KUALA LUMPUR – Polis antarabangsa (Interpol) membatalkan notis arahan tangkap terhadap Dr. Zakir Naik (gambar) dan mengarahkan pejabatnya di seluruh dunia memadam segala data mengenai pendakwah antarabangsa itu, daripada fail mereka.
Menurut portal berita www.timesnownews.com, langkah itu dibuat berikutan pihak berkuasa India didapati gagal untuk mengekstradisi Dr. Zakir yang kini berada di Malaysia.
“Interpol telah membatalkan notis arahan tangkap terhadap Dr. Zakir dan mengarahkan pejabat di seluruh dunia memadam segala data mengenai Zakir termasuk alasan kecenderungan politik dan agama. Interpol menegaskan terdapat kekurangan bukti, kegagalan pihak berkuasa India untuk menuruti proses perundangan, kecenderungan politik dan agama selain kurang kepentingan antarabangsa yang membuatkan notis itu dikeluarkan,” menurut jurucakap Dr. Zakir hari ini.
Pada 8 November lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan tidak menerima permohonan ekstradisi daripada kerajaan India terhadap pendakwah antarabangsa, Dr. Zakir Naik yang berada di negara ini atas dakwaan mempromosi aktiviti keganasan di negara itu.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, sekiranya kerajaan India ada membuat permohonan itu berdasarkan Bantuan Undang-Undang Bersama, Malaysia akan memenuhi permintaan itu dengan menghantar Dr.Zakir ke negara asalnya itu.
Bagaimanapun, katanya, Dr. Zakir bukan warganegara dan tidak menetap di Malaysia sebaliknya hanya memiliki status penduduk tetap di negara ini yang diperoleh lima tahun lepas dan tinggal di beberapa negara lain.
Sementara itu di New Delhi, jurucakap Kementerian Luar India, Raveesh Kumar dalam taklimat kepada media hari ini berkata, sebarang permintaan rasmi mengenai ekstradisi dari negara lain memerlukan proses undang-undang dalam negara terlebih dahulu.
Kata beliau, pihaknya bagaimanapun hampir selesai menjalankan proses itu.
“Kami hampir menyelesaikan proses perundangan dalam negara dan apabila ia selesai, kami akan membuat permohonan rasmi kepada kerajaan Malaysia berhubung perkara tersebut (ekstradisi),” katanya. – Utusan
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)