PEKAN – Umat Islam khususnya adalah berdosa sekiranya dengan sengaja membiarkan agama Islam dihina.
Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Othman berkata, ia haram jika umat Islam secara keseluruhannya tidak bertanggungjawab dan main peranan sehingga Baitulmaqdis dan Masjid Al-Aqsa jatuh ke tangan orang bukan Islam.
Jelasnya, umat Islam wajib bersatu-padu mempertahankan tempat suci Islam itu yang sejak dahulu menjadi rebutan.
“Sememangnya kita telah mengalami satu kejutan dengan pengisytiharan dan pengiktirafan dilakukan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang ingin menjadikan Baitulmaqdis ibu negara Israel.
“Jadi kita harus mempertahankannya dan adalah berdosa, malah menjadi satu perkara haram jika terus dibiarkan,” katanya kepada media di sini, semalam.
Menurutnya, pengiktirafan ditetapkan Trump itu perlu dijadikan iktibar agar umat Islam terus kekal penyatuan ummah.
Katanya, penyatuan meluas hingga melibatkan ke seluruh dunia, suara umat Islam lebih kuat dan pastinya digeruni.
“Dengan kekuatan suara itu juga, kita nampak kegerunan dunia hari ini, maka secara tak langsung menjadikan satu pengiktirafan kepada umat Islam untuk bersatu dan dapat kembalikan semula Baitulmaqdis ke tangan kita,” katanya.
Beliau turut menyarankan agar umat Islam di negara ini terus memainkan peranan masing-masing bagi mengembalikan Baitulmaqdis dalam pelbagai cara.
“Sekurang-kurangnya kita berdoa kepada ALLAH SWT agar pengiktirafan tersebut dibatalkan atau ditarik balik.
“Alhamdulillah di negeri ini, Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menitahkan semua masjid dan surau melakukan solat hajat secara berterusan sehingga isu tersebut selesai.
“Kita boleh guna kekuatan ekonomi lumpu mereka kerana kuasa membeli umat Islam besar dan bilangannya teramai di dunia,” katanya. – Sinar Harian
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)