Khutbah Jumaat Jakim: Mempertahankan Baitulmaqdis

 

“MEPERTAHANKAN BAITULMAQDIS”
(08 Disember 2017M / 19 Rabiul Awwal 1439H)

 

 

SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH SEKALIAN,

Saya menyeru agar kita bersama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Marilah kita memperbanyakkan amal soleh dan berusaha memperbaiki diri pada setiap detik dan masa sebelum ajal yang telah ditetapkan oleh Allah SWT datang menjemput kita. Khatib akan membicarakan khutbah yang bertajuk: “Mempertahankan Baitulmaqdis”.

 

SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH,

Baitulmaqdis adalah salah satu daripada tiga tempat yang paling suci buat umat Islam. ia juga di kenali dengan gelaran al-Quds As-Sharif (tempat yang suci). Untuk memahami kesucian bandar ini, maka seseorang itu perlu memahami terlebih dahulu tiga prinsip asas yang menjadi struktur iman di dalam Islam iaitu percaya bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah kecuali Allah (Tauhid); percaya bahawa petunjuk Ilahi disampaikan menerusi rasul-rasul dan nabi-nabiNya yang terpilih (Risalah); dan percaya bahawa wujudnya kehidupan selepas mati (akhirat), Hari pembalasan dan Syurga serta Neraka.

Dalam konteks mempertahankan Baitulmaqdis, prinsip yang kedua mempunyai hubungan langsung dengan kecintaan dan komitmen kita terhadapnya. Perlu diketahui bahawa kesucian bandar ini menurut Islam adalah pada realiti sejarah keagamaannya. Ya, bandar ini menjadi saksi kepada kehidupan dan kerja-kerja para nabi serta utusan Allah SWT. Di situlah mereka menerima wahyu Allah SWT secara berulang-ulang.

Jika Mekah dan Madinah adalah bandar-bandar yang diberkati di dalam Islam kerana kaitannya dengan Nabi Ibrahim a.s, Nabi Ismail a.s dan Nabi Muhammad SAW, maka Baitulmaqdis juga sedemikian. Lebih penting lagi, perkaitannya dengan nabi-nabi lain seperti Nabi Daud a.s, Nabi Sulaiman a.s dan Nabi Isa a.s.

 

SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH,

Berdasarkan kepada status agama dan teologi, Baitulmaqdis menduduki tempat yang sangat istimewa di dalam kehidupan Nabi Muhammad SAW. Di sinilah baginda SAW sewaktu ketika dahulu berdiri mengerjakan solat dengan menghadap ke arah Baitulmaqdis. Malahan di sini jugalah tempat terakhir perjalanan Israk baginda SAW sebelum naik bermikraj ke langit. Firman Allah SWT dalam surah al Israk ayat 1:

Maksudnya: Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya pada malam hari dari Masjidil haram ke Masjidil Aqsa yang Kami berkati sekelilingnya, untuk diperlihatkan kepadanya tanda kekuasaan Kami. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui”.

Selepas melalui semua peristiwa ini, Nabi Muhammad SAW kembali ke Mekah. Peristiwa al-Israk dan al-Mikraj penuh dengan tanda-tanda dan petunjuk yang menakjubkan sehingga ramai para pemikir Islam, pengkaji mistik dan penyair-penyair telah membuat pelbagai tafsiran secara mendalam dan berbeza-beza. Bagaimanapun, satu kesimpulan penting ialah Baitulmaqdis menjadi satu contoh kepada ketaatan dan hubungan iman setiap muslim.

 

SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH,

Baru-baru ini kita telah dikejutkan dengan pengumuman pemimpin Amerika Syarikat yang memerlukan pentadbirannya mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ‘ibu kota’ Israel. Hakikatnya, tindakan ini tidak lain adalah untuk menyampaikan hasrat bangsa Yahudi Israel dalam merampas kembali Baitulmaqdis daripada milik umat Islam Palestin bahkan milik kita umat Islam seluruhnya.

Dalam konteks ini, tindakan tersebut dilihat sesuatu yang tidak tepat dan ia jelas salah dari sudut norma dan sistem perundangan yang ada. Malah ini boleh dianggap sebagai suatu bentuk rampasan serta jajahan selain mencabuli hak-hak asasi kemanusiaan demi melebarkan lagi kekuasaannya. Ini mengingatkan khatib akan firman Allah SWT dalam Surah al Israk ayat 4:

Maksudnya:Dan Kami katakan kepada Bani Israil dalam Kitab itu: Sesungguhnya kamu akan melakukan kerosakan di bumi dua kali, dan sesungguhnya kamu akan berlaku sombong angkuh dengan melampau-lampau.”

 

SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH,

Kerosakan yang pertama dilakukan oleh bangsa ini ialah mereka melakukan kekejaman dan kehancuran dengan mengkhianati perjanjian yang telah dibuat, bahkan sanggup pula membunuh para Rasul dan Nabi yang di utuskan oleh Allah SWT. Manakala kerosakan kedua terkandung di dalam firman Allah SWT pada surah al Israk ayat 6:

Maksudnya:Kemudian Kami kembalikan kepada kamu kekuasaan untuk mengalahkan mereka, dan Kami beri kepadamu dengan banyaknya harta kekayaan dan anak-pinak, serta Kami jadikan kamu kaum yang lebih ramai pasukannya.”

 

Menurut tafsiran Dr. Fadhal Hassan ‘Abbas, seorang pensyarah di Universiti Jordan di dalam kitabnya tentang al-Israk wal Mikraj bahawa kerosakan kedua ini disokong dengan 4 perkara iaitu: (i) bangsa Yahudi akan mendapat sebuah negara untuk tempat tinggal (Baitulmaqdis), (ii) kedudukan ekonominya kukuh, (iii) keturunannya ramai, dan (iv) pasukan tenteranya juga ramai. Justeru, hari ini mereka tidak teragak-agak untuk mengisytiharkan Baitulmaqdis sebagai pusat pentadbiran negara mereka bahkan bakal menjadi Pusat Pentadbiran Dunia bagi bangsa Yahudi.

Sebagai tanda protes kita terhadap perkara ini, maka semua umat Islam perlu bersatu suara dan tegas untuk memastikan bumi Baitulmaqdis terus terpelihara maruahnya. Kini ia bukan lagi menjadi perjuangan rakyat Palestin tetapi menjadi tanggungjawab semua umat Islam seluruh dunia termasuk di Malaysia. Kita bimbang, jika ia terus berlaku, akan tercetus ketidakamanan dan ketenteraman di bumi Palestin bahkan terhasil satu bentuk radikalisme dan ektremisme baharu yang lebih besar dan mengakibatkan ancaman keselamatan yang lebih buruk di seluruh dunia.

Untuk itu, bagi memastikan hasrat ini tercapai, mimbar yang mulia ingin menegaskan kepada semua umat Islam di negara ini agar tidak terbawa-bawa dengan perlakuan yang mazmumah sehingga mendatangkan kemudaratan kepada pihak lain. Sebaliknya, marilah kita bersama-sama bertindak dengan akal yang waras dan berpandu kepada ajaran Islam yang suka kepada kedamaian dan kesatuan.

 

SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH,

Justeru, kita perlu tegas dan berpegang dengan satu gagasan yang mempunyai dasar yang jelas, strategi yang tuntas yang akan membawa Malaysia ke arah yang lebih dinamik, maju serta berdaya saing berpaksikan prinsip Maqasid Syariah di samping melaksanakan pendekatan Wasatiyyah atau kesederhanaan. Mudah-mudahan, negara ini beroleh keamanan, kebahagiaan, kemakmuran, kesejahteraan dan mencapai kejayaan sebagai ‘Baldatun Toyyibah wa Rabbun Ghaffur’. Sebagai mengakhiri khutbah pada hari ini, mimbar ingin mengajak sidang Jumaat sekalian untuk menghayati intipati khutbah yang disampaikan sebagai pedoman di dalam kehidupan kita, antaranya:

Pertama:Baitulmaqdis mempunyai hubungan langsung dengan kecintaan dan komitmen umat Islam terhadapnya.
Kedua:Baitulmaqdis menjadi satu contoh kepada ketaatan dan hubungan iman setiap muslim.
Ketiga:Tindakan menceroboh tanah Baitulmaqdis merupakan suatu bentuk rampasan serta jajahan yang mencabul hak kemanusiaan.

 

Maksudnya:Serta mereka menegaskan: Maha Suci Tuhan Kami! Sesungguhnya janji Tuhan kami tetap terlaksana.” (Surah al Israk: 108)

 

 

KHUTBAH KEDUA

 

 

 

 

 

 

اَللَّهُمَّ أَعِزَّ الإسْلَامَ وَالْمُسلمين، وَأَذِلَّ الشِّرْكَ وَالْمُشْرِكِيْنَ، وَدَمِّرْ أَعْدَاءَكَ أَعْدَاءَ الدِّيْن, اَللَّهُمَّ أَهْلِكِ الْكَفَرَةَ وَالطُّغَاةَ وَالظَّالِمِيْنَ يَا رَبَّ اْلعَالَمِيْن، اَللَّهُمَّ انْصُرْ إخْوَانَنَا فِيْ فِلِسْطِيْن وفي رُوْهِيڠيَا، اَللَّهُمَّ انْصُرْهُمْ عَلَى عَدُوِّكَ وَعَدُوِّهِمْ، اَللَّهُمَّ اجْمَعْ كَلِمَتَهُمْ، وَوَحِّدْ صُفُوْفَهُمْ، يَا رَبَّ الْعَالَمِيْنَ, رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنفُسَنَا وَإِنْ لَمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُونَنَّ مِنْ الْخَاسِرِينَ.

 

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts