SUNGAI PETANI – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) bersama beberapa NGO Islam akan menyalurkan bantuan misi kemanusiaan berjumlah RM200,000 kepada 140,000 pelarian etnik Rohingya yang ditindas di Rakhine.
Presiden Mapim, Mohd Azmi Abd Hamid berkata, selain wang sumbangan, misi bantuan berbentuk barangan makanan dan ubat-ubatan juga akan diagihkan sebagai solidariti kepada mangsa teraniaya.
“Misi bantuan bermula dari Kuala Lumpur dan sampai di Dhaka, Bangladesh iaitu kawasan sempadan Myanmar, disebabkan Myanmar sudah menutup akses bagi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) masuk ke negara berkenaan.
“Misi bantuan hanya dapat disampaikan melalui laluan Bangladesh kepada 140,000 pelarian atau lebih 25,000 keluarga yang berada di sebelah Myanmar termasuk yang merentasi sungai melarikan diri ke Bangladesh atau negara berhampiran,” katanya.
Bantuan berkenaan akan disampaikan Mapim bersama Salimah Kedah dan beberapa NGO melalui laluan Bangladesh pada 15 September ini.
Setakat ini puluhan ribu etnik Rohingya membanjiri sempadan Bangladesh dalam tempoh 10 hari ekoran pertempuran yang meningkat antara pejuang etnik berkenaan dan tentera rejim Myanmar.
Gelombang kekerasan itu bermula pada Oktober lalu apabila kumpulan pejuang Rohingya menyerang pos keselamatan rejim Myanmar di sempadan.
Kejadian itu menjadikan Rakhine sebagai yang terburuk dan PBB menyifatkan rejim Myanmar mungkin cuba melakukan pembersihan etnik (jenayah genosid). – Ismaweb
www.indahnyaislam.my