Rasulullah ﷺ dan penolakan kepimpinan Abu Zar

 

1. Abu Zar adalah seorang lelaki yang berkemahuan tinggi dan berjiwa keras (choleric?). Ketika bermusafir mencari kebenaran, Abu Zar telah dipertemukan dengan Rasulullah ﷺ. Setelah memeluk Islam, Baginda ﷺ menyarankan kepada Abu Zar supaya menyembunyikan keislaman beliau. Tetapi keberanian Abu Zar melangkaui nasihat ini. Abu Zar mengumumkan keislaman beliau lalu dipukul oleh Quraysh beramai2 di Mekah (al-Bukhari).

2. Ketika dalam perang Tabuk, Abu Zar telah tertinggal jauh dibelakang kerana untanya yang perlahan. Menurut riwayat, Abu Zar lantas meninggalkan untanya lalu berjalan kaki memikul kelengkapan perangnya dalam perjalanan yang jauh dan panas. Ketika tentera muslimin ternampak bayang-bayang seorang lelaki yang mengekori mereka, Rasulullah lantas berkata: Mudah-mudahan itu adalah Abu Zar, seorang yang berjalan seorang diri, meninggal seorang diri dan akan dibangkitkan seorang diri (Ibn Hisham). Lihatlah sifat independen serta berjiwa kental lelaki yang bernama Abu Zar ini.

3. Namun dalam satu keadaan, Abu Zar pernah meminta supaya beliau dilantik menjadi ketua/pemimpin. Luah Abu Zar kepada Rasulullah ﷺ: Bolehkah engkau melantik aku sebagai pemimpin Ya Rasulallah? Rasulullah dengan tenang menjawab:

يا أبا ذر إني أراك ضعيفاً، وإنى أحبُّ لك ما أحب لنفسي، لا تأمرن على اثنين ولا تولين مال يتيم”

Maksudnya: “Wahai Abu Zar, sesungguhnya aku melihat engkau sebagai orang yang lemah, dan aku mencintai buatmu apa yang aku cintai buat diriku sendiri. Janganlah engkau menjadi pemerintah walau untuk dua orang dan janganlah engkau menguruskan harta anak yatim.” (HR Muslim)

4. Apabila Rasulullah ﷺ mengatakan Abu Zar adalah seorang yang lemah atau tidak kuat, jelas kelemahan yang dimaksudkan di sini bukanlah kelemahan fizikal kerana Abu Zar tidak hirau dipukul di awal keislaman beliau di Mekah malah Abu Zar mampu berjalan seorang diri dengan memikul beban dalam perjalanan yang panas dan jauh ketika perang Tabuk. Harus kita ingat bahawa dalam perang Tabuklah Allah menegur Ka’ab bin Malik kerana tidak turut serta dalam peperangan yang panas dan jauh perjalanannya itu.

5. Jadi apa yang dimaksudkan dengan lemah di sini? Melihat kepada nas hadith dan beberapa riwayat berhubung Abu Zar, beberapa kesimpulan boleh dirumuskan. Barangkali yang dimaksudkan dengan lemah di sini adalah kelemahan dari aspek ketajaman fikiran kepimpinan. Ini dapat dilihat ketika Abu Zar mendedahkan keislaman beliau yang boleh memberi ancaman kepada pengikut Islam yang baru bahkan untuk diri beliau sendiri.

6. Al-Zahabi dalam perkara ini mengakui bahawa Abu Zar adalah orang yang mempunyai fizikal yang kukuh. Namun dari aspek kepimpinan Abu Zar dilihat tidak cocok untuk dilantik. Baginda melihat sifat Abu Zar yang sangat zuhud akan memberikan kemudaratan sekiranya beliau mengatur dan menguruskan harta anak yatim. Dibimbangi, anak yatim akan dilatih menjadi zuhud seperti beliau dengan sifat keras beliau sendiri. (Siyar A’lam)

7. Jadi kelemahan yang dimaksudkan disini tidak semestinya kelemahan fizikal, bahkan dalam situasi ini Rasulullah meletakkannya sebagai kelemahan kepimpinan dalam mengatur masa depan organisasi, kelesuan buah fikiran dalam menghadapi cabaran semasa serta kekurangan dalam mengendali keperluan urus tadbir sesebuah kaum.

USTAZ DR AHMAD SANUSI AZMI
Pensyarah Kanan, Fakulti Pengajian Quran & Sunnah USIM

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts