BANGI – Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman menyifatkan keputusan Mahkamah Persekutuan yang memutuskan penukaran agama tiga kanak-kanak kepada Islam tidak sah, sebagai petanda jelas kepada kerajaan supaya mengambil tindakan segera bagi memperbetulkan keadaan.
Beliau berkata, undang-undang dalam negara yang majoritinya dihuni umat Islam ini perlu diperkemaskan mengikut hukum syariah.
Malah, beliau berkata, segala pertikaian dan polemik mengenai kesesuaian pelaksanaan undang-undang Islam perlu dihentikan.
“Isu ini dah jadi masalah perundangan dan telah menyebabkan krisis dalam masyarakat. Tiba masanya kerajaan selaraskan undang-undang negara dengan hukum Islam. Jangan dipolitikkan lagi masalah ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mahkamah Persekutuan hari ini, yang memutuskan penukaran agama tiga anak Muhammad Ridhuan Abdullah – Tevin Darsiny,21, Karan Dinish,20 dan Prasana Diksa 9 – kepada Islam adalah terbatal dan tidak sah di sisi undang-undang kerana tidak mendapat persetujuan ibunya, M Indira Gandhi.
Ketika mereka diislamkan pada 2009, kanak-kanak berkenaan itu masing-masing berusia 12 tahun, 11 tahun dan 11 bulan.
Lima hakim dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin, disertai Ketua Hakim Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum; bersama tiga Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Zainun Ali; Tan Sri Abu Samah Nordin; dan Tan Sri Ramly Ali, membuat keputusan sebulat suara.
Menerusi 99 muka surat penghakiman yang dibacakan Zainun, mahkamah memutuskan persetujuan kedua-dua ibu bapa adalah perlu untuk penukaran agama anak sebelum Sijil Perakuan Memeluk Islam dikeluarkan oleh Pendaftar Mualaf. – Ismaweb
www.indahnyaislam.my
Sertai kempen Malaysia Subuh Berjemaah Bebaskan Al-Aqsa: bit.ly/subuhaqsa
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)