KUALA LUMPUR – Pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam akan bangkit bersama-sama membantu saudara seagama yang haknya ditindas dengan mengenepikan hal yang berkaitan dengan politik.
Ini disuarakan oleh Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Haji Aminuddin Yahaya ekoran kerap timbul kes yang menindas individu yang memperjuangkan agama Islam sejak akhir-akhir ini.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Solidariti Munajat bersama NGO-NGO yg aktif dalam kerja jihad amar maaruf nahi mungkar malam tadi.
Majlis berkenaan dianjurkan oleh Gerakan Banteras Aktiviti Haram (GBAH), UMMAH, PEMBELA, YADIM dan Kongres Rakyat yang bertempat di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Turut hadir Ketua Pemuda PAS, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Aminuddin berkata, setelah 11 tahun, kali ini NGO Islam berkumpul dek tercetusnya penganiayaan yang dilakukan oleh beberapa pihak terhadap salah seorang Pengawai Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Yusuf Azmi.
“Kita memang amat sokong rakan-rakan NGO seperjuangan seperti PPIM yang memperjuangkan Islam, namun, apa yang terjadi terhadap Yusuf Azmi mengguris hati para NGO Islam di Malaysia.
“Apa yang berlaku terhadap Yusuf Azmi, membuktikan bahawa kita memerlukan sokongan padu semua rakyat dengan cuba ketepikan politik. Jika kita lebih berpegang dengan politik, akan lebih ramai lagi saudara-saudara seIslam yang memperjuangkan agama kita yang menjadi mangsa,” katanya.
Beliau berkata, dalam masa terdekat pihak NGO Islam akan bangkit menuntut dengan kerajaan demi menyelamatkan saudara seIslam berdasarkan agama dan bangsa.
“Sudah sampai masanya untuk kita berkumpul berganding bahu memperjuangkan hak kita sebagai rakyat beragama Islam yang cintakan keadilan dan keamanan sejagat,” katanya. – Ismaweb
www.indahnyaislam.my