Pertahan dunia Melayu sebagai kubu Sunni

 

PUTRAJAYA – Multaqa Dakwah dan Pemikiran Islam 2018, menyeru kerajaan dan umat Islam untuk sama-sama bertekad meningkatkan komitmen dalam mempertahan dunia Melayu sebagai kubu wilayah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Pada masa sama multaqa yang dihadiri oleh lebih 600 peserta juga mencapai persetujuan supaya pemikiran Islam, termasuk Ilmu Kalam, diperluas dan dikemas kini bagi menjawab pemikiran sekularisme, liberalisme, modenisme, pasca-modenisme dan lain-lain.

Bertemakan Transformasi Dakwah dan Pemikiran Islam anjuran Majlis Perundingan Islam (MPI) multaqa itu mencapai tujuh resolusi yang dibacakan Ketua Kluster Pemikiran Islam, Datuk Dr Siddiq Fadzil .

Selain itu, Dr Siddiq berkata, di samping memelihara warisan silam, ilmuwan muslim harus mampu mengungkapkan wacana Islam kontemporari (al-khitab al-Islamiy al-Mu’asir) berasaskan prinsip al-asalah wa al-mu’asarah dalam pengertian berorientasi kekinian tanpa harus tercabut daripada akar keasliannya.

“Menyedari hakikat telah berlakunya proses pendangkalan kefahaman dan penghayatan tentang mazhab Ahl al-Sunnah wa al-jamaah dalam kalangan massa umat, multaqa ini berpendapat perlunya gerakan celik sunnah dalam pengertian pemasyarakatan semula pengeritan dan tuntutan faham Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah termasuk maqasid al-‘aqa’id (objektif utama ‘aqidah).

“Dengan demikian, ‘aqidah mampu berfungsi sebagai kekuatan pembinaan karakter umat. Untuk itu, perlu ditampilkan para ilmuwan yang benar-benar berkompetensi dan berautoriti,” katanya.

Dr Siddiq berkata, menyedari pentingnya peranan pengajian kalam dan akidah, terutama di institusi pengajian tinggi (IPT), maka multaqa berpendapat perlunya pemberdayaan dan penyegaran IPT bagi memungkinkannya membina generasi yang mengakar pada turath, sekali gus memiliki kompetensi tinggi menangani isu-isu pemikiran kontemporari.

“Untuk itu, orientasi pengajian tidak hanya tertumpu pada teks warisan, tetapi juga ada pembinaan daya fikir analitikal, kritis dan inovatif, dengan memanfaatkan warisan ilmu mantik yang dipromosikan oleh sarjana-sarjana Islam silam.

“Akhir sekali, kita perlu menyedari wujudnya perkembangan fenomenal dalam pengajian sains, pemikiran Islam harus mampu membawa pemikiran saintifik dan falsafah sains ke dalam bingkai worldview, aksiologi (system nilai) dan epistemology (teori dan falsafah ilmu) Islam. Untuk itu, gerakan keintelektualan yang mendukung aspirasi tersebut perlu diberdayakan dengan penyediaan dana dan kemudahan seperlunya,” katanya.

MPI adalah sebuah jawatankuasa pemikir yang boleh memberi nasihat kepada kerajaan. Pelaksanaan dan penganjuran multaqa ini adalah bagi siri keempat, susulan daripada Multaqa Ekonomi bagi siri pertama, Multaqa Perundangan dan Politik bagi siri kedua dan Multaqa Pendidikan dan Soasial bagi siri ketiga. – Ismaweb

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts