Kedaulatan Islam di Malaysia hanya dapat dicapai dengan pengorbanan

 

Islam itu tinggi dan tiada yang lebih tinggi daripadanya. Begitulah ketajaman kata-kata ini yang memberikan makna yang mendalam tentang kedudukan Islam dalam kehidupan. Allah SWT telah menetapkan Islam sebagai satu-satunya Ad-Din yang diredhai olehNya. Ad-Din itu adalah As-Sultoh (Kekuasaan) dan juga ketundukan kepada kekuasaan ini serta semua peraturan yang ditetapkan oleh kekuasaan ini. Ini hanya mampu dicapai dengan pengorbanan.

Pengorbanan itu adalah usaha yang bersungguh-sungguh untuk menyerahkan jiwa, harta, waktu, kehidupan dan segala yang dimiliki olehnya untuk mencari keredhaan Allah SWT untuk menegakkan Islam dan kedaulatan syariatnya, memperkasakan kebenaran dan menghancurkan syaukah (hegemoni) kebatilan, menyampaikan dakwah Islam agar hidayah itu sampai kepada semua manusia bagi menggapai kebahagiaan dunia dan akhirat.

Bumi bertuah ini telah pun menerima dakwah Islam seawal kurun ke 7 Hijrah. Sejak daripada itu, amalan dan cara hidup Islam mula sebati dalam masyarakat Malaysia daripada aspek penerapan aqidah yang sahih, pengamalan syariat dan undang-undang Islam dan juga akhlak kesopanan yang mulia. Kemuncaknya kepada kegemilangan Kesultanan Empayar Melayu Melaka adalah kerana bertunjangkan Islam dan syariatnya. Semua ini adalah anugerah dan amanah yang Allah SWT berikan kepada kita untuk disyukuri dan dipelihara sebaiknya.

Kehebatan ini akhirnya lemah dan runtuh dengan tibanya penjajah Portugis ke pesisiran Selat Melaka bersama dendam kesumat dan kebencian kepada Islam dan penganutnya. Catatan sejarah menjadi bukti bagaimana para pejuang Islam melawan habis-habisan Portugis demi kedaulatan Islam dan negara. Namun mereka telah ditewaskan dengan bantuan pembelot dari dalam.

Maka bermulalah episod penindasan dan penghinaan terhadap kedaulatan Islam di tanah air ini. Sekolah dan madrasah dibakar dan dihancurkan, kubur dan makam para ulamak dibongkar oleh tentera penjajah Portugis. Maruah agama dan bangsa dirobek-robek selama hampir 446 tahun.  Itulah tempoh perseteruan musuh negara untuk memadam cahaya kedaulatan Islam dari Asia Tenggara ini. Cahayanya terlalu terang sehingga ke Eropah dan Timur Jauh menyilaukan mata mereka.

Namun, dalam tempoh menghampiri 5 abad itu rakyat dan umat Islam tidak berpeluk tubuh.  Munculnya tokoh-tokoh jihad di seluruh tanah air yang menghidupkan ruh perjuangan bagi mengekalkan kedaulatan Islam. Datuk Maharajalela membunuh J.W.W Birch kerana pencerobohan kepada kedaulatan negeri Perak. Kepahlawanan Penghulu Naning, Dol Said di Naning yang mengisytiharkan jihad terhadap penjajahan British.

Pengorbanan Leftenan Adnan Saidi yang mengetuai Kompeni C, Rejimen Askar Melayu Diraja mempertahankan benteng terakhir tanah air di Bukit Candu daripada serangan kejam tentera Jepun. Tragedi Bukit Kepong yang menyaksikan sejumlah anggota polis dan juga keluarga mereka tewas sebagai syahid dalam menghadapi serangan gerila komunis yang mahu mendirikan negara sosialis di tanah air ini.

Adakah darah dan nyawa mereka ini menjadi murah bagi generasi masa kini? Tidakkah ini sudah cukup menunjukkan kepada kita bahawa perjuangan menjaga kedaulatan Islam dan Negara itu adalah tanggungjawab yang memerlukan sebuah pengorbanan yang besar?

Usaha mendaulatkan Islam sebagai agama negara juga digerakkan daripada sudut perundangan sehingga termaktub dalam Perlembagaan Negara bahawa Islam adalah agama Persekutuan. Ini dicapai dengan pengorbanan para ulamak yang berganding bahu bersama para umarak dan Sultan untuk memastikan kedaulatan Islam itu ada tapak yang kukuh dalam dokumen utama perundangan negara.

Kini, fasal ini menjadi mimpi ngeri golongan liberal kerana tidak memahami kandungan dan ruh Perlembagaan itu sendiri. Banyak kes perundangan yang dibawa oleh golongan liberal berjaya dipatahkan dengan kewujudan Fasal 3 ini.

60 tahun kita telah mencapai kemerdekaan namun itu bukanlah sebab untuk kita bersikap sambil lewa dengan nikmat ini. Serangan demi serangan untuk menggugat kedaulatan Islam di tanah air ini dalam pelbagai bentuk ideologi, politik, ekonomi daripada individu mahupun kumpulan yang mahukan negara ini bebas tanpa identiti. Liberal mahukan negara ini kembali  berpatah balik ke zaman kuno atau zaman batu.

Rakyat yang merdeka ini tidak akan sekali-kali berikan laluan mudah untuk usaha jahat mereka. Negara ini ditegakkan dengan perjuangan dan pengorbanan yang tidak ternilai dalam memastikan kedaulatan Islam itu terus kukuh selamanya. Inilah tugasan kita. Gilirkan kita pula untuk berkorban demi Islam dan negara. Firman Allah SWT:

“Sesungguhnya bumi ini adalah milik Allah SWT, diwariskan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki oleh-Nya kepada hamba-hamba-Nya dan kesudahan yang baik itu adalah hanya untuk orang-orang bertaqwa” (Al-A’raf:128)

Ustaz Shuhaib Ar-Rumy bin Selamat

Sumber: http://muis.org.my/2017/09/kedaulatan-islam-di-malaysia-hanya-dicapai-dengan-pengorbanan/

www.indahnyaislam.my

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts