PERISTIWA agung perjalanan Israk dan Mikraj Nabi Muhammad SAW adalah kejadian luar biasa yang mencarik adat kebiasaan manusia. Memang jauh daripada keupayaan akal untuk memikirkan bagaimana Nabi Muhammad berkelana dalam satu malam dengan roh dan jasad dari Masjidil Haram di Mekah menuju ke Masjid Al-Aqsa di Palestin seterusnya dibawa naik menembusi tujuh petala langit dan menghadap Allah Yang Maha Esa.
Namun bagi hamba Mukminin ini adalah peristiwa imaniyyah yang menunjukkan kekuasaan dan keagungan Allah SWT kepada seluruh makhluknya yang berkuasa mutlak mengatur perjalanan menakjubkan itu. Dengan itu manusia perlu beriman dan meyakini kewujudan Allah sebagai Tuhan Penguasa sekalian alam.
Setiap hamba perlu sentiasa berusaha untuk membuktikan keimanan dan ketaatan melalui amal ibadah yang ikhlas dilakukan kerana-Nya. Kelalaian berbuat demikian tidak mengurangkan sedikit pun daripada keagungan dan kekuasaan Allah sebaliknya golongan yang ingkar bakal menerima balasan buruk dan seksaan yang amat pedih akibat kelakuan sendiri.
Justeru masyarakat Islam diingatkan supaya tidak mengabaikan perintah untuk mengerjakan solat lima waktu yang juga difardukan pada malam Israk dan Mikraj. Kepentingannya diperjelaskan lagi dengan kewajipan solat yang difardukan secara langsung ketika Nabi SAW menghadap Allah Rab al-Jalil.
Malah dalam perjalanan tersebut Nabi SAW ditunjukkan dengan perbuatan malaikat yang rukuk, sujud dan melakukan pergerakan solat yang lain kemudian dihimpunkan semuanya menjadi ibadah solat yang difardukan kepada umat Muslimin.
Perkara ini penting untuk diperhatikan kerana akhir-akhir ini terdapat masyarakat Islam yang langsung tidak mengendahkan solat apatah lagi solat Jumaat yang menjadi ibadah mingguan. Boleh jadi dengan sebab itu hilang keberkatan umur, keberkatan rezeki, perniagaan tidak menjadi malah keluarga porak-peranda dan anak-anak liar tanpa pedoman.
Selain itu, peristiwa Nabi Muhammad SAW menjadi imam kepada para anbia dan pertemuan dengan nabi terdahulu sebagaimana disebutkan dalam hadis Israk dan Mikraj menunjukkan Nabi SAW ialah penghulu segala nabi. Ajaran yang dibawa oleh baginda adalah kesinambungan daripada ajaran samawiy terdahulu yang tidak bercanggah satu sama lain dan semuanya mengajak manusia mentauhidkan Allah.
Sebagai nabi terakhir baginda mengingatkan manusia tentang peristiwa Hari Kiamat yang menghancurkan seluruh alam sekali gus membawa seruan untuk sentiasa bermuhasabah diri dan menyediakan bekalan secukupnya.
Beberapa bentuk seksaan diperlihatkan kepada Nabi SAW elok dijadikan iktibar dan pengajaran terutama ketika memperingati detik bersejarah Israk dan Mikraj. Antaranya disebutkan oleh al-Zahabi dalam Kitab al-Kabair, Sayyidina Ali meriwayatkan hadis Nabi SAW tentang kaum wanita yang diazab dengan beberapa bentuk seksaan.
Ada yang digantung dengan rambut sehingga menggelegak otaknya kerana tidak menutup rambut di hadapan lelaki bukan mahram, ada yang digantung dengan lidahnya dan dituangkan air yang panas meluap-luap ke kerongkong akibat menyakiti suami, ada yang ditarik kaki ke payu dara dan tangan ditarik ke kepala selain disengat oleh ular dan kala jengking kerana tidak membersihkan diri daripada janabah dan haid sehingga meremehkan solat, ada yang digantung dengan payu dara kerana menduakan suami, ada yang berkepala babi dan badannya keldai seraya diseksa dengan pelbagai azab yang lain kerana melaga-lagakan sesama manusia dan menjadi pendusta.
Digambarkan juga wanita seperti anjing, api dimasukkan ke dalam badan dan keluar melalui duburnya seraya malaikat memukul kepalanya dengan cambuk daripada api kerana sering mengungkit-ungkit kebaikan dan bersifat hasad dengki.
Sehubungan itu kaum wanita diajak supaya sentiasa menjaga penampilan diri dengan memakai pakaian yang menutup aurat. Usah terikut-ikut dengan fesyen masa kini yang tidak bertepatan dengan syariat sehingga menjatuhkan maruah diri serta terdedah kepada kutukan Ilahi.
Pakaian yang jarang, ketat dan menampakkan bentuk tubuh badan adalah dilarang oleh syariat. Kaum wanita yang bersuami juga hendaklah sentiasa menjaga kehormatan suami dan rumah tangga dengan membatasi pergaulan terutama ketika di luar rumah dan tempat kerja. Dalam hal ini suami sebagai ketua keluarga bertanggungjawab memastikan isteri dan anak-anak sentiasa menutup aurat dan mematuhi kewajipan agama.
Selain itu Nabi Muhammad SAW ditunjukkan dengan seksaan lain seperti golongan yang bertindak memukul kepala sendiri sehingga pecah berulang-ulang kali sebagai balasan buruk mengabaikan dan meremehkan solat lima waktu. Ada pula yang hanya menutup kemaluan sahaja, memakan buah-buahan neraka yang busuk dan berduri serta memakan bara-bara batu api neraka, sebagai balasan ingkar mengeluarkan zakat yang difardukan.
Golongan yang memakan riba dan membenarkan pelaksanaannya juga terdedah kepada balasan seksa seperti golongan yang perutnya terlalu besar setiap kali ingin berdiri terjatuh dan tidak berupaya berdiri semula.
Nabi SAW diperlihatkan dengan sekelompok manusia yang menggunting lidah dan bibir sendiri berulang-ulang kali sebagai peringatan buat golongan yang suka menabur fitnah, menyampaikan berita-berita palsu dan pesanan buat orang yang mengajak kepada ketaatan tetapi dia sendiri tidak melakukannya.
Malah ada perumpamaan buat golongan yang suka bercakap besar dan sombong ibarat sebuah lubang kecil yang keluar daripadanya lembu yang besar kemudian ingin memasukinya semula tetapi berjaya. Ini seperti pepatah Melayu yang menyebutkan terlajak perahu boleh diundur terlajak kata buruk padahnya.
Bersempena memperingati peristiwa agung perjalanan Nabi Muhammad SAW ke langit pada malam Israk dan Mikraj, masyarakat Islam diseru untuk kembali kepada ajaran al-Quran dan Sunnah dalam setiap lapangan kehidupan.
Usah terlalu disibukkan dengan perniagaan mahupun tugasan di pejabat sehingga lupa untuk menyiapkan bekalan di hari kemudian. Lebih memburukkan keadaan apabila terdapat pelaku dosa dan maksiat yang seronok bergelumang dengannya seolah-olah tiada apa yang akan berlaku kepada mereka.
Sedarlah betapa kematian pasti akan kunjung tiba, tanpa disangka-sangka. Semua yang diusahakan di dunia akan ditinggalkan buat selama-lamanya. Ketika itu hanya amalan baik yang dibawa sedangkan golongan yang lalai terpinga-pinga dan berharap supaya dikembalikan semula ke dunia untuk beramal.
MOHD. ALI MUHAMAD DON
Pensyarah Kanan, Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) UiTM Kampus Pasir Gudang, Johor Darul Takzim.
Sumber: http://www.utusan.com.my/rencana/iktibar-israk-8232-dan-mikraj-1.311517