Munculnya gerakan feminisme pada masyarakat Barat tidak terlepas dari sejarah masyarakat Barat yang memandang rendah terhadap kedudukan perempuan, dan kekecewaan masyarakat Barat terhadap pernyataan kitab suci mereka terhadap perempuan. Pakar sejarah Barat, Philip J.Adler dalam buku “World Civilization” menggambarkan bagaimana kekejaman masyarakat Barat dalam memandang dan memperlakukan perempuan.
Sampai abad ke 17, masyarakat Eropah masih memandang perempuan sebagai jelmaan syaitan atau alat bagi syaitan untuk menggoda manusia, dan meyakini bahawa sejak awal penciptaannya, perempuan merupakan ciptaan yang tidak sempurna. Oleh sebab itu perempuan disebut dengan “female” yang berasal dari bahasa Greek.
Ayat “femina” berasal dari kata “fe” dan “minus”. “Fe” bermakna “fides”, atau “faith” yang bererti kepercayaan atau iman. Sedang “mina” berasal dari kata “minus” yang bererti “kurang”. Maka “femina” adalah “seseorang yang mempunyai iman yang kurang”. [1]
Dalam kitab Bible terdapat banyak ayat yang memberikan pandangan rendah terhadap kedudukan perempuan, seperti : “Kejahatan lelaki lebih baik daripada kebajikan perempuan dan perempuanlah yang mendatangkan malu dan nista” ( Sirakh 42 : 14 )
“Setiap keburukan hanya kecil dibandingkan dengan keburukan perempuan, mudah-mudahan ia ditimpa nasib orang yang berdosa” ( Sirakh 25 :19)
“Darjatnya (perempuan) di bawah lelaki dan harus tunduk seperti tunduknya manusia kepada Tuhan” (Efesus 5 : 22 )
“Permulaan dosa dari perempuan dan kerana dialah kita semua mesti mati” (Sirakh 25 : 4 )
“Wujud kutukan Tuhan terhadap perempuan adalah kesengsaraan saat mengandung, kesakitan ketika melahirkan, dan akan selalu ditindas lelaki kerana mewariskan dosa Hawa” ( Kejadian 3: 16 )
“Perempuan harus tutup mulut di gereja, tidak ada hak untuk bersuara, dan bertanya dalam satu jemaah. Jika harus bertanya tentang sesuatu yang belum difahami, dia harus bertanya kepada suaminya di rumah” ( Korintus 14 : 34-35)
“Anak perempuan tidak mendapatkan warisan, kecuali jika tidak ada pewaris lagi dari pihak lelaki ” ( Bilangan 27 : 8 )
“Seorang isteri tidak mempunyai hak pewarisan dari suaminya” ( Bilangan 27 : 8- 11)
Sikap Kitab suci Bible terhadap perempuan tersebut mengakibatkan sikap gereja yang merendahkan perempuan sebagaimana dinyatakan oleh Paderi St.John Chrysostom (345-407) “Wanita adalah syaitan yang tidak dapat dihindari, suatu kejahatan dan bencana yang abadi dan menaik, sebuah risiko rumah tangga”. [2]
Thomas Aquinas, dalam tulisannya “Summa Theologia” setuju dengan pernyataan Aristotle yang menyatakan bahawa : “ Perempuan adalah lelaki yang cacat atau memiliki kekurangan (defect male)”. Sedangkan Imanuel Kant menyatakan bahwa : “Perempuan mempunyai perasaan yang kuat tentang kecantikan dan keanggunan dan sebagainya, tetapi kurang dalam bidang kognitif dan tidak dapat memutuskan tindakan moral “ [3]
Pada abad Pertengahan, gereja berperanan sebagai pusat kekuasaan. Akibatnya kekuasaan politik memandang rendah terhadap kedudukan perempuan. Sebahagian besar perempuan dianggap sebagai anak kecil-dewasa yang dapat digoda atau dianggap tidak memiliki akal yang sempurna, sehingga perempuan yang berkahwin di abad pertengahan tidak memiliki hak untuk bercerai dari suaminya dengan alasan apapun juga. [4]
Francis Bacon dalam bukunya “Marriage and Single Life” menerangkan bahawa perempuan menyimpan benih keburukan sehingga harus selalu diawasi oleh ahli keluarga lelaki atau suaminya apabila dia sudah berkahwin. Oleh sebab itu, hidup tanpa nikah merupakan kehidupan ideal bagi seorang lelaki, kerana jauh dari pengaruh buruk perempuan dan beban anak-anak, sehingga mereka dapat memberikan perhatian yang penuh pada kehidupannya dalam masyarakat. [5]
Perlawanan terhadap kekuasaan gereja telah dimulai dengan terjadinya Revolusi Perancis (1789). Perjuangan kebebasan atas dominasi gereja dan Raja tersebut juga memberikan pengaruh besar pada gerakan perempuan dalam masyarakat Barat. Kaum perempuan saat itu bergerak memanfaatkan gerakan politik di tengah pemberontakan rakyat yang berdasarkan kebebasan (liberty), persamaan (equality) dan persaudaraan (fraternity). Pada waktu itu, perempuan Perancis berjalan di pasar-pasar bersama dengan pasukan kebangsaan menuntut agar Raja mengawal harga dan menyediakan roti di rumah-rumah. Gerakan perempuan Perancis bersama kelompok revolusi menginginkan sistem kerajaan digantikan dengan sistem republik, berdasarkan persamaan hak dan demokrasi. Gerakan kebebasan politik terus berlangsung sehingga pada tahun 1792 kaum perempuan memperoleh hak untuk dapat bercerai dari suaminya. [6]
Mary Wollstonecraft pada tahun 1792 juga menulis buku “A Vindication of the Right of Women” yang menentang anggapan bahawa perempuan hanya untuk memberi kepuasan seksual kepada lelaki, dan menjelaskan bahawa perempuan mempunyai peluang yang sama dengan lelaki dalam hal ekonomi, pendidikan, sosial, dan politik. Sejarah mencatatkan bahawa hanya pada tahun 1920 perempuan masyarakat Barat baru mendapat hak memilih dalam pilihan raya. [7]
Latar belakang kedudukan perempuan di Barat tersebut akhirnya memunculkan gerakan perempuan yang menuntut persamaan hak dengan kaum lelaki. Lucretia Mott dan Elizabeth Cady Stanton pada tahun 1848 mengadakan siding akhbar Konvensyen Hak-hak Perempuan di Seneca Falls yang dihadiri oleh 300 peserta dan menghasilkan deklarasi yang menuntut reformasi hukum perkahwinan, perceraian, pewarisan harta dan anak. Konvensyen Perempuan di Seneca Falls itu merupakan protes terhadap Konvensyen Penghapusan Perhambaan pada tahun 1840 di mana kaum perempuan tidak diberi hak untuk mengemukakan pendapatnya. [8]
Tahun 1895, Elizabeth Candy Stanton, menerbitkan buku “The Women Bible” di mana dia mengkaji seluruh teks Bible yang berkaitan dengan perempuan, dan mengambil kesimpulan bahawa kitab suci Bible mengandungi ajaran yang menghina perempuan, dan dari ajaran inilah terbentuk dasar-dasar pandangan Kristian terhadap perempuan. Berikutnya, Stanton berusaha meyakinkan bahawa Bible bukanlah kata-kata Tuhan, tetapi sekadar himpunan tentang sejarah dan cerita yang ditulis oleh kaum lelaki, dan oleh sebab itu perempuan tidak memiliki kewajipan moral untuk mengikuti ajaran Bible. [9]
Gerakan pembaharuan intelektual “Renaissance” di Barat memberi pengaruh yang kuat terhadap gerakan feminisme dan kesamaan gender. “Declaration of the Right of Man and of the Citizen” yang muncul pada tahun 1789 menjelaskan tentang kewarganegaraan Perancis gagal memberikan status yang sah kepada perempuan sehingga pada tahun 1791 diisytiharkan “Declaration of the Right of Women and the (Female) Citizen” yang menyatakan bahawa bukan sahaja perempuan setaraf dengan lelaki, tetapi merupakan pasangan (partner) dalam seluruh bidang kehidupan.
[1] Philip J.Adler, World Civilization, Belmont, Warworth, 2000, hlm 289.
[2] Abul A’la Maududi, AlHijab, Gema Risalah Press, bandung, 1995, hlm 23.
[3] Gadis Ariva, Pembongkaran Wacana Seksis Filsafat Menuju Filsafat berperspektif Feminism, Disertasi Fakulti Ilmu Pengetahuan Budaya, Universiti Indonesia, 2002, hlm 95.
[4] McKay John P.Bennet D.Hill dan John Buckler, A History of Western Society, Boston, 1983, hlm 541.
[5] Abul A’la Maududi, al Hijab, hlm 52.
[6] Rowbotham, Sheila, Women in Movement : Feminism and Social Action, Routledge, New York, 1991, hlm 29.
[7] Rowbotham, Sheila, Women in Movement: Feminism and Social Action, McGrawHill, New York, 2000, hlm 6-7.
[8] Gadis Ariva, Pembongkaran Wacana Seksis Filsafat Menuju Filsafat berperspektif Feminism, Disertasi Fakulti Ilmu Sosial Budaya, Universiti Indonesia, 2002, hlm 95.
[9] Phyllis Trible(et.al), Feminist Approach to The Bible”, Biblical Archeology Society, Washington, 1995.
Sumber: Muhammad Ariffin bin Ismail, Gerakan Feminisme, Persamaan Gender dan Pemahaman Agama (Bahagian 1), hlm 1-4.
* Muhammad Ariffin bin Ismail merupakan Panel Jawatankuasa Pemikir Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
*Kertas kerja ini diterbitkan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.