LONDON – Setiap petang Khamis, Eva, wanita Jerman berusia 45 tahun, berjalan ke masjid di Utara London di mana dia mendapat hidangan panas, sesuatu yang sukar diperoleh gelandangan yang tinggal di jalanan.
Eva sudah menetap di United Kingdom (UK) sejak lima tahun lalu dan menjadi gelandangan tiga tahun lalu. Dia hilang pekerjaan sebagai pencuci apabila syarikat tempat dia bekerja ditutup. Sejak itu, dia tinggal di jalanan, bergelut mencari pekerjaan dan mendapat makanan daripada gereja yang sejak akhir-akhir ini jarang diperolehnya.
“Sebelum ini gereja menyediakan makanan asas dan tempat perlindungan, saya meminta lebihan makanan daripada kafe atau restoran, tetapi tidak diberi kerana ia adalah polisi mereka,” katanya.
Bagaimanapun, sejak dua tahun lalu, Eva turut sama dalam satu program ‘makanan untuk semua’ yang dianjurkan Masjid Finsbury Park setiap petang Khamis, di mana dia menikmati makan malam percuma sambil berbual dengan gelandangan lain serta sukarelawan.
Makanan yang dihidangkan, termasuk pelbagai masakan kari India hingga kebab dan makanan Turki.
“Saya rasa inisiatif ini adalah idea yang sangat baik. Mereka menghidangkan kepada kami makanan yang bagus dan tiada siapa yang terkecuali. Di jalanan, anda akan rasa kesunyian, tetapi di sini, mereka berbual dengan anda dan mahu mengetahui mengenai anda. Bukan kerana anda gelandangan, tetapi disebabkan anda sebagai manusia yang ada perasaan dan emosi.
“Malah, inisiatif ini telah mengubah pandangan saya terhadap komuniti Islam di UK. Sebelum ini, saya berfikiran negatif terhadap mereka, tetapi sekarang melihat apa yang telah mereka lakukan kepada saya dan bagaimana mereka mengambil berat terhadap komuniti muslim atau tidak, saya hanya mampu berterima kasih,” katanya.
Acara ‘makanan untuk semua’ adalah inisiatif yang dilancarkan masjid itu sejak Ogos 2015. Pihak masjid menyediakan beberapa perkhidmatan, seperti kaunseling mengenai isu yang berlegar di kalangan gelandangan dan menyediakan maklumat mengenai perkhidmatan awam yang mudah untuk disertai mereka.
“Mengalu-alukan anda ke dalam komuniti mereka, mereka juga menghormati anda dan memperlakukan anda dengan bermaruah dan itulah sebabnya saya akan terus datang ke masjid ini. Mereka membuatkan saya berasa dihargai,” kata Eva.
Tahun lalu, masjid itu mendapat perhatian apabila Darren Osbourne, dalam tindakan keganasan, memandu sebuah van dan merempuah jemaah pada malam bulan Ramadan lalu, menyebabkan seorang terbunuh dan beberapa lagi cedera.
Bagaimanapun, pihak masjid dan komunitinya tidak membenarkan serangan ganas itu menghalang tanggungjawab mereka.
“Makanan untuk semua adalah satu program kecil di mana kami cuba membantu komuniti masyarakat. Gelandangan adalah isu besar di UK dan ia meningkat secara mendadak.
“Setiap pusat kemasyarakatan mempunyai tugas dan tanggungjawab membantu gelandangan ini, dan sebab itu kami membuat keputusan untuk memperkenalkan program ini,” kata Pengerusi Masjid Finsbury Park, Mohammed Kozbar.
Katanya, program ini terbuka kepada semua penganut agama, latar belakang dan jantina kerana ianya bertujuan menyediakan makanan kepada orang ramai.
Gelandangan di UK menjadi isu yang besar dengan nisbah satu bagi setiap 200 orang (lebih 300,000). Di London sahaja nisbah gelandangan ialah satu bagi setiap 59 orang. – Ismaweb
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)