MENDAPAT gelaran Muslim Mother Teresa, ‘kerjanya’ yang suka memasak dan memberikan makanan serta tempat tinggal kepada golongan memerlukan, di kawasan kejiranannya di Montreal, Kanada, menarik perhatian bukan sahaja kalangan komuniti setempat, tetapi masyarakat dunia.
Nama Sabariah Hussien atau lebih mesra dipanggil Sister Sabria oleh komuniti Montreal menjadi sebutan ramai apabila program berita stesen televisyen Kanada, CTV News, menyiarkan laporan berkenaan kegiatan amalnya.
Ketika video kisah kehidupannya mencapai lebih 700,000 penonton di media sosial, ia turut menarik perhatian rakyat Malaysia selepas turut dikongsi oleh Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah yang merujuk Sabariah sebagai “An amazing lady” (Seorang wanita yang menakjubkan).
Antara dibantunya adalah sesiapa sahaja memerlukan makanan seperti pelajar, mereka yang tiada rumah dan pelarian.
Menariknya, wanita Melayu berasal dari Johor Bahru dan menetap di Montreal lebih 30 tahun ini masih gagah dan ceria menjalankan kerja kebajikannya walaupun usianya kini sudah menjangkau 70 tahun.
Berkongsi dengan penonton, menurutnya setiap malam dia akan bertanya kepada dirinya, siapa akan dibantunya pada setiap hari.
“Dalam Islam, anda perlu bersatu, lebih daripada biasa. Saya anggap ini pekerjaan dengan ALLAH kerana saya tidak dibayar.
“Itulah sebabnya saya mahu melakukan sesuatu yang baik. Saya tidak mencari populariti, tetapi saya mahu orang ramai mengetahui bahawa kita umat Islam adalah orang yang baik, kita juga perlu banyak melakukan kebaikan,” katanya yang turut dibantu sukarelawan kebiasaannya terdiri daripada penuntut berlainan di universiti berdekatan yang datang ke apartmennya pada satu-satu masa.
Bukan sahaja aktif terlibat komuniti Islam di situ, memasak untuk diberikan kepada masjid sekitar, dia juga ‘meminjamkan tangan’ kepada sesiapa sahaja memerlukan, tanpa mengira kaum, agama atau gender, malah bekerja rapat dengan Gereja Komuniti River Edge dan Gereja Perpaduan, berhampiran.
Praktik sejak kecil
Melihat latar belakang makcik Sabariah yang mempunyai enam beradik ini, sejak kecil dia biasa melihat amal dipraktikkan tiap hari ibu bapanya.
Bapanya seorang guru, dan ibu, suri rumah, namun sentiasa akan membantu menaja ‘kenduri’ untuk masyarakat Islam miskin tidak berkemampuan, dari situ dia sentiasa membantu ibunya.
Dilahirkan di Johor, keluarga Sabariah tinggal di Singapura selama bertahun-tahun selepas ayahnya mendapat pekerjaan sebagai guru di republik itu pada tahun 1950-an. Mereka pulang ke Johor selepas bapanya bersara.
Walaupun di Singapura, keluarganya masih membantu golongan memerlukan.
Bekerja singkat di Arab Saudi, dia mendapat pekerjaan sebagai guru pendidikan khas di Kanada pada 1985.
“Sejak berada di sini, saya telah bantu ramai orang. Semuanya bermula 18 tahun lalu. Saya lihat ‘tempat tinggal’ mereka di bandar ini dan saya akan memberikan mereka sandwic yang saya buat di rumah.
“Saya juga berjumpa beberapa wanita Muslim minta saya jemput mereka ke rumah saya untuk makan. Menginap di jalan raya amat menakutkan, kerana mereka terdedah perkara buruk,” katanya.
Membantu wanita gelandangan, Sabariah membuka rumah untuk mereka menghuni selama satu hingga dua bulan, dinamakan Our Second Home untuk melindungi golongan ini dari kesejukan.
Hari ini, dia mengusahakan gerai di masjid tempatan bersama-sama pasukan sukarelawannya, dalam usaha berterusan menjana dana membantu penduduk terpinggir.
Sabariah turut dibantu sebuah bank makanan dan NGO untuk memberi makanan pada golongan miskin dan tiada tempat tinggal. – Sinar Harian
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)