Revolusi iman penyelamat kebejatan sosial

 

KEBEJATAN sosial yang melanda umat Islam sejak kebelakangan ini sampai kepada peringkat sangat merisaukan hati-hati orang yang beriman. Tiada alasan untuk kita merasa masih selesa dan tidak mahu ambil endah fenomena ini kerana ia melibat seluruh hierarki sosial negara ini.

Bukan sekadar berlaku di kalangan remaja, ia juga berlaku ke peringkat yang lebih tinggi dari itu. Sebagai seorang warganegara yang mempunyai iman, sepatutnya faktor imannyalah yang mendenyutkan rasa tidak selesa apabila fenomena ini terus-terusan berlaku di dalam masyarakat di negara kita.

Orang-orang beriman di negara ini wajib mencontohi sejarah perjuangan para anbiya’ yang tampil sebagai warga masyarakat sentiasa berfikir dan berusaha untuk memperbaiki masyarakat, menyampaikan amaran-amaran kemurkaan Allah kepada masyarakatnya. Amar Makruf dan Nahi Munkar ini sangat penting, kerana tempias kesan kebejatan sosial yang berlaku di dalam masyarakat yang dia hidup di dalamnya pasti akan terkena kepada susuk tubuh orang beriman ataupun keluarganya dan lingkungan hidupnya.

Amat malang bagi mereka yang masih mempunyai iman turut hanyut di dalam gelombang kehidupan yang penuh dengan kebejatan ini tanpa berusaha untuk menyelamatkan diri dan masyarakatnya. Terlebih malang apabila mereka yang beriman menjadi pencari-pencari dan penggali-penggali hujjah mencari justifikasi dan kewajaran terhadap sesuatu kebejatan sosial yang berlaku bahkan menjadi jurucakap mengelabui pemahaman masyarakat awam terhadap ajaran Islam yang sebenar.

Walaupun iman itu anugerah Allah namun kita sebagai hambaNya diwajibkan berusaha untuk memperolehi iman yang sebenar dan kita mesti merasa haloba agar orang lain juga dapat merasai iman yang mempunyai kesannya terhadap aturan kehidupan.

Setiap orang beriman di negara ini wajib menjadi pemangkin kepada revolusi iman terhadap negara ini. Revolusi iman yang memberi maksud perubahan kepercayaan yang melahirkan tindakan yang akan merubah rel perjalanan masa hadapan negara ini.

Cukup kita sangat terinspirasi dengan revolusi iman yang berlaku kepada susuk tubuh Saidina Umar Al-Khattab. Iman telah mengubah peribadinya dan telah memberi kesan yang mendalam terhadap corak kepimpinannya apabila diamanahkan kepada baginda sebagai pemimpin utama umat Islam.

Iman yang benar sangat mempengaruhi pemahaman, cara berfikir dan bertindak seseorang. Iman akan mencetuskan pembaharuan yang sangat luar biasa. Ini berlaku kepada Saidina Umar Al-Khattab. Sangat berbeza sikap hidup dan tindakannya sesudah baginda beriman dan imannya telah meresap dan mempengaruhinya.

Menurut riwayat, beliau semasa jahiliyyah bertindak di luar rasional akal yang sejahtera. Beliau pernah menyembah berhala yang dibuat daripada roti. Ketika lapar, roti itu dimakannya untuk mengalas perutnya. Tiada rasa kesian sehingga sanggup menguburkan puterinya hidup-hidup.

Namun, apabila beliau memeluk Islam, berlaku revolusi iman di dalam dirinya. Iman telah memerdekakan dirinya, mengembalikan kemuliaan manusia kepada dirinya, memandangkan jauh untuk menyelamatkan agama dan kehidupan umat Islam sehingga membuat tindakan yang agak drastik di dalam kehidupannya dan dapat dirasai kesannya oleh masyarakat di sekelilingnya.

Beliau pernah memotong kayu yang dinamakan ‘Syajarah Al-Ridzwan, iaitu pohon tempat Nabi SAW bersama sahabatnya berjanji setia semasa pergolakan di Hudaibiyyah. Saidina Umar RA dengan ketajaman pemikirannya, merasa khuatir jika pada masa akan datang orang akan memandang suci dan menjadikan tempat itu sebagai keramat, tempat memuja dan sebagainya. Lihat betapa iman telah melakukan revolusi dalam diri Saidina Umar, sangat haloba menjaga iman dirinya bahkan masyarakatnya.

Oleh kerana itu menjadi kewajipan kepada mereka yang berkuasa termasuk ketua-ketua agama pada setiap peringkat untuk menjaga iman masyarakat yang disekelilingnya. Jangan beri ruang kepada liberalisme, sekularisme, pesta arak, judi, seks songsang dan lain-lain kemaksiatan bertapak dan menjadi budaya di kalangan orang beriman di negara ini. Jangan ada pulak mereka yang mengaku beriman menjustifikasikan semua maksiat itu bertapak di negara yang mulia ini atas nama kebebasan bersuara atau kebebasan hak asasi individu.

Kehalusan perasaan dan kasih sayang yang bertunas dalam jiwa beliau sesudah memeluk Islam , terzahir dalam riwayat hidup beliau, terutama dalam mengurus kepentingan rakyat yang lemah dan miskin. Ketundukan jiwanya kepada Allah SWT melahirkan perasaan kepimpinan yang bertanggungjawab tahap tinggi.

Bukan sekadar bertanggungjawab terhapa rakyat di kalangan manusia yang dipimpin bahkan rakyatnya di kalangan haiwan. Antara ungkapannya yang terkenal “kalau seandainya seekor unta terjatuh di tepi sungai Furat, nescaya engkau lihat aku bertanggungjawab tentang itu di hadapan Allah: mengapa aku tidak mahu memperbaiki jalan tempat lalunya”.

Sahibus Samahah Ustaz Zamri Hashim
Timbalan Mufti Perak

www.indahnyaislam.my

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts