Di sebalik hijrah: Pembinaan Negara Islam Madinah

 

Muqaddimah

Hijrah dari segi Bahasa berasal daripada perkataan al-hajr yang bererti pemisahan seseorang dari selainnya, sama ada secara fizikal, secara lisan atau hati.

Firman Allah s.w.t:

وَاللَّاتِي تَخَافُونَ نُشُوزَهُنَّ فَعِظُوهُنَّ وَاهْجُرُوهُنَّ فِي الْمَضَاجِعِ وَاضْرِبُوهُنَّ
Maksudnya: “Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukulah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya)”

Firman-Nya lagi:

وَقَالَ الرَّسُولُ يَارَبِّ إِنَّ قَوْمِي اتَّخَذُوا هَذَا الْقُرْآنَ مَهْجُورًا
Maksudnya: “Dan berkatalah Rasul: “Wahai Tuhanku sesungguhnya kaumku telah menjadikan Al-Quran ini satu perlembagaan yang ditinggalkan, tidak dipakai”

Hijrah Rasulullah SAW & Para Sahabat r.a

Hijrah yang dilaksanakan Rasulullah SAW dan para Sahabat r.a yang perlu difahami oleh umat Islam pula bermaksud:

الخروج في سبيل الله من دار الكفر إلى دار الإسلام، ومن دارٍ شديد الفتنة إلى دارٍ أقل منه فتنة.

Maksudnya: “Keluar di jalan Allah s.w.t dari negara kafir ke negara Islam. Dan dari negara yang mempunyai fitnah yang dahsyat ke negara yang kurang fitnahnya.”

Inilah yang berlaku dalam sirah perjuangan Rasulullah SAW dan para Sahabat r.a. Setelah 13 tahun mengharungi perjuangan tarbiyyah dan dakwah di Makkah, mereka akhirnya berhijrah ke Madinah setelah mendapat arahan daripada Allah s.w.t atas beberapa faktor, yang antara lainnya ialah, kerana ruang dakwah di Madinah lebih terbuka luas berbanding Makkah bahkan Madinah berpotensi besar untuk didirikan sebuah negara Islam.

Penting untuk dinyatakan bahawa hijrah dan pembinaan negara Islam yang pertama di Madinah tidak berlaku melainkan selepas Rasulullah SAW membuat persediaan rapi dalam dua perkara, iaitu:

1) Persediaan syakhsiah para Sahabat di Makkah (Muhajirin) yang memakan masa selama 13 tahun.
2) Kesediaan Madinah sebagai tempat tujuan Hijrah yang bermula secara serius & terancang melalui Perjanjian Aqabah pertama dan pengutusan Mus`ab bin `Umair r.a ke Madinah serta Perjanjian Aqabah kedua.

Kewajipan Hijrah ke Negara Islam & Alternatif Hijrah Masa Kini

Hijrah ke negara Islam Madinah merupakan satu kewajipan ke atas umat Islam ketika zaman Rasulullah SAW. Hal ini berdasarkan banyak ayat Al-Quran yang mencela mereka yang tidak berhijrah dan terus tinggal bersama kafir Quraiysh di Makkah. Antaranya;

Firman Allah s.w.t:

إِنَّ الَّذِينَ تَوَفَّاهُمُ الْمَلَائِكَةُ ظَالِمِي أَنفُسِهِمْ قَالُوا فِيمَ كُنتُمْ ۖ قَالُوا كُنَّا مُسْتَضْعَفِينَ فِي الْأَرْضِ ۚ قَالُوا أَلَمْ تَكُنْ أَرْضُ اللَّـهِ وَاسِعَةً فَتُهَاجِرُوا فِيهَا ۚ فَأُولَـٰئِكَ مَأْوَاهُمْ جَهَنَّمُ ۖ وَسَاءَتْ مَصِيرًا

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang diambil nyawanya oleh malaikat semasa mereka sedang menganiaya diri sendiri (kerana enggan berhijrah untuk membela Islam dan rela ditindas oleh kaum kafir musyrik), mereka ditanya oleh malaikat dengan berkata: “Apakah yang kamu telah lakukan mengenai ugama kamu?” Mereka menjawab: “Kami dahulu adalah orang-orang yang tertindas di bumi”. Malaikat bertanya lagi: “Tidakkah bumi Allah itu luas, yang membolehkan kamu berhijrah dengan bebas padanya?” Maka orang-orang yang sedemikian itu keadaannya, tempat akhir mereka ialah neraka jahanam, dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.”

وَالَّذِينَ آمَنُوا وَلَمْ يُهَاجِرُوا مَا لَكُم مِّن وَلَايَتِهِم مِّن شَيْءٍ حَتَّىٰ يُهَاجِرُوا

Maksudnya: “…Dan orang-orang yang beriman yang belum berhijrah, maka kamu tidak bertanggungjawab sedikitpun untuk membela mereka sehingga mereka berhijrah…”

Allah juga memberikan setinggi-tinggi pujian serta memberi ganjaran kepada mereka yang berhijrah ke Madinah;

وَالَّذِينَ آمَنُوا وَهَاجَرُوا وَجَاهَدُوا فِي سَبِيلِ اللَّـهِ وَالَّذِينَ آوَوا وَّنَصَرُوا أُولَـٰئِكَ هُمُ الْمُؤْمِنُونَ حَقًّا ۚ لَّهُم مَّغْفِرَةٌ وَرِزْقٌ كَرِيمٌ

Maksudnya: “Dan orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah (untuk membela Islam), dan orang-orang (Ansar) yang memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang Islam yang berhijrah itu), merekalah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka beroleh keampunan dan limpah kurnia yang mulia.”

Menurut Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradhawi, berdasarkan ayat-ayat di atas juga, dapat difahami bahawa tidak sempurna iman seseorag melainkan dia berhijrah ke negara Islam. Penggabungan dalam negara Islam, hidup di bawah naungannya serta berjihad di bawah panji merupakan satu kefardhuan ke atas orang Islam ketika itu.

Namun, pada zaman sekarang di mana tiada satu pun model negara Islam yang hakiki (berlandaskan manhaj kenabian), bagaimanakah umat Islam hari ini hendak menyahut seruan hijrah ini? Ke negara manakah umat islam hendak berhijrah?

Dalam hal ini, Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradhawi menjelaskan; “Alternatif “hijrah ke Negara Islam” pada hari ini ialah bersama atau bergabung (الانضمام) dengan jemaah/gerakan Islam yang beramal untuk menegakkan negara Islam. Maka ia adalah fardhu ke atas semua orang Islam berdasarkan kemampuannya”

Piagam Madinah: Tonggak Pentadbiran Negara Islam

Pada awal hijrah ke Madinah, penduduknya terdiri daripada pelbagai kaum dan Agama iaitu; Muhajirin dari Makkah, Ansar (Aus & Khazraj), Yahudi dan Arab Najran. Terdapat pula tiga puak dari Aus, lima puak dari Khazraj dan lapan puak dari Yahudi. Dalam situasi kepelbagaian kaum dan Agama sebegini.

Sebagai langkah awal juga, Rasulullah SAW telah mempersatukan antara Aus dan Khazraj dan seterusnya antara Muhajirin dan Ansar. Kemudian Baginda telah mempersatukan seluruh penduduk Madinah yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama melalui kontrak janji setia yang dikenali sebagai Piagam Madinah. Melaluinya, Rasulullah telah meletakkan dasar-dasar yang dipersetujui oleh semua penduduk Madinah yang merangkumi siyasah dalaman dan juga siyasah luaran.

Penduduk Madinah sama ada orang Islam dan bukan Islam dibahagi tanggungjawab mengikut kelompok masing-masing dan semua mereka bertanggungjawab kepada Negara dalam menjaga keselamatan sama ada dari dalam atau luar. Apa-apa perbalahan antara mereka semua rujukannya ialah Allah dan Rasul. Muhajirin dan Ansar satu ummah, Yahudi satu ummah dan Muslimin dan Yahudi menjadi satu ummah. Tidak boleh keluar kecuali dengan izin Rasululah s.a.w dan baginda yang menentukan damai atau perang.

Terdapat dua jenis kerakyatan yang diklasifikasikan dalam Piagam Madinah, iaitu;

a.​Kerakyatan berasaskan aqidah, ideologi.
b.​Kerakyatan berasaskan kepada “kontrak”.

Negara Islam adalah negara aqidah, maka seluruh penduduk Islam adalah warganegara berdasarkan aqidah. Manakala bukan Islam yang terdiri daripada Yahudi, Nasrani, Majusi dan sebagainya menjadi rakyat secara kontrak. Kontrak antara negara dan rakyat bukan Islam disebut dalam perundangan Islam sebagai “Aqad Zimmah”, iaitu jaminan.

Walaubagaimanapun, rakyat bukan Islam memiliki hak sama rata dengan rakyat yang beragama Islam dari segi;

a. ​Perlindungan nyawa dan harta.
b. ​Perlindungan maruah dan harga diri.
c. ​Mendapat keperluan hidup.
d. ​Hak mendapat kerja, mencari rezeki, bergerak.
e. ​Mengisi jawatan-jawatan dalam kerajaan kecuali;

i. ​Kementerian yang bersifat agama.
ii.​ Pertahanan.
iii.​ Hakim Syariah.
f.​ Kebebasan budaya dan beragama.

Antara dasar terpenting yang terkandung dalam Piagam Madinah ialah konsep Ketaatan kepada Allah, ketaatan kepada Rasulullah dan kedaulatan undang-undang (piagam Madinah).

Perkara 52 Piagam Madinah memperuntukkan; “Dan sesungguhnya jika ada pertikaian antara pihak-pihak kepada dokumen ini, ia hendaklah dirujuk kepada Allah dan kepada Muhammad SAW, Rasulullah, untuk membuat keputusan muktamad dan mutlak. Sesungguhnya Allah adalah Jaminan bagi pematuhan yang setia daripada kandungan perlembagaan ini (yang akan dikuatkuasakan oleh kerajaan).”
Sementara itu Perkara 59 dan 60 menyatakan; “Tiada pihak mempunyai hak untuk melanggar perlembagaan. Tiap-tiap orang yang melakukan jenayah akan bertanggungjawab kepada perbuatannya. Dan, nikmat Allah SWT akan tertakluk kepada pematuhan perlembagaan. Sesungguhnya Allah adalah jaminan bagi pematuhan dan kesetiaan semua rakyat kepada kandungan perlembagaan ini (yang akan dikuatkuasakan oleh kerajaan)”

Negara Islam Madinah yang ditubuhkan Rasulullah berdiri atas beberapa dasar atau tonggak utama, iaitu:
1. Hakimiyyah Allah ((Pemerintahan dan kekuasaan hanyalah milik Allah swt).
2. Syura
3. Keadilan
4. Ketaatan

1) Hakimiyyah Allah
Hakimiyyah Allah bermaksud hanya Allah s.w.t yang mempunyai hak untuk menggubal undang-undang (tasyri`) ke atas makhluknya. Hanya Dia lah yang layak menghalalkan dan mengharamkan sesuatu. Ini bermakna, manusia wajib mengikut apa saja ketetapanNya kerana Allah adalah pemerintah tertinggi di dunia yang tiada tandingannya. Ulama telah meletakkan satu kaedah yang selari dengan dasar Hakimiyyah Allah ini dengan menyebut;

“السيادة للشرع والسلطة للأمة”

(Ketuanan dunia ini adalah milik Allah, dan pemerintahan adalah milik Umat Islam)

“السيادة للشرع” bermaksud, hanya Allah SWT sahaja yang punyai hak untuk menghalalkan atau mengharamkan sesuatu. Manusia wajib mengikut apa saja ketetapanNya. Allah adalah pemerintah tiada tandingan yang tertinggi di dunia.

Manakala السلطة للأمة pula bermaksud, umat Islam diberi hak untuk memilih dan melantik pemimpin dari kalangan mereka (iaitu orang Islam sendiri, bukan kafir) yang berwibawa yang mampu memikul tanggung jawab menegakkan prinsip Al-Hakimiyyah Lillah dalam negara. Kaedah السلطة للأمة ini juga selari dengan prinsip syura yang dipelopori oleh Rasulullah SAW dan para Sahabat r.a

2) Syura

Syeikh Dr. Muhammad Abdul Qadir Abu Faris mendefinisikan syura seperti berikut:

تقليب الآراء المختلفة ووجهات النظر المطروحة في قضية من القضايا واختبارها من أصحاب العقول والافهام حتى يتوصل إلى الصواب منها , أو إلى أصوبها و أحسنها ليعمل به حتى تتحقق أحسن النتائج

Maksudnya: “Proses bertukar pendapat yang pelbagai dan sudut pandang terhadap suatu isu yang mana ia diselidikit dan dikaji oleh para sarjana cendekiawan sehingga sampai kepada suatu keputusan yang tepat, ataupun yang paling tepat dan terbaik, untuk beramal dengannya sehingga dapat merealisasikan natijah yang terbaik”.

Tiada negara di dunia yang pernah menerapkan syura dalam sistem pemerintahannya. Negara Islam Madinah lah yang pertama sekali menjadikan syura sebagai dasar penting dalam sistem pemerintahannya. Rasulullah sentiasa mematuhi tuntutan syura dalam semua hal yang tidak diturunkan wahyu daripada Allah mengenainya.

Salah satu kisah menarik berkenaan syura adalah seperti mana yang berlaku dalam peperangan Uhud sehingga Allah s.w.t menurunkan ayat 159 Surah Ali Imran yang memberi arahan kepada Rasulullah supaya melakukan syura.

Allah s.w.t berfirman:

فَبِمَا رَحْمَةٍ مِّنَ اللَّـهِ لِنتَ لَهُمْ ۖ وَلَوْ كُنتَ فَظًّا غَلِيظَ الْقَلْبِ لَانفَضُّوا مِنْ حَوْلِكَ ۖ فَاعْفُ عَنْهُمْ وَاسْتَغْفِرْ لَهُمْ وَشَاوِرْهُمْ فِي الْأَمْرِ ۖ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّـهِ ۚ إِنَّ اللَّـهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ ﴿١٥٩﴾

Maksudnya: “Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya.

Ayat di atas diturunkan selepas kekalahan kaum Muslimin di medan pertempuran Uhud di mana Rasulullah SAW telah mengikuti pandangan majoriti (yang kebanyakannya dalam kalangan pemuda) untuk keluar menghadapi musuh di luar Madinah. Sesetengah orang Islam menyangka faktor kekalahan mereka di medan Uhud ialah disebabkan Rasulullah SAW telah mematuhi tuntutan syura dengan mengikuti keputusan majoriti dan meninggalkan pandangan Baginda sendiri untuk bertahan dan berhadapan musuh dari dalam Madinah sahaja.
Meskipun sudah kalah, Allah s.w.t tetap mengarahkan Rasulullah untuk melakukan syura dengan kaum Muslimin dan Allah s.w.t memaafkan kesalahan yang mereka lakukan. Ini kerana, syura adalah prinsip dan sistem penting bagi sebuah pemerintahan negara atau pergerakan sesebuah kumpulan. Kekalahan di medan Uhud natijah daripada syura, adalah lebih baik berbanding mengikuti pandangan peribadi yang tidak diketahui natijahnya sama ada menang atau kalah.

3) Keadilan & 4) Ketaatan

Keadilan dan ketaatan turut menjadi dasar penting dalam pemerintahan negara Islam yang telah dipelopori oleh Rasulullah SAW dan para sahabat. Terdapat dua ayat Al-Quran yang secara spesifik mengarahkan pemimpin supaya berlaku adil dan rakyat supaya mentaati pemimpin.

Firman Allah s.w.t:

إِنَّ اللَّـهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُم بَيْنَ النَّاسِ أَن تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ ۚ إِنَّ اللَّـهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِ ۗ إِنَّ اللَّـهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا﴿٥٨﴾ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّـهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنكُمْ ۖ فَإِن تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّـهِ وَالرَّسُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّـهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ۚ ذَٰلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا﴿٥٩﴾

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.

Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (iaitu Pemimpin dan Ulama) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya – jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya”.

Negara Islam Madinah Tidak Tertegak Tanpa Dokongan Tiang Keimanan Rakyat

Bila mana kita memahami kewajipan mewujudkan negara Islam yang hakiki, kita juga memahami keperluan asas negara Islam yang kukuh. Kita perlukan pemerintah dan rakyat yang benar-benar beriman dan berpegang teguh pada Syara’.

Jika tidak, bagaimana pemerintah ingin implimentasi syara’ dalam negara kalau rakyat sendiri tidak mahukan syara’? Ketuanan syara’ dan kemahuan rakyat tidak dapat dipertemukan melainkan rakyat sendiri terbimbing sepenuhnya dan inginkan syara’.

Akhirnya, kita wajib beriman bahawa methodologi perubahan yang diasaskan oleh Rasulullah saw itulah yang paling tepat, memberi solusi dan kejayaan besar buat Islam. Apakah methodologi itu?

Iaitu bermula dengan fokus pembentukan peribadi muslim dengan dasar keimanan kepada Allah SWT dalam skala besar sebagai asas yang kuat bagi sesebuah keluarga dan masyarakat seterusnya negara. Proses pembentukan skala besar ini tidak berlaku setahun dua, tetapi bertahun-tahun, bagi menghasilkan buah yang begitu matang.

Dengan terbinanya negara Islam yang hakiki, barulah manusia akan berbondong-bondong memasuki Islam, selepas mereka bebas dari semua sistem dan pemikiran yang mencengkam mereka selama ini.

Dengan aset fitrah yang dimiliki, mereka dapat lihat dengan mata hati bagaimana sistem Negara Islam dapat mentadbir mereka dengan adil dan cemerlang, lantas tunduk patuh dengan pemerintahan Islam ataupun terus memeluk Islam.

Lihatlah peristiwa pembukaan Kota Makkah tatkala berbondong-bondong manusia memeluk Islam tanpa sebarang paksaan. Kerana Islam berjaya ditegakkan dan diimplementasikan dalam konteks sebuah negara, lantas mereka yang bukan Islam tertarik untuk memeluk Islam setelah bebas daripada sebarang sistem dan pemikiran yang menentang Islam ketika itu.

Ustaz Ahmad bin Khairuddin

www.indahnyaislam.my

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts