Kerajaan Iraq kutuk keputusan pentadbiran AS

 

BAGHDAD – Iraq mengutuk keputusan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel, dan menyifatkan langkah itu akan meletakkan wilayah berkenaan “di ambang konflik baharu”, lapor agensi berita Xinhua.

“Kerajaan Iraq mengutuk keputusan pentadbiran AS, yang mana akan meletakkan rantau itu bahkan dunia di ambang konflik baharu.

“Langkah itu juga akan mewujudkan suasana tegang dan mendalamkan lagi pelanggaran ke atas negara Palestin yang telah menderita sejak sekian lama,” kata Menteri Luar Iraq, Ibrahim Al-Jafari dalam satu kenyataan pada Rabu.

Pada hari sama, Kementerian Luar Iraq turut mengeluarkan kenyataan mengulangi pendirian serta sokongan Iraq terhadap negara dan rakyat Palestin.

Di Washington pada Rabu, Trump mengumumkan mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu kota Israel, dan mengarahkan Jabatan Negara untuk memulakan proses memindahkan kedutaan AS dari Tel Aviv ke bandar itu.

“Saya yakin sudah tiba masanya untuk mengiktiraf Baitulmuqaddis secara rasmi sebagai ibu negara Israel,” katanya sambil menambah yang beliau telah menilai “sebab kepada tindakan itu menjadi kepentingan terbaik AS dan memburu keamanan antara Israel dengan rakyat Palestin.”

“Itu adalah satu langkah lama bagi menggerakkan proses perdamaian dan berusaha untuk mencapai persefahaman yang kekal,” tegasnya selain menganggap pengiktirafan “perlu” untuk mencapai keamanan.

Walaupun Kongres AS meluluskan Akta Kedutaan Jerusalem 1995, yang memerlukan kedutaan AS di Israel dipindahkan dari Tel Aviv ke Baitulmuqaddis , bekas presiden AS, termasuk George W. Bush, Bill Clinton dan Barack Obama, dilihat menangguhkan perkara itu demi kepentingan keselamatan negara.

Status Baitulmuqaddis kekal sebagai satu isu utama dalam konflik Israel-Palestin.

Setakat ini, masyarakat antarabangsa tidak mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu kota Israel dan tiada negara asing yang menempatkan kedutaannya di bandar itu. – Bernama

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts