Pemikiran yang cuba dibawa oleh kelompok seperti Mustafa Akyol bukanlah modenis atau memahami Islam dalam kerangka hari ini tetapi ianya adalah fahaman liberal yang bertujuan merombak perkara yang telah jelas dalam Syariat Islam itu sendiri.
“Mereka mahu merombak akidah dan Syariah Islam agar sesuai dengan nilai-nilai liberal yang ketika ini dipromosikan oleh Barat”
Prof Madya Dr Khalif Muammar, Pengarah Pusat Kajian Tinggi Islam, Sains dan Peradaban (CASIS–UTM) berkata demikian sebagai respon terhadap penahanan serta pengharaman buku yang ditulis oleh Mustafa Akyol baru-baru ini.
Tambah beliau hakikatnya Mustafa Akyol hanyalah seorang wartawan yang menjadi penulis kolum akhbar di New York dan dia bukan seorang yang memahami Islam dengan baik, jauh sekali untuk dianggap orang yang alim dan dijadikan rujukan dalam hal agama.
Baru-baru ini, Mustafa Akyol ditahan selepas Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) mendesak penganjur, IRF membatalkan siri ceramah tokoh liberal berkenaan di kampus Universiti Nottingham Malaysia.
Jawi menegaskan Akyol melanggar Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) kerana tidak mempunyai tauliah mengajar agama, manakala Pengarah IRF, Dr Farouk dituduh bersubahat di bawah akta sama.
Tegas beliau lagi pemuda hari ini yang mengambil berat tentang pemikiran keagamaan, hendaklah mempersiapkan diri dengan worldview dan kerangka pemikiran yang benar jika tidak kemungkinan untuk anda hanyut dalam kecelaruan pemikiran adalah besar di zaman kebanjiran maklumat ini.
Sumber: http://muis.org.my/2017/10/mereka-ini-bukan-reformis-tetapi-liberalisasi-islam/
www.indahnyaislam.my