BANGI – Kesepakatan dan kerjasama negara-negara Islam diperlukan untuk membanteras tindakan kejam rejim Bashar al-Assad ke atas rakyat Syria, terutama di Timur Ghouta.
Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin Berhad, Awang Suffian Awang Piut berkata, tragedi menyedihkan di wilayah itu sudah cukup membuktikan bahawa umat Islam di seluruh dunia perlu bangkit menyuarakan isu penindasan rakyat di Syria.
“Saudara kita diseksa, dibom, ditembak dengan sengaja hanya kerana menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap pemimpin yang tidak adil.
“Namun, pada akhirnya mereka menjadi mangsa kepada pemimpin yang tidak berperikemanusiaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, dengan kemampuan rejim Bashar dan disokong sekutunya Russia, telah memberikan bukti kukuh bahawa pemerintahan kerajaan itu hanya berasaskan keganasan, penindasan dan melanggar hak asasi masyarakat Syria.
“Dalam masa hampir dua minggu, lebih 800 jiwa dilaporkan terkorban dan hal ini telah memberikan impak yang besar terhadap umat Islam seluruh dunia,” katanya.
Serentak itu, beliau berkata, isu yang berlaku di bumi Syria hari ini perlu dimulakan dengan tindakan keras secara besar-besaran di peringkat antarabangsa.
Katanya, antara langkah yang perlu adalah dengan memberi ruang kepada rakyat Syria menerusi bantuan perubatan, tempat tinggal, makanan dan lain-lain keperluan berkaitan.
Malah beliau menggesa setiap negara menghulurkan bantuan dan memberikan tempat tinggal sementara kepada rakyat Syria menggunakan sistem dan undang-undang yang betul.
“Hal ini bukan sahaja memberi kehidupan baru kepada rakyat Syria, malah ia juga mencerminkan imej sesebuah negara yang mementingkan hak kebajikan sesama manusia tidak kira bangsa dan agama.
“Di peringkat rakyat awam khususnya di Malaysia, setiap usaha kita dalam menghulurkan sumbangan bagi mereka yang memerlukan amat berharga,” katanya. – Ismaweb
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)