BANGI – Pengguna laman sosial perlu berhenti berkongsi atau komen pada mana-mana video lelaki yang berpakaian seperti wanita atau seumpama dengannya.
Ketua Beliawanis Persatuan Belia Islam Nasional (Pembina), Khairunnisa Mazlan berkata, netizen sebenarnya mempunyai kuasa menentukan sesuatu perkara itu tular atau pun tidak.
Katanya, jika netizen bersetuju untuk tidak menyokong tindakan segelintir lelaki yang membuat video parodi dengan mengenakan pakaian wanita atau tutorial solekan, maka perkara sebegitu pastinya tidak mendapat sambutan serta berulang.
“Tetapi keadaan sekarang ini, netizen tidak merasakan ianya serius dan mereka terjebak berkongsi serta menyebarkan video seperti itu.
“Walaupun kita mahu tegur, apabila kita meninggalkan komen pada video sebegitu sama seperti kita memberi sokongan terhadap pelakuan mereka,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas pelakuan segelintir lelaki yang ghairah memuat naik video parodi dengan menonjolkan imej seperti wanita, sebagaimana hangat diperkatakan netizen di media sosial ketika ini.
Tidak setakat itu, malah kebelakangan ini juga wujud segelintir lelaki memuat naik video tutorial bersolek di laman sosial khususnya Facebook.
Mengulas lanjut pelakuan sebegitu, Khairunnisa berkata, secara asasnya mana-mana lelaki yang berpakaian seperti atau menyerupai wanita adalah haram.
“Bahkan ia tidak mengikut peredaran zaman pun, dari zaman Rasulullah sehingga sekarang perkara sebegitu tak termasuk. Maknanya memang haram, dan tiada pertikaian.
“Mungkin tindakan mereka itu hanya sekadar keseronokan, hobi atau untuk menarik perhatian. Tetapi, ianya adalah suatu yang sia-sia,” katanya.
Beliau menjelaskan, sifat malu tidak hanya wujud dalam diri wanita, tetapi juga pada seorang lelaki.
“Lelaki yang menyerupai wanita ini, mungkin Allah dah angkat sifat malu mereka. Jika tidak pasti mereka akan berasa malu untuk berpelakuan sebegitu,” katanya. – Ismaweb
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)