Hamas mahu Malaysia ketuai isu Baitulmaqdis

 

KUALA LUMPUR – Ketua Diaspora Hamas Dr Maher Salah, hari ini melahirkan harapan agar Malaysia mengetuai usaha politik menentang keputusan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump yang mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Beliau berkata Malaysia harus menggunakan pengaruhnya yang dihormati dunia Arab dan Islam untuk mengetuai usaha pelbagai peringkat, menentang keputusan secara terang-terangan mengenai kota suci itu yang ditolak kebanyakan negara dunia termasuk di Eropah, Asia dan Amerika Latin.

“Rakyat kami di tanah Palestin, di dunia Arab dan Islam serta negara lain akan luahkan kemarahan dan penolakan berhubung keputusan ini, selepas solat Jumaat, hari ini.

“Kami menentang keputusan tersebut. Ia tidak mungkin dilaksanakan. Ini adalah ibu negara Palestin, ia akan tetap menjadi kota Palestin, Islam dan Arab dan ia adalah suci bagi umat Islam dan Kristian,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Seri Dr Ronald Kiandee di Bangunan Parlimen di sini hari ini.

Dalam pertemuan itu, Salah dan Kiandee turut membincangkan pendirian kerajaan Malaysia dan Parlimen yang menolak keputusan Trump, yang menurut Salah adalah jelas dan mewakili semua rakyat di negara ini.

The New York Times melaporkan Trump pada Rabu secara rasmi mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu kota Israel, iaitu meminda hampir tujuh dekad dasar luar Amerika Syarikat dan menetapkan untuk memindahkan Kedutaan Amerika Syarikat dari Tel Aviv ke kota suci berkenaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapan dasar ketika merasmikan Perhimpunan Agung UMNO semalam berkata Malaysia menolak sekeras-kerasnya cadangan menjadikan Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel.

Ditanya apakah ada kemungkinan untuk Intifada (penentangan rakyat Palestin terhadap Israel) seterusnya, Salah sambil tersenyum berkata: “Kami telah menyaksikan percikan pertama bagi Intifada seterusnya”.

Kiandee berkata beliau berharap keputusan mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel akan dipertimbangkan secara teliti kerana keputusan itu adalah penting, agar tidak menjejaskan proses damai.

“Sebagai Anggota Parlimen, kami menyokong langkah kerajaan, pengumuman oleh Perdana Menteri semalam dan kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Luar yang meminta Presiden Trump untuk mempertimbangkan semula keputusan itu kerana ia akan memberi kesan negatif terhadap proses damai yang sedang berjalan antara Israel dan Palestin,” katanya.

Kemudian, Duta Besar Georgia ke Malaysia Nikoloz Apkhazava, turut membuat kunjungan hormat ke atas Kiandee, juga di Bangunan Parlimen. – Bernama

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts