Bitcoin tak penuhi syarat syarak: Dr Ali Al-Qaradaghi

 

BANGI – Setiausaha Agung Persatuan Ulama Sedunia, Syeikh Dr Ali Al-Qaradaghi berkata, mata wang kripto, termasuk Bitcoin tidak memenuhi syarat transaksi yang dibenarkan dari segi syarak.

Beliau berkata, mata wang mesti memiliki sifat tukaran yang baik, boleh menyimpan nilai dan menjadi pengukur kepada mata wang itu sendiri, selain terdapat standard dalam transaksinya.

“Namun sifat-sifat ini tidak dimiliki oleh mata wang kripto, seperti Bitcoin dan lain. Walaupun, kita mengandaikan Bitcoin adalah mata wang, buat masa ini ia masih tidak mematuhi syarat transaksi yang betul dari segi syarak,” katanya dalam temu bual bersama saluran Aljazeera Mubassher.

Beliau berkata, berasaskan kepada kaedah Sadd Dhara’i dalam Islam, sesuatu yang harus boleh ditegah jika ia lebih banyak membawa kepada kemudaratan.

Syeikh Dr Ali yang juga pakar kewangan Islam antarabangsa berkata, kegiatan spekulasi dalam Bitcoin sangat berleluasa dan dalam keadaan yang berlaku sekarang ini ia tidak dibenarkan menurut syariah.

“Perlu ada alternatif lain yang memberikan ciri yang lebih baik kepada mata wang kripto. Mereka yang menggunakan bitcoin atau melakukan spekulasi harganya hendaklah menjual Bitcoin pada harga pasaran dan apa-apa keuntungan perlu disalurkan kepada fakir miskin serta badan kebajikan,” katanya.

Sebelum ini, Mufti Besar Mesir, Dr Shawki Allam mengeluarkan fatwa mengharamkan dagangan menggunakan Bitcoin kerana mata wang maya itu memberi banyak risiko kepada orang ramai, boleh menyebabkan penipuan atau pemalsuan nilainya.

“Bitcoin boleh membahayakan keselamatan sosial dan ekonomi negara. Bitcoin bukan yang pertama dalam pasaran pertukaran mata wang, tetapi terdapat banyak mata wang digital lain yang dikenali sebagai kripto.

“Bitcoin boleh menganggu gugat keselamatan negara dan sistem kewangan pusat,” kata Dr Shawki dalam fatwa yang dikeluarkan menerusi Dar Al Iftaa – badan tertinggi agama Mesir.

Bitcoin adalah salah satu mata wang perbankan maya atau mata wang digital, mula muncul pada 2009. Ia dicipta dan dipasarkan secara elektronik, dan tidak terdapat dalam bentuk fizikal. Bitcoin juga adalah aset spekulatif dan orang ramai yang melabur mata wang itu melakukannya dengan risiko sendiri.

Beliau menegaskan bahawa mata wang maya itu tidak disokong oleh aset yang ketara dan diterbitkan tanpa kawalan, serta tidak bergantung kepada mana-mana pihak berkuasa atau bank pusat. – Aljazeera Mubasher

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts
Read More

Ada hikmah di sebalik kesabaran kita

    أَمْ حَسِبْتُمْ أَن تَدْخُلُواْ الْجَنَّةَ وَلَمَّا يَأْتِكُم مَّثَلُ الَّذِينَ خَلَوْاْ مِن قَبْلِكُم مَّسَّتْهُمُ الْبَأْسَاء وَالضَّرَّاء وَزُلْزِلُواْ…