DAMSYIK – Lebih 400 penduduk terbunuh di Ghouta Timur berikutan serangan udara rejim Bashar Al-Assad yang dibantu sekutunya, Russia, di kawasan yang dikuasai pergerakan pejuang, kata kumpulan pemantau.
Kumpulan Pemantau Hak Asasi Manusia Syria berkata, sekurang-kurangnya 403 penduduk, termasuk 150 kanak-kanak terbunuh, manakala hampir 2,120 lagi cedera, dalam ‘serangan menggila’ rejim Syria bermula Ahad lalu.
Wakil Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Syria, Staffan de Mistura dalam ulasan menjelang mesyuarat Majlis Keselamatan PBB, menggesa gencatan senjata dilaksanakan.
“Situasi kemanusiaan di Ghouta Timur mengerikan. Oleh itu, kita memerlukan gencatan senjata bagi menghentikan pengeboman mengerikan di Ghouta Timur, serta serangan mortar ke arah Damsyik.
Katanya, gencatan senjata itu perlu disusuli dengan akses segera bantuan kemanusiaan tanpa halangan, dan menyelaras pemindahan penduduk yang cedera keluar dari Ghouta Timur.
Penduduk Ghouta Timur berkata, tiada apa yang mampu mereka lakukan dan tiada tempat untuk bersembunyi.
Mekanik kereta yang tinggal di Douma, Rafat al-Abram berkata, serangan udara beberapa hari lalu menjejaskan pekerjaannya.
Isteri dan dua anak gadisnya, Khadija, 17, dan Ola, 15, berada di rumah, sementara dia keluar bertemu jiran bagi mendapatkan berita terbaharu.
“Kadang kala seraangan itu berlaku berhampiran tempat saya bekerja, yang bermakna saya perlu berhenti bekerja dan segera membantu pasukan penyelamat mengeluarkan mangsa dari runtuhan,” katanya.
Selepas pulang ke rumah, Rafat berkata, dia dihantui pandangan yang tidak dapat dilupakannya.
“Melihat ibu atau bapa meratapi kematian anak mereka, atau melihat si bapa mendukung anak lelakinya yang putus sebelah kaki, atau yang lain menjerit kepada orang ramai supaya membantu ahli keluarganya yang tertimbus dalam runtuhan bangunan.
“Saya cuba untuk menenangkan mereka, walaupun saya juga mahu duduk dan menangis bersama mereka berikutan kengerian yang berlaku di sekeliling kami,” katanya.
Ghouta Timur di pinggir Damsyik, berada dalam kepungan rejim Assad sejak 2013. Kira-kira 400,000 penduduk tinggal di situ. Kepungan itu menyebabkan harga makanan asas meningkat.
Kadar kekurangan nutrisi mencecah tahap yang belum pernah berlaku sebelum ini, dengan 11.9 peratus kanak-kanak di bawah usia lima tahun kurang makanan berzat, kata PBB.
Nisma al-Hatri pula memberitahu, dia bersama suami dan anak perempuannya, Sara, 10 tahun, terpaksa bersembunyi dalam sebuah bilik ketika mendengar siren serangan udara.
“Hari demi hari keadaannya sama. Serangan bom, kemudian saya membersihkan rumah daripada kesan pengeboman itu. Kemudian kami bersembunyi dalam sebuah bilik, cuba untuk bertahan atau mati bersama,” katanya.
Nisma, 32 tahun, sebelum ini adalah guru tetapi serangan berterusan rejim Syria menyebabkan sekolahnya terpaksa ditutup. Bagaimanapun, dia mengajar Sara dan beberapa anak jiran di rumahnya.
Anggota Pertahanan Awam, Mahmood Adam pula berkata, realitinya Ghouta Timur adalah satu malapetaka.
“Kita bercakap mengenai serangan sistematik menyasarkan orang awam di dalam rumah mereka, sekolah dan pusat perubatan. Ia adalah penghapusan masyarakat di kawasan ini.
“Ada keluarga yang bersembunyi di pusat perlindungan bawah tanah, yang beberapa hari tidak melihat matahari kerana bimbang serangan udara rejim Syria dan Russia.
“Kami tidak tahu sama ada akan hidup atau tidak untuk menceritakan kepada dunia apa yang berlaku beberapa jam lagi atau beberapa hari akan datang. Serangan roket dilakukan tanpa henti, malah pesawat pengebom tidak pernah meninggalkan ruang udara Ghouta Timur sejak Ahad lalu,” katanya. – Ismaweb
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)