluar . Dan memberi rezeki kepadanya tanpa di duga”
Di dalam kisah ini, Jalan keluar yang di maksudkan adalah dengan terpancarnya air zam-zam buat minuman Hajar. Dengan ini susunya kembali mengalir dan dapat menghilangkan dahaga anaknya Ismail.
Begitu juga dengan adanya air zam-zam tersebut, sebuah Qabilah telah datang tinggal bersama Hajar dan anaknya di makkah. Maka dapatlah Hajar peneman dan di situlah tumbuhnya perkampungan yang terus berkembang sehingga ke hari ini.
Bahkan ianya menjadi tempat kunjungan muslimin dari seluruh pelusuk bumi untuk melakukan ibadah haji dan umrah saban tahun. Alangkah besarnya ganjaran pahala yang Allah kurniakan terhadap keluarga Hajar dengan ibadah-ibadah yang telah dilakukan oleh segenap manusia berkat permulaan getir dan ketaatan keluarga Hajar.
Menulusuri kisah kehidupan Siti Hajar ini saban tahun sepatutnya ianya menjadi satu muhasabah untuk diri kita. Erti keimanan, tawakkal, kecintaan pada suami bukanlah diungkapkan dengan kata-kata tetapi ianya adalah lebih daripada itu iaitu pembuktian dalam setiap tindakan yang kita lakukan. Disinilah pengorbanan menjadi bukti kepada jujurnya apa yang kita ungkapkan.
Alangkah mulianya pengorbanan yang ditunjukkan oleh wanita agung ini!
Ustazah Hasanah binti Khairuddin
Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)
Sumber: http://muis.org.my/2017/08/4-ibrah-daripada-kisah-pengorbanan-siti-hajar/
www.indahnyaislam.my
MashaAllah…hebatnya wanita agung ini……suaminya seorang Rasul…anaknya seorang nabi……Ya Allah…Ya Rahman…Ya Rahim…kurniakanlah seorang wanita seperti hambamu Siti Hajar kepada ku…..amin.