Undang-undang taat setia rejim Zionis untuk usir rakyat Palestin

 

BAITULMAQDIS – Dilihat sebagai salah satu lagi langkah untuk menduduki dan merampas sepenuhnya bandar ini, rejim pengganas Israel meluluskan apa yang dinamakan sebagai ‘undang-undang taat setia’ yang dikenakan ke atas rakyat Palestin yang tinggal di Baitulmaqdis.

Setelah Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengisytiharkan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel dan akan memindahkan kedutaannya ke bandar ini, rejim Zionis dilihat semakin rancak menyusun strategi untuk mengusir rakyat Palestin yang masih tinggal di Baitulmaqdis, secara sistematik.

Menggunakan kekerasan tentera untuk menghalau rakyat Palestin sudah pasti mendapat kecaman antarabangsa, sebagaimana yang berlaku dalam Peristiwa Nakba pada 1948. Sebaliknya, rejim pengganas Israel kini menggunakan saluran undang-undang untuk memastikan Baitulmaqdis hanya dihuni Zionis dan Yahudi.

Untuk itu, Parlimen rejim pengganas Israel (Knesset), hari ini, meluluskan undang-undang yang memberikan kuasa mutlak kepada Menteri Dalam Negeri untuk membatalkan taraf penduduk tetap yang diberikan kepada rakyat Palestin di Baitulmaqdis, jika melanggar undang-undang taat setia itu.

Undang-undang itu membenarkan kerajaan menarik balik hak mana-mana rakyat Palestin yang disyaki terbabit dalam keganasan, sama ada mereka telah disabitkan dengan jenayah atau tidak, untuk tinggal di Baitulmaqdis.

Undang-undang itu juga akan membatalkan hak Mahkamah Agung Israel untuk mengubah keputusan yang dibuat Menteri Dalam Negeri.

Menurut laman rasmi Knesset, undang-undang itu dicadangkan selepas Mahkamah Agung pada September lalu mengubah keputusan Kementerian Dalam Negeri yang menarik balik taraf penduduk tetap empat ahli politik Palestin yang tinggal di Baitulmaqdis.

Tiga daripada rakyat Palestin itu adalah Ahli Parlimen yang mewakili Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) dan seorang lagi bekas menteri.

Pengkritik berpendapat, keputusan meluluskan undang-undang taat setia itu bertentangan dengan undang-undang antarabangsa. Malah, rakyat Palestin yang tinggal di Baitulmaqdis Timur bukan memilih untuk menjadi warga Israel, sebaliknya kerana bumi itu adalah milik mereka.

Undang-undang yang tidak menjelaskan apakan maksud ‘melanggar kesetiaan’ itu sebenarnya bertujuan mewajibkan penduduk Baitulmaqdis supaya taat setia kepada rejim pengganas Israel.

Anggota Knesset Arab Israel, Dr Jamal Zahalka berkata:

“Anda (rejim Israel) memasuki Baitulmaqdis Timur dan anda mesti meninggalkannya. Undang-undang ini adalah satu jenayah. Undang-undang yang sebenarnya ialah untuk memasukinya anda perlu memiliki pasport dan visa.”

Terdapat sekurang-kurangnya 300,000 rakyat Palestin di Baitulmaqdis Timur yang memiliki taraf penduduk tetap dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri Israel dan ‘undang-undang memasuki Israel’ mengawal selia kad pengenalan, sijil lahir dan sijil kematian, pendaftaran perkahwinan dan mengeluarkan dokumen perjalanan.

Rakyat Palestin yang tinggal di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza pula memiliki taraf penduduk tetap dan dokumen lain yang dikeluarkan Pihak Berkuasa Palestin (PA).

Namun, PA mengeluarkan dokumen itu menerusi penyelarasan dengan rejim pengganas Israel, berdasarkan kepada Perjanjian Oslo 1993.

Rejim Zionis juga mengawal sepenuhnya pintu sempadan, kecuali di Rafah yang dikawal PA dan Mesir, serta mempunyai kata putus siapa yang boleh memiliki permit penduduk tetap yang dikeluarkan PA.

Rejim pengganas Israel sejak 1967, cuba mengubah demografi Baitulmaqdis, apabila menduduki secara haram Baitulmaqdis Timur, dengan menyatukan populasi Palestin di situ dengan penduduk Yahudi di Baitulmaqdis Barat.

Sejak itu juga, rejim Zionis melancarkan pelbagai kempen untuk mengosongkan Baitulmaqdis daripada rakyat Palestin.

Terdapat kira-kira 30 pindaan yang dilakukan dalam undang-undang rejim pengganas Israel dan setiap satunya menyasarkan untuk ‘menghalau’ orang Arab dari bumi Baitulmaqdis.

Walaupun, ada sesetengah penduduk Palestin di Baitulmaqdis yang dibenar mendapat kerakyatan Israel, rejim Zionis tetap bimbang dengan peningkatan jumlah mereka yang merangkumi hampir 40 peratus daripada penduduk bandar itu.

Sejak 1967, rejim pengganas Israel membatalkan taraf penduduk tetap lebih daripada 14,000 rakyat Palestin, memaksa mereka meninggalkan Baitulmaqdis. – Ismaweb

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts