BANGI – Ulama terkenal, Sheikh Ismail Menk berkata, tuduhan bahawa beliau akan menggunakan kapal pesiaran yang beroperasi di Singapura untuk memberi kuliah adalah salah dan mengelirukan.
Dalam kenyataan hari ini, ulama kelahiran Zimbabwe itu berkata, awal tahun ini beliau dijemput menyertai pelayaran bersejarah ke Banda Aceh di Indonesia.
“Penganjur merancang pelayaran halal pertama sepenuhnya dan mahu saya mengambil bahagian. Saya setuju.
“Isu permit kerja saya dengan Singapura pada November 2015 adalah dalam pengetahuan umum. Sejak itu, saya tidak mempunyai sebarang isu untuk memasuki Singapura sebagai pelancong,” katanya mengulas larangan daripada memasuki Singapura yang dikeluarkan kerajaan republik itu terhadapnya, semalam.
Semalam, Kementerian Dalam Negeri Singapura mengumumkan Sheikh Ismail dan penceramah bebas Malaysia, Ustaz Haslin Baharim, tidak lagi dibenar memasuki Singapura.
Mengikut laporan, keputusan itu dibuat hasil rundingan dengan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), Lembaga Pelancongan Singapura dan Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Singapura.
Menurut kenyataan kementerian itu, kedua-duanya dijadual berceramah di atas sebuah kapal yang belayar dari dan berakhir di Singapura pada 25 hingga 29 November ini.
Mengulas lanjut, Sheikh Ismail berkata, beliau tidak pernah berada di atas kapal pesiaran itu sebelum ini dan tidak pernah pun memberi kuliah di situ.
“Ini adalah misi kemanusiaan yang murni ke Banda Aceh. Saya tidak akan menyertai pelayaran itu kerana alasan yang diluar kawalan saya.
“Bagi mereka yang telah menempah kabin, saya berdoa supaya kamu memperoleh perjalanan yang indah dan diterima Allah,” katanya. – Ismaweb
www.indahnyaislam.my