BEBERAPA minggu lalu, tersebar di media sosial dakwaan penubuhan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebagai tidak berperlembagaan dan perlu dimansuhkan.
Inilah antara idea kontroversi golongan liberal (pelonggar agama) menyerang agensi agama Islam, sekali gus menolak apa sahaja usaha untuk mendaulatkan Islam.
Pandangan sebegini menyamai pandangan usang Orientalis Barat seperti Ignaz Goldziher, Joseph Shahct dan NJ Culson yang sekian lama mendakyahkan syariat Islam sebagai legasi ciptaan fuqaha zaman silam.
Mereka mendakwa ia kononnya hanya disusun selepas kewafatan Rasulullah SAW pada era Umaiyyah dan Abbasiyyah. Acuan pemikiran mereka tidak mengakui apa pun selain akal dalam memahami agama.
Melalui rujukan yang diperoleh, JAKIM ditubuhkan secara berperlembagaan, menepati Perkara 3, Perkara 12(2), Perkara 121(1A) dan Sumpah Jawatan Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 37(1) Perlembagaan Persekutuan.
JAKIM adalah agensi yang menguruskan dana awam pembangunan agama Islam berdasarkan peruntukan Perkara 12(2) Perlembagaan Persekutuan dan berada di bawah seliaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Malahan, banyak peruntukan berkaitan agama Islam dan hak orang Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan, antaranya:
- Islam sebagai agama bagi Persekutuan.
- Hak kebebasan menganut, mengamal dan menyebarkan Islam.
- Menggunakan dana awam bagi tujuan Islam.
- Kedudukan terpelihara Mahkamah Syariah.
- Pengecualian penolakan undang-undang Islam ketika darurat.
- Penetapan hal ehwal Islam terletak dalam bidang kuasa negeri.
Dalam hal ini, tidak wajar mengatakan JAKIM mahupun mana-mana agensi agama sebagai organisasi tidak berperlembagaan.
Kesan modenisme semasa menyebabkan berkembangnya pemikiran Islam liberal, hari ini idea kontroversi diketengahkan atas alasan kebebasan individu.
Dipengaruhi Barat
Gagasan pemikiran liberal ini kelihatan terjebak dengan kerangka pemikiran Barat dan berpegang kuat kepada rasionalisme.
Mereka bertindak lebih berani daripada Orientalis Barat dengan harapan meruntuhkan institusi Islam di Malaysia.
Keruntuhan autoriti agama secara tidak langsung membawa kepada keruntuhan Islam.
Hari ini pemikiran liberal kelihatan berjaya mempengaruhi umat Islam sehingga muncul pandangan yang menolak autoriti agama, menuntut kesamarataan gender, menolak autoriti ulama, menjadi imam dan wali perkahwinan.
Terdapat individu yang aktif memuat naik status di media sosial memperkatakan mengenai kebebasan mutlak, terkeluar daripada lunas agama, tidak menyokong undang-undang syariah, selain mempertikaikan peraturan Islam, Mahkamah Syariah dan autoriti agama.
Dapatan kajian mendapati belia adalah kumpulan paling berisiko terpengaruh dengan pemikiran sebegini.
Tidak mahu terikat al-Quran dan al-Sunnah
Golongan liberal adalah golongan ekstrem kerana tergolong dalam kelompok yang ifrat (longgar) dalam menafsirkan Islam, tidak mahu terikat dengan nas al-Quran dan al-Sunnah sebaliknya menjadikan akal sebagai kayu ukur memahami agama.
Islam sebenarnya tidak menolak akal dan tidak juga mengagungkan akal.
Imam al-Ghazali Rahimahullah ada berkata dalam kitab al-Iqtisad fi al-I’tiqad antaranya:
“Akal itu umpama penglihatan yang sempurna. Al-Quran umpama matahari yang menyinari alam, melalui kedua-duanya seseorang memperoleh hidayah. Seorang yang mengambil satu daripadanya tergolong dalam kalangan yang bodoh. Orang yang menolak akal hanya cukup dengan al-Quran adalah sama dengan mereka yang mendapat cahaya matahari tetapi menutup mata, maka dia tidak berbeza dengan orang yang buta.”
Gerakan Islam liberal adalah usaha halus mengeluarkan umat Islam daripada agama mereka tanpa disedari dan dilakukan melalui nama Islam.
Ini program pemurtadan terancang dan sistematik yang dilaksanakan melalui platform intelektual, ilmiah dan akademik.
Situasi ini seharusnya memberikan pengajaran agar masyarakat Islam berusaha menangani unsur yang merosakkan akidah pada peringkat awal lagi supaya tidak berkembang menjadi ancaman dan sukar dikawal.
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Ke-74 yang bersidang pada 25-27 Julai 2006, memutuskan aliran pemikiran liberal adalah ajaran sesat dan menyeleweng daripada syariat Islam.
Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pada 10 Oktober 2013 pula memutuskan :
SIS Forum (Malaysia) dan mana-mana individu, pertubuhan atau institusi yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.
Mana-mana bahan terbitan yang berunsur pemikiran fahaman liberalisme dan pluralisme agama hendaklah diharamkan dan boleh dirampas.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) hendaklah menyekat laman sosial yang bertentangan dengan ajaran Islam dan hukum syarak.
Mana-mana individu yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama hendaklah bertaubat dan kembali ke jalan Islam.
Islam tidak menolak akal dan adat. Dalam ilmu fiqh terdapat ruang yang cukup luas bagi maslahah (istihsan dan istislah) dan adat (uruf) selama ia tidak bercanggah dengan al-Quran dan al-Sunnah.
Adat pada umumnya bersandarkan kemaslahatan manusia. Paduan wahyu dan akal menjadikan peradaban Islam berkembang membentuk peradaban dunia seperti di Baghdad, Cordoba, Istanbul, Kaherah, Delhi, Aceh dan Melaka yang melahirkan ilmuwan, saintis dan ulama.
Pendekatan wasatiyyah
Inilah pendekatan wasatiyyah, menolak ekstrem dan melampau, pendekatan jalan tengah di antara tafrit (terlalu ketat) dan ifrat (terlalu longgar), berada di antara golongan yang menerima konsep kebebasan mutlak manusia dan golongan yang menyerah bulat-bulat kepada takdir.
Berada di antara golongan yang memberontak dan golongan yang terlalu mengagungkan pemimpin mereka, di antara golongan yang mengagungkan akal fikiran dan golongan jumud yang menolak akal fikiran.
Inilah paduan di antara nas dan konteks, wahyu dan akal. Tidak ada pemisahan di antara dunia dan akhirat, sains dan agama.
Umat Islam berpegang kepada wahyu dan akal dalam memahami agama dan tidak terkeliru meletakkan kedua-duanya di kedudukan yang sewajarnya.
Tan Sri Dr Abdullah Muhammad Zin
Penasihat Agama Perdana Menteri
Sumber: Berita Harian
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)