Rama-rama yang kecewa

C360_2013-08-13-17-30-35-917

 

Rama-rama ketika masih dalam bentuk beluncas, tugasnya hanya makan, makan, dan makan agar memastikan ianya mendapat zat dan nutrisi yang cukup untuk terus menggemuk dan membesarkan badan.

Kemudian apabila tiba saat ianya telah memperoleh cukup zat, tiba-tiba si beluncas menyembunyikan dirinya di dalam kepompong, meninggalkan hingar-bingar dunia luar, tinggal berseorangan di dalam gelap gempita.

Setelah berlalu beberapa ketika, barulah ia keluar memunculkan dirinya dengan bentuk yang cantik dan baru, terbang tinggi di langit membiru, bertebaran di seluruh pelusuk alam, mempesona dan memukau setiap mata yang melihat.

Namun amat malang dan ruginya, jangka hayatnya ketika sudah mampu untuk terbang tinggi itu hanya sebentar.

Fakta : Kebanyakan spesis rama-rama dan kupu-kupu mempunyai jangka hayat yang pendek. Sekitar beberapa hari hingga beberapa minggu. Tanpa menafikan ada spesis yang mampu hidup sehingga setahun.

Jangan Jadi Seperti Rama-Rama

Begitulah kita, ramai orang khususnya mahasiswa atau penuntut ilmu meninggalkan amal dakwah dengan alasan ingin mencukup dan menyempurnakan diri dahulu dengan ilmu dan ibadah. Mengasingkan diri daripada masyarakat dengan alasan ingin belajar dahulu dan menambah baik ibadah diri.

Antara kata-kata yang sering kita dengar,

“Aku ini belajar lagi, manalah aku layak nak buat dakwah dan ajak-ajak orang nak buat baik… “.

“Nanti bila tiba masanya aku buat lah dakwah, aku sendiri pun tak cukup ilmu lagi… “.

Beluncas Yang Hanya Pandai Makan Dan Makan

Pembaca yang disayangi sekalian,

Ibarat ulat beluncas, kebanyakan penuntut ilmu mengambil sikap bacul dan pengecut dengan mengabaikan amal dakwah dengan alasan mereka masih menuntut ilmu. Pada pandangan mereka, hal ini adalah kerana mempunyai ilmu merupakan salah satu syarat yang ditetapkan oleh ulama’ bagi mereka yang menjalankan amal dakwah. Bagi mereka, mereka perlu menuntut ilmu dahulu sehingga menjadi ulama’, barulah mereka boleh menjalankan amal dakwah tersebut.

Ustaz Ahmad Ar-Rasyid dalam salah sebuah bukunya yang masyhur iaitu ‘Al-Muntolaq’ atau dalam versi Bahasa Melayunya ‘Langkah Bermula’ telah menyentuh isu ini dengan sangat baik dalam bab ke-4, iaitu bab ‘Kewajipan Dakwah Ke Jalan Allah’. Beliau menyatakan bahawa syubhat atau kesamaran tentang isu ini bertitik tolak daripada kata-kata Imam Ar-Radzi yang turut disokong oleh Imam Al-Qurtubi dan Imam Al-Jassas.

Imam Al-Radzi berkata : “Sesungguhnya tugasan ini dikhaskan buat ulama’. Ini kerana untuk berdakwah kepada kebaikan : seseorang itu mesti tahu tentang perkara-perkara kebaikan, perkara yang makruf dan perkara yang munkar. Maka jelaslah bahawa tugasan dakwah ini ditujukan kepada golongan ulama, bukan kepada golongan yang jahil. Ulama’ adalah sebahagian dari umat Islam”. [Tafsir Ar-Radzi, jilid 7, mukasurat 177]

Dengan berhujahkan potongan kata-kata Imam Ar-Radzi ini, golongan pengecut dan bacul ini telah menimbulkan kekeliruan dengan mentafsirkan perkataan ‘golongan’ yang disebut di dalam ayat 104 Surah Ali Imran sebagai golongan ulama’ yang pakar dalam hal ehwal agama sahaja ;

وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ ۚ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُون

“Dan hendaklah ada di antara kamu ada SATU GOLONGAN yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya”.

Beluncas Itu Menyangka Perlu Menjadi Rama-Rama Terlebih Dahulu

Ya, tidak dinafikan bahawa berdakwah kepada kebaikan itu sangat memerlukan kepada seseorang pendakwah supaya memiliki ilmu yang mantap dan mapan. Tetapi itu tidak bermaksud bahawa seseorang itu perlu menunggu sehingga mampu untuk menguasai dengan sempurna setiap selok-belok dan cabang ilmu yang wujud di atas muka bumi ini baru mereka layak untuk berdakwah dan mengajak manusia kepada Allah. Sungguh, jauh sekali andaian tersebut.

Mereka mendakwa bahawa mereka perlu menjadi rama-rama yang indah terlebih dahulu baru boleh memukau dan mengajak manusia kepada kebaikan…

Dr. Abdul Karim Zaidan (semoga Allah merahmati roh beliau) telah menghuraikan kekeliruan ini di dalam salah sebuah buku tulisan beliau, ‘Usul Al-Dakwah’.

“… Tetapi mereka terlupa bahawa ilmu itu bukannya satu dan bukannya tidak boleh dipecah-pecahkan kepada beberapa bahagian. Maka sesiapa yang alim dan tahu dalam suatu permasalahan tetapi jahil dalam masalah yang lain maka dia adalah alim dalam permasalahan yang pertama dan jahil dalam permasalahan yang kedua. Ini bermaksud bahawa dia dikira sebagai ulama’ dalam permasalahan pertama, oleh itu diwajibkan berdakwah dalam permasalahan yang diketahui tetapi tidak dalam permasalahan yang tidak diketahui, para fuqaha’ tidak berselisih dalam isu ini. Adapun sesiapa yang jahil dalam suatu perkara ataupun suatu hukum maka dia tidak wajib berdakwah tentangnya, hal ini adalah kerana berilmu dengan sebenar-benarnya dalam perkara yang didakwahkan adalah syarat kepada kesahihan dakwah. Maka oleh itu, setiap muslim itu wajib berdakwah kepada Allah dengan sekadar yang diketahui…”. [Dr. Abdul Karim Zaidan, Usul al-Dakwah, Muassasah al-Risalah al-Nashirun, mukasurat 300]

Beluncas Yang Bersembunyi Di Dalam Kepompong

“Aku ini solat Tahajjud pun tak berapa nak buat, puasa sunat pun jarang-jarang, inikan pula nak buat dakwah, nanti bila aku dah mampu bertahajjud tiap-tiap malam, mampu khatam Al-Quran 4 kali sehari, mampu puasa sunat 6 hari seminggu, barulah aku buat dakwah. Barulah dakwah aku mampu mengesani setiap jiwa yang diseru. Eceh”.

Ulat beluncas itu lari bersembunyi di dalam kepompong, duduk diam bertapa di dalam dunianya sendiri, abaikan setiap hiruk-pikuk dan suasana gamat di luar…

Golongan bacul dan pengecut yang hanya mengasingkan diri daripada hingar-bingar masyarakat dengan tujuan untuk menumpukan kepada ibadah kepada Allah SWT sebenarnya telah muncul sejak zaman Rasulullah SAW masih hidup lagi. Antara sahabat baginda yang lantang berdiri menentang golongan ini adalah Abdullah Ibn Mas’ud RA.

Ustaz Ahmad Ar-Rasyid telah menyentuh isu ini di dalam buku yang sama, dalam bab ke-5 iaitu bab ‘Ahli Ibadah Yang Bermain-Main’. Ustaz Ahmad Ar-Rasyid telah menukilkan kisah Abdullah Ibn Mas’ud RA yang bangun menentang perbuatan sekumpulan lelaki dari Kufah yang bertindak keluar dari bandar tempat tinggal mereka yang penuh dengan gejala kerosakan akhlak ;

Seorang ahli fiqh dari para tabi’in Kufah yang arif dan bijaksana, Amir As-Sya’bi telah meriwayatkan bahawa ada beberapa lelaki telah keluar dari Kufah dan tinggal di pinggir bandar, beribadah di sana.

Berita itu telah sampai ke pengetahuan Abdullah Ibn Mas’ud RA lalu beliau pun datang berjumpa mereka. Orang-orang itu gembira dengan kedatangan beliau. Tiba-tiba Abdullah Ibnu Mas’ud RA berkata kepada mereka :

“Apakah yang mendorong kamu berbuat begini?”

Mereka berkata : “Kami ingin lari dari hingar-bingar dan kelam-kelibut orang ramai untuk beribadah.”

Lalu Abdullah Ibn Mas’ud berkata : “Jika semua orang buat seperti apa yang kamu buat, siapakah yang akan memerangi musuh? Aku tidak akan tinggalkan tempat ini sehinggalah kamu pulang.”

Kisah ini telah diriwayatkan oleh Syeikh  Al-Muhaddith, Abdullah Ibn Mubarak.

Kemudian Ustaz Ahmad Ar-Rasyid turut menukilkan di dalam bab yang sama kisah Abdullah Ibn Mubarak RA, seorang lelaki yang hidup di zaman tabi’in. Beliau mewarisi semangat jihad dan dakwah Abdullah Ibn Mas’ud dalam menentang golongan yang beruzlah dan mengasingkan diri daripada kacau-bilau dan kelam-kelibut masyarakat.

Abdullah Ibn Mubarak RA merupakan seorang ahli hadith yang thiqah, alim dalam pelbagai cabang ilmu, dan faqih dalam perbahasan fiqh. Namun itu semua tidak menghalang beliau untuk menjadi seorang pendakwah yang tegar dan juga seorang mujahid yang perkasa di tengah-tengah medan perang. Diriwayatkan bahawa setiap tahun beliau akan turun menyertai peperangan di Rom Timur.

Beliau juga pernah menempelak dan menegur sahabat baiknya yang juga merupakan seorang ahli hadith yang thiqah, alim, abid, dan zahid yang terkenal iaitu Al-Imam Al-Fudhail Ibn Iyadh RA kerana meninggalkan jihad dan mengasingkan diri untuk beribadat di dua tanah haram, Mekah dan Madinah. Abdullah Ibn Mubarak menegur beliau melalui sebuah puisi yang dikirim, dalam puisi tersebut beliau mengatakan bahawa Al-Fudhail Ibn Iyadh RA adalah seorang ahli ibadah yang bermain-main dengan ibadahnya.

Cukuplah kisah dua orang tokoh hebat daripada kalangan sahabat dan tabi’in iaitu Abdullah Ibn Mas’ud RA dan Abdullah Ibn Mubarak RA sebagai penolak atau pendesak kepada kita untuk bangkit melaksanakan amal dakwah seterusnya menyebarkan kasih sayang dan keamanan yang dibawa oleh agama Islam ke seluruh pelusuk alam.

Islam yang dibawa oleh baginda junjungan, Rasulullah SAW adalah Islam dakwah, Islam amar makruf nahi munkar, dan Islam jihad. Islam itu bukan beruzlah dan mengasingkan diri daripada masyarakat serta mengabaikan mereka dengan tujuan untuk beribadat kepada Allah SWT semata-mata. Islam yang sebenar yang wajib kita imani adalah Islam yang bergerak aktif dan dinamik, bukannya Islam yang pasif dan pegun. Seorang sahabat Rasulullah SAW iaitu Talhah Ibn Ubaidillah RA pernah berkata ;

إن أقل العيب على المرئ أن يجلس في داره

“Sesungguhnya cukuplah menjadi aib kepada seseorang itu apabila dia hanya duduk-duduk di rumahnya”.

Kita Adalah Full-Timer Dalam Amal Dakwah

Nah, sekarang tiada lagi alasan yang dapat menjustifikasikan tindakan mengabaikan amal dakwah atas alasan ingin menuntut ilmu terlebih dahulu atau ingin menambah baik ibadah diri. Sesungguhnya kedua-dua alasan ini hanya diamalkan oleh golongan yang bacul dan pengecut, golongan yang cuba melarikan diri daripada tanggungjawabnya.

Ketahuilah bahawa amal dakwah itu adalah kewajipan yang ditanggung dan dibebankan di atas bahu setiap orang yang mengaku dirinya seorang muslim. Keluarlah dari rumahmu, dan ajaklah manusia seluruhnya kepada keindahan Islam, cegahlah manusia daripada melakukan kerosakan, walau apa pun keadaan dirimu. Manfaatkan setiap ruang masa yang ada!

Jangan menjadi seperti ulat beluncas yang hanya tahu makan dan menggemukkan badannya, jangan juga menjadi seperti kepompong yang statik dan mengabaikan dunia luarnya, Kelak apabila kamu menjadi rama-rama yang mampu terbang nanti, kamu akan menyesal kerana masa kamu untuk menyebarkan keindahan hanya berbaki sedikit.

 

Muhammad Rusyaidi Bin Mohd Pauzi
Tahun 3 Fakulti Usuluddin Jabatan Hadith
Universiti Al-Azhar Kaherah, Mesir

Sumber: http://rusyaidipauzi94.blogspot.com.eg/2014/12/rama-rama-yang-malang-kecewa_31.html
Total
0
Shares
3 comments
  1. lagi kecewa dengan sang beluncas yang terburu-buru cuba terbang sebelum masanya.

    Golongan yang menyedari erti projek Islam yang sebenar, akan berlinangan air mata melihat uban para gurunya yang biarpun dimamah usia tetap teguh mempertahankan rantaian ilmu yang benar.

    Moga kita dijauhkan dari sang beluncas yang terburu-buru terjun kerana menyangka dirinya mampu terbang mengikut derasnya badai kemodenan. Moga kita diberi kesabaran untuk menjadi beluncas yang makan hanya makanan yang betul-betul bergizi dan mampu melalui proses kematangan dalam kepompong biarpun cuma mampu merasa terbang seketika.

    Alangkah ruginya menjadi sang beluncas yang merasa diri mampu terbang sebelum menjadi rerama.

    Setiap satu Tuhan telah atur dengan teliti pada waktunya. Andai saja kita benar-benar jujur dalam mengatur masa dan mengutip ilmu. Andai saja kita mampu memahami projek Islam yang sebenarnya. Projek yang membawa jiwa ke arah cahaya keTuhanan. Projek yang perlukan masa untuk membina insan yang betul-betul membina insan lain bukan sekadar produk segera.

    Bangunlah dari angan-angan dakwah sebelum masanya. Dakwah literalis. Dakwah kerana merasa umat dalam kesesatan. Dakwah jangka masa pendek. Angan dakwah yang cuba melawan projek ketuhanan.

  2. Assalamualaikum,
    Pada pendapat saya yang jahil ini kedua-dua artikel dan komen di atas ada benarnya. Namun bagi saya tidak salah kalau beluncas menyebarkan kebaikkan kerana tujuan utama dakwah (menyebarkan kebaikan) adalah untuk meningatkan diri sendiri, kita memberi nasehat sebenarnya memberi nasehat dan mengingatkan diri sendiri….barulah tujuan yang kedua iaitu audience yang mendengar mendapat manfaat dari cakapan kita tadi merupakan suatu bonus…….kalau mereka tak dapat atau taknak ikut pun takpe….jangan marah kerana sekurang-kurangnya kita dah mengingatkan diri kita sendiri…itulah sebenarnya dakwah……jadi janganlah takut untuk bercakap atau memberi nasehat…….penuhilah dunia ini dengan kata-kata nasehat kearah kebaikkan……..insha-Allah…..waluaa-Alam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts