Cina Muslim dan tanglung

 

BARU-baru ini, masyarakat Cina di Malaysia telah menyambut Pesta Tanglung. Oleh kerana di Malaysia ia dirayakan semasa Pesta Kuih Bulan, maka Pesta Tanglung juga dikenali sebagai Pesta Kuih Bulan di Malaysia.

Ia adalah perayaan kedua terpenting bagi masyarakat Cina selepas Tahun Baharu Cina. Masyarakat Cina Muslim yang masih mempunyai ramai saudara-mara bukan Islam tidak terkecuali daripada meraikan tradisi ini bersama keluarga masing-masing.

Pesta Tanglung dan Kuih Bulan turut mendapat sambutan kaum lain, bahkan ia telah menjadi satu tarikan pelancong, dalam mahupun luar negara. Pelbagai pihak menganjurkan Pesta Tanglung dengan pelbagai reka bentuk tanglung yang menarik.

Di Malaysia, Pesta Tanglung dirayakan pada hari ke-15 dalam bulan ke-8 kalendar Cina, tidak mengikut kebiasaannya, iaitu pada hari ke-15 bulan pertama kalendar Cina. Pada tahun ini, ia jatuh pada 4 Oktober. Ia turut dinamakan Pesta Bulan kerana ketika itu bulan penuh dan paling besar.

Pada 30 September lalu, masyarakat Cina Muslim dalam kalangan ahli Macma Ipoh, Pahang dan Selangor telah menganjurkan pesta ini secara serentak.

Perayaan ini disambut dengan penyediaan kuih bulan berintikan telur kuning masin dan biji teratai, manakala kanak-kanak pula bermain tanglung dengan pelbagai reka bentuk dan warna; ada yang mengikut karakter kartun seperti Doraemon atau Ultraman yang diperbuat daripada kertas atau plastik dan dinyalakan dengan lilin mahupun lampu elektronik.

Ada yang meletakkan lebih banyak telur kuning masin untuk menambahkan kelazatan kuih bulan. Ia juga dipelbagaikan dengan variasi inti mengikut cita rasa tempatan seperti inti durian, kacang hazel, keladi, pandan, coklat ataupun kekacang seperti biji labu, kuaci dan kacang merah.

Seperti yang saya kongsi dalam artikel terdahulu, terdapat pelbagai legenda berkenaan asal-usul Pesta Tanglung. Ini tidak menghairankan memandangkan ia berusia lebih 2,000 tahun. Sememangnya akan wujud bermacam-macam legenda dan mitos. Jika dikaji asal-usul sesuatu kebudayaan, terdapat perbezaan ketara antara kisah dongeng atau legenda, dan sejarah.

Walau apa pun legenda dan sejarahnya, yang jelas, Pesta Tanglung dan Kuih Bulan bukannya perayaan agama. Ia adalah budaya Cina sejak turun-temurun. Memang tidak dapat dinafikan, walaupun sesuatu kebudayaan atau perayaan tiada kaitan dengan agama, apa sahaja unsur khurafat yang bertentangan dengan Islam, sekiranya ada, tetap dilarang.

Sejarah yang lebih tepat mengenai Pesta Kuih Bulan ini adalah sebagai memperingati kejayaan pemberontakan rakyat dalam menggulingkan Dinasti Yuan (1271-1368). Dinasti Yuan merupakan dinasti asing yang memerintah China. Kerajaan Mongol ingin menguasai China sejak zaman purba lagi. Mereka akhirnya berjaya di bawah pimpinan Maharaja Mongol yang bernama Kublai Khan yang mengalahkan Dinasti Song (960-1279).

Kublai Khan ialah cucu pengasas Empayar Mongol, Genghiz Khan. Sepupu beliau, Hulagu Khan, telah berjaya mengalahkan Empayar Abbasiyah di Kota Baghdad. Ketika pemerintahan Mongol di China, berlaku penindasan ke atas orang Cina; mereka dilarang memiliki senjata serta dikenakan cukai yang tinggi. Pengurusan tanah juga lemah menyebabkan kurangnya hasil tanaman.

Lebih menyedihkan, bagi setiap 10 keluarga, hanya satu pisau dibenarkan untuk digunakan ketika memasak dan ia akan diambil semula oleh pengawal Mongol yang ditempatkan di luar rumah. Mereka juga mesti memberi makanan dan minuman kepada pengawal Mongol. Dipendekkan cerita, pemimpin pemberontak telah mengedarkan kuih bulan yang mengandungi mesej ‘Bunuh Mongol pada hari ke-15 bulan ke-8’.

Ribuan kuih bulan diedarkan kepada penduduk China dan perancangan ini berjaya kerana orang Mongol tidak makan kuih bulan. Pemerintah Mongol kembali ke Mongolia dan Dinasti Yuan diganti oleh Dinasti Ming (1368-1644).

Mesyuarat Panel Pakar Syariah (PPS) Jakim Kali Ke-89 telah memutuskan bahawa hukum apa-apa aktiviti yang melibatkan tanglung adalah harus, dengan syarat, tiada unsur pemujaan dan ritual agama dan apa-apa kaitan kepercayaan yang bercanggah dengan syarak.

Bayan Linnas siri ke-118 yang bertarikh 5 Oktober 2017 oleh Mufti Wilayah Persekutuan juga berpandangan bahawa hukum menyambut Pesta Tanglung adalah harus. Sebagaimana yang dinyatakan oleh Datuk Dr Zulkifli, semoga umat Islam terus berpegang teguh dengan akidah yang benar dan pada masa yang sama, mengamalkan fiqh ta’ayush (kewujudan bersama) dalam kehidupan agar keindahan Islam terus dapat dikongsi dengan seluruh masyarakat.

Johari Yap

Sumber: http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/johari-yap/cina-muslim-dan-tanglung-1.741107

www.indahnyaislam.my

Total
0
Shares
4 comments
  1. Jangan menghalalkan benda yg haram.

    Zaman dulu, pesta tang lung atau pesta kuih bulan ada kaitan dengan agama taoist. Pada perayaan tersebut, orang cina akan sembah bulan dan dewi bulan. Cuma sekarang atas sebab perubahan masa, byk cina da tidak amalkan sembah dewi bulan. Tetapi asal usulnya memang ada kaitan dengan penyembahan berhala.

    Tambahan lagi, Tang lung yg dipasangkan dengan api dan digantung itu adalah digunakan oleh agama taoist utk sembah dan memohon sebarang hajat kpd tuhan mereka.

    Tempat yg dipasangkan tang lung selalunya di tokong cina dan tokong kek lok si pun ada, tiap tahun orang cina pi pasang dan tulis hajat mereka di bawah tang lung itu.

    Kita bukan orang kafir, kita bukan orang majusi. Kalau tak mengaji islam, buatlah kajian sikit tentang asal usul tang lung. Jangan buat sesuatu yg menyerupai sesuatu kaum yg lain, kamu akan tergolong dlm kaum tersebut nanti.

    1. Encik…Agama tak boleh dipisahkan dengan budaya, adat, sejarah dan kesenian sesuatu masyarakat.

      Taoisme adalah fahaman adat kaum Cina…sama dengan Melayu yang ada adat tertentu yang berkaitan dengan sejarah.

  2. Kalu tak ada unsur syirik..khurafat …budaya tetap budaya…macam juga melayu..budaya melayu kalu ada unsur khurafat n syirik maka haram

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts