AMMAN – Jordan menegaskan keputusan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang mahu memindahkan kedutaannya di Jerusalem, termasuk mengiktiraf kota itu sebagai ibu negara Israel akan mendorong ke arah ketegangan yang lebih buruk.
Menteri Luar Negeri, Ayman Safadi menekankan kepentingan memelihara status quo sejarah dan undang-undang di Baitulmaqdis, dan tidak menolak kemungkinan sesuatu yang buruk berlaku sekiranya keputusan berkenaan dibuat.
Jelasnya, status keagamaan, sejarah dan status kebangsaan Jerusalem bukan hanya untuk rakyat Palestin dan Jordan sahaja, malah membabitkan dunia Arab serta Islam.
Malah katanya, keputusan Trump juga membawa banyak kesan buruk terhadap usaha yang sedang dilakukan AS untuk – apa yang dipanggil sebagai proses perdamaian Israel-Palestin – dan telah diterima oleh Jordan dan semua negara Arab.
“Isu Baitulmaqdis hendaklah ditangani dalam konteks rundingan status akhir mengikut semua resolusi antarabangsa dan terma rujukan yang relevan,” katanya.
Safadi berkata demikian sewaktu membincangkan perkembangan dua hala antara negara itu dengan rakan sejawatnya di AS, Rex Tillerson melalui panggilan telefon pada Ahad lepas.
Perbincangan itu meliputi pelbagai perkara termasuklah isu berkaitan Palestin dan terkini membabitkan laporan dakwaan pengumuman Trump mahu mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.
Sementara itu, Jordan menerusi Kementerian Luar Negeri telah meminta dua mesyuarat tergempar Majlis Liga Negara-Negara Arab dan menteri-menteri luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), untuk membincangkan usaha menangani keputusan AS itu. – Ismaweb
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)