SENARIO politik yang terjadi hari ini dalam kalangan warga umat amat membimbangkan. Perpecahan yang terjadi, tidak ada kesediaan untuk bermuzakarah, melihat kalah menang dalam perebutan kerusi sebagai matlamat utama, bidasan pedas dan suburnya fitnah menjadi pendekatan popular adalah antara gambaran hodoh dalam politik orang Melayu di Malaysia.
Ia terpancar hasil politik hasad dengki, dendam kesumat dan rasa benci yang tinggi terhadap lawan. Jangka panjangnya ia bakal merugikan perpaduan umat dan boleh menyebabkan kuasa politik orang Melayu bakal tergugat. Kalau tiada kejernihan melihat pentingnya bersatu, keterpinggiran bakal terjadi.
Umat Melayu harus mendukung pendekatan politik matang. Meski ada perbezaan dari sudut dasar dan hala tuju perjuangan tetapi asas-asas yang fundamental seperti Islam, bahasa dan pendidikan umat Melayu, membangunkan orang Melayu secara berkesan dan bijaksana dalam politik, ekonomi, pendidikan dan sosial seharusnya menjadi agenda bersama. Politik matang memberi upaya untuk kita membaca senario dan meramal kemungkinan supaya maslahah dan strategi perjuangan berlaku secara bijaksana.
Politik matang tidak menghasilkan pengikut yang taksub dan sempit pemikiran dengan melihat kelompok sendiri saja yang betul dan kelompok lain semuanya zalim. Pendekatan sebegini lebih mempercepatkan berkecainya matlamat kesatuan ummah.
Perubahan tidak akan hanya selesai dengan mengkritik melulu, sebaran fitnah yang palsu, persepsi jengkel kerana hasad-dengki, dendam kesumat dan kebencian yang di luar batas syarak. Perubahan hanya akan berlaku kalau umat Islam mempunyai punca kuasa yang bakal membentuk dasar dan strategi bagaimana sesuatu dapat direncana dan dilaksanakan secara berhemah.
Perbezaan yang ada dalam kalangan kita adalah dari sudut pendekatan dan strategi. Perbezaan yang ada sepatutnya mengukuhkan lagi jaringan orang Melayu supaya wujudnya pro-kontra dalam melihat sesuatu secara rasional dan sihat bakal membawa natijah yang baik ke arah pembaikan.
Yang ditampilkan kini ialah politik hasad dengki, dendam kesumat dan kebencian yang mendalam. Lalu lahirlah kalimah-kalimah jengkel yang tidak Islami, maklumat palsu disebarkan, persepsi negatif menjadi anutan dan banyak lagi dilontarkan kepada pihak lawan yang juga penganut Islam.
Politik nafsul amarah tidak boleh dijadikan tunjang kepada siasah Islami. Politik Islam adalah politik dakwah dan tarbiah. Di samping kuasa yang dihajatkan akhlak dan adab perlu dijaga. Politik dakwah menyemai sifat kasih sayang dan belas kasihan yang tinggi. Politik dakwah menuntut kesabaran juga.
Politik hasad dengki, dendam dan kebencian menghasilkan permusuhan. Sedangkan umat Islam dituntut menjalin ukhuwah yang tinggi. Sekiranya kerana politik permusuhan yang terjadi siasah Islam tidak lagi menjadi landasan.
Jalan mudah untuk mengukuhkan kebencian dan dendam kesumat adalah dengan melakukan fitnah semahu-mahunya, membuat tuduhan tanpa bukti dan ditularkan kepada khalayak untuk mempengaruhi warga maya (netizen) lain. Lalu maklumat yang palsu disebarkan tanpa melakukan tabayyun (usul periksa) menyebabkan orang tumpang dosa sama. Proses membentuk watak manusia yang tidak sempurna ialah usaha dakwah dan tarbiah. Justeru agama Islam adalah milik semua dan harus dijadikan sumber ikutan untuk semua.
Politik hari ini adalah politik maki hamun dan sumpah seranah yang menyebabkan keretakan hubungan sesama orang Melayu terjadi dan kesannya tidak mudah untuk dileraikan. Politik umat Melayu seharusnya lebih rasional. Ia sepatutnya bertolak dengan prinsip bahawa berbeza itu adalah sesuatu yang fitrah. Tetapi jangan jadikan asas perbezaan pendapat dan pendirian sebagai sumber fitnah yang meratah daging sesama Islam.
Siasah Islami mendidik manusia mengakui kebaikan dan kebenaran yang dilakukan oleh orang lain. Yang baik dan benar dari orang harus membawa jiwa besar mengakui bahawa ia adalah benar dan baik. Tetapi politik hasad-dengki, dendam kesumat dan kebencian selalunya menyatakan bahawa mereka saja yang benar orang lain tidak.
Memperkasa orang Melayu di Malaysia bukanlah suatu hal yang mudah. Kalau setakat kuasa saja, ia tidak memadai. Ia menuntut keinsafan yang tinggi dalam kalangan warganya bahawa wahdah dan kesatuan adalah sesuatu yang paling utama.
Bila terdapat perselisihan dan silap faham, jalannya adalah kembali kepada ajaran al-Quran dan As Sunnah iaitu muzakarah. Muzakarah adalah jalan bijaksana untuk mengatasi syak wasangka dan perseteruan.
Kepemimpinan politik orang Melayu harus berjiwa besar supaya kesan buruk terhadap generasi akan datang dapat dihindarkan. Berbeza, berbezalah. Tetapi santunilah perbezaan dengan etika berbeza (adab ul ikhtilaf) supaya perbezaan dalam kalangan umat, kata Rasulullah SAW menghasilkan rahmah.
PROF. DATUK DR. SIDEK BABA
Dekan Institut Antarabangsa Dunia Melayu dan Tamadun Islam
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
Sumber: Utusan
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)