Mari kita sama-sama meneliti dan menghayati nas-nas al-Quran berikut:
1) Surah Taubah ayat 71
“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi auliyak bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”
Ayat ini menyatakan tentang hubungan sesama muslim sebagai saling menjadi auliyak. Auliyak adalah perkataan jamak bagi perkataan wali, yang berasal daripada perkataan wala´, yang mengandungi erti kasih sayang, bertolong bantu mencapai kemenangan dan perhubungan rapat dan mesra.
2) Surah al-Maidah ayat 51
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani itu sebagai teman rapat, kerana setengah mereka menjadi teman rapat kepada setengahnya yang lain; dan sesiapa di antara kamu yang menjadikan mereka teman rapatnya, maka sesungguhnya ia adalah daripada golongan mereka itu. Sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang berlaku zalim.”
Ayat ini secara jelas dan nyata melarang orang-orang beriman daripada mengadakan hubungan wala´ dengan orang-orang kafir daripada kalangan Yahudi dan Kristian, disebabkan orang-orang kafir itu merupakan auliyak sesama mereka. Ayat ini diakhiri dengan ancaman bahawa sesiapa yang melanggar larangan ini maka Allah Taala mengira mereka sebagai kalangan orang-orang kafir itu juga, sebagai orang-orang yang zalim dan tidak mendapat petunjuk.
3) Surah al-Maidah ayat 55 dan 56
“Sesungguhnya wali kamu hanyalah Allah dan RasulNya, serta orang-orang yang beriman, yang mendirikan sembahyang, dan menunaikan zakat, sedang mereka rukuk (tunduk menjunjung perintah Allah). Dan sesiapa yang menjadikan Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman itu penolongnya (maka berjayalah dia), kerana sesungguhnya golongan Allah itulah yang tetap menang.”
Ayat ini mengandungi penegasan daripada Allah Taala bahawa penolong bagi orang-orang mukmin, yang sepatutnya dikasihi dan yang dijadikan teman rapat olehnya, ialah Allah Taala dan Rasul-Nya, serta orang-orang mukmin yang taat kepada perintah Allah. Allah Taala menyatakan hubungan wala´ orang-orang beriman kepada Allah, Rasul-Nya dan orang-orang beriman yang lain adalah syarat kejayaan bagi orang-orang beriman.
4) Surah Ali Imran ayat 28
“Janganlah orang-orang yang beriman mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Dan sesiapa yang melakukan (larangan) yang demikian maka tiadalah ia (mendapat perlindungan) dari Allah dalam sesuatu apapun, kecuali kamu hendak menjaga diri daripada sesuatu bahaya yang ditakuti dari pihak mereka (yang kafir itu). Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan diriNya (menyeksa kamu). Dan kepada Allah jualah tempat kembali.”
Jelas sekali ayat di atas melarang orang-orang beriman mendahulukan orang-orang kafir sebagai teman rapat (hubungan wala´ seperti yang dinyatakan di atas) seraya mengetepikan orang-orang beriman. Akibat bagi sesiapa yang melanggar larangan itu ialah tidak mendapat apa-apa pembelaan dan perlindungan daripada Allah. Larangan ini dikecualikan ke atas orang-orang beriman yang terancam keselamatannya jika tidak menjadikan orang-orang kafir itu sebagai teman rapat. Allah Taala mengakhiri ayat ini bukan dengan ancaman azab seksa-Nya, bahkan dengan diri-Nya sendiri yang Maha Berkuasa dan amat pedih seksa-Nya. Itu merupakan satu pernyataan ancaman yang lebih kuat dan dahsyat, atas kesalahan mengambil orang-orang kafir sebagai teman rapat dan meninggalkan orang-orang beriman.
5) Mujadilah ayat 22
“Engkau tidak akan dapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tergamak berkasih mesra dengan orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan RasulNya, sekalipun orang-orang yang menentang itu ialah bapa-bapa mereka, atau anak-anak mereka, atau saudara-saudara mereka, ataupun keluarga mereka. Mereka (yang setia) itu, Allah telah menetapkan iman dalam hati mereka, dan telah menguatkan mereka dengan semangat pertolongan daripadaNya; dan Dia akan memasukkan mereka ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka tetap kekal di dalamnya. Allah reda akan mereka dan mereka reda akan nikmat pemberianNya. Merekalah golongan Allah. Ketahuilah! Sesungguhnya golongan Allah itulah orang-orang yang berjaya.”
Allah Taala menegaskan dalam ayat di atas bahawa sifat dan tabiat seseorang yang beriman tidak akan sekali-kali berkasih mesra dengan orang-orang yang memusuhi Islam, sekalipun mereka merupakan ahli keluarga sendiri. Kasih sayang orang-orang beriman tumpah kepada orang-orang beriman jua, atas asas iman, sekalipun jika bertentangan dengan semangat tali persaudaraan darah. Untuk kesekian kalinya, Allah Taala menyatakan syarat kejayaan bagi orang-orang beriman ialah hubungan wala´ sesama mereka dan tidak berwala´ kepada orang-orang kafir.
6) Nisa´ ayat 144
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Adakah kamu hendak mengadakan alasan yang terang nyata bagi Allah untuk (menyeksa) kamu?”
Ayat ini hampir serupa dengan ayat 28 daripada Surah Ali Imran di atas. Pengulangan ini memberi mesej betapa larangan ini amat penting untuk dipatuhi. Dan seperti ayat-ayat di atas, larangan ini diikuti dengan ancaman azab seksa terhadap mereka yang melanggarnya.
7) Al-Maidah ayat 80 dan 81
“Engkau melihat banyak daripada kalangan mereka menjadikan orang-orang kafir teman rapat mereka. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka sediakan bagi diri mereka (pada hari akhirat kelak) iaitu kemurkaan Allah menimpa mereka, dan mereka pula tetap kekal di dalam azab (neraka). Sekiranya mereka beriman kepada Allah dan kepada Nabi serta apa yang diturunkan kepadanya, nescaya mereka tidak menjadikan orang-orang kafir itu sebagai teman rapat, akan tetapi kebanyakan daripada mereka adalah orang-orang fasik.”
Ayat ini menegaskan bahawa akibat yang amat buruk menanti orang-orang yang mengadakan hubungan wala´ dengan orang-orang kafir. Menurut Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah, ayat 81 dapat difahami bahawa kewujudan iman di hati dan wala´ kepada orang-orang kafir adalah dua perkara yang bertentangan, oleh sebab itu Allah Taala menggunakan ayat syarat; mereka dikira beriman, dengan syarat mereka tidak memberi wala´ kepada orang-orang kafir.
8) An-Nisa´ 141
“dan Allah tidak sekali-kali akan memberi jalan kepada orang-orang kafir untuk mengatasi orang-orang yang beriman.”
Pernyataan bahawa Allah tidak sekali-kali memberi jalan kepada orang-orang kafir itu membawa maksud larangan terhadap orang-orang beriman agar tidak menjadikan orang-orang kafir itu berkuasa ke atas mereka.
9) Ali Imran ayat 118
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang yang bukan dari kalangan kamu menjadi “orang dalam” (yang dipercayai). Mereka tidak akan berhenti-henti berusaha mendatangkan bencana kepada kamu. Mereka sukakan apa yang menyusahkan kamu. Telahpun nyata kebencian mereka pada pertuturan mulutnya, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi. Sesungguhnya telah kami jelaskan kepada kamu keterangan-keterangan itu jika kamu (mahu) memahaminya.”
Ayat di atas merupakan larangan yang jelas dan nyata agar orang-orang beriman tidak meletakkan kepercayaan kepada orang-orang kafir sehingga dikongsikan rahsia hal ehwal orang-orang Islam, lebih-lebih lagi terhadap orang-orang kafir yang sudah jelas menyatakan kebencian melalui percakapan mereka.
10) Al-Mumtahanah ayat 1
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil musuhKu dan musuh kamu menjadi teman rapat, dengan cara kamu sampaikan kepada mereka (berita-berita rahsia orang-orang mukmin) dengan sebab hubungan baik dan kasih mesra yang ada di antara kamu dengan mereka, sedang mereka telah kufur ingkar terhadap kebenaran (Islam) yang sampai kepada kamu; mereka pula telah mengeluarkan Rasulullah (s.a.w) dan juga mengeluarkan kamu (dari Tanah Suci Makkah) disebabkan kamu beriman kepada Allah Tuhan kamu. (Janganlah kamu berbuat demikian) jika betul kamu keluar untuk berjihad pada jalanKu dan untuk mencari keredaanKu. (Tidak ada sebarang faedahnya) kamu mengadakan hubungan kasih mesra dengan mereka secara rahsia, sedang Aku amat mengetahui akan apa yang kamu rahsiakan dan apa yang kamu zahirkan. Dan (ingatlah), sesiapa di antara kamu yang melakukan perkara yang demikian, maka sesungguhnya telah sesatlah ia dari jalan yang betul.”
Ayat di atas juga secara jelas melarang orang-orang beriman daripada mengadakan hubungan wala´ dengan mereka yang memusuhi Allah dan Rasul-Nya, disebabkan mereka telah kufur dan menghalau Rasulullah S.A.W. dan orang-orang Islam dari bumi mereka sendiri.
11) Al-Mumtahanah ayat 4
“Sesungguhnya adalah bagi kamu pada bawaan Nabi Ibrahim (a.s) dan pengikut-pengikutnya – contoh ikutan yang baik, semasa mereka berkata kepada kaumnya (yang kufur ingkar): “Sesungguhnya kami berlepas diri daripada kamu dan daripada apa yang kamu sembah yang lain daripada Allah; kami kufur ingkarkan (segala penyembahan) kamu dan (dengan ini) nyatalah perasaan permusuhan dan kebencian di antara kami dengan kamu selama-lamanya, sehingga kamu menyembah Allah semata-mata”
Ayat di atas menunjukkan kepada orang-orang beriman contoh teladan terbaik dalam hubungan dengan orang-orang kafir. Kejelasan pemisahan dan berlepas diri daripada orang-orang kafir sehinggalah mereka masuk Islam.
12) Mumtahanah ayat 8
“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.”
Sikap berlepas diri dan tidak mengadakan hubungan wala´ dengan orang-orang kafir itu tidak bermakna orang-orang beriman tidak boleh berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang kafir. Islam bukan sahaja menuntut agar orang-orang beriman berlaku adil dalam berurusan dengan orang-orang kafir, terutamanya yang tinggal bersama-sama dalam satu negara, bahkan menggalakkan agar berbuat baik sebagai cara untuk mendekatkan mereka dengan Islam. Bagaimanapun, pengharusan itu hanya kepada orang-orang kafir yang tidak memusuhi orang-orang beriman dan tidak menghalau mereka daripada tanah mereka sendiri, sama ada secara langsung mahupun melalui kaedah-kaedah halus.
13) An-Nahl ayat 125
“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.”
Allah Taala memerintahkan agar orang-orang beriman berdakwah kepada orang-orang kafir dengan cara yang bijaksana dan terbaik. Sudah tentu kebijaksaaan itu adalah berdasarkan situasi yang berbeza-beza. Dan yang paling penting kebijaksaaan itu tidak sekali-kali mengharuskan tindakan melanggar segala larangan hubungan wala´ kepada orang-orang kafir seperti yang dinyatakan dalam ayat-ayat di atas.
14) Al-Anfal ayat 73
“Dan orang-orang yang kafir, setengahnya menjadi auliyak (penyokong dan pembela) bagi setengahnya yang lain. Jika kamu (wahai umat Islam) tidak melakukan (perkara yang sama iaitu saling menjadi auliyak sesama kamu) itu, nescaya akan berlakulah fitnah (kekacauan) di muka bumi dan kerosakan yang besar.”
Jelas menurut ayat di atas bahawa orang-orang kafir adalah sekutu bagi orang-orang kafir yang lain. Mereka sekutu sesama mereka. Oleh sebab itu, Allah Taala memerintahkan agar orang-orang mukmin hendaklah bersekutu sesama mereka, bukan dengan orang-orang kafir. Menurut tafsir Ibnu Kathir, perkataan fitnah itu memberi maksud berlaku kecelaruan yang menimbulkan kerosakan yang besar dan berpanjangan.
Menurut tafsir al-Qurtubi pula, antara yang dimaksudkan dengan fitnah itu ialah berlakunya peperangan serta perkara-perkara yang lazim dengannya seperti pengusiran dan penawanan. Menurut Imam at-Tobari pula, ayat ini merupakan arahan kepada orang-orang beriman agar saling bertolong bantu sesama mereka, supaya musuh tidak berupaya menguasai mereka lalu memecah belahkan kesatuan umat Islam dan seterusnya melahirkan kerosakan sesama muslim.
Berdasarkan dalil-dalil di atas, berikut adalah beberapa kesimpulan yang boleh dibuat:
1) Wala´ dan Bara´ adalah persoalan akidah. Wala´ mengandungi maksud kasih sayang, bertolong bantu dan hubungan rapat mesra. Bara´ mengandungi maksud benci, berlepas diri dan hubungan renggang. Orang-orang beriman memberi Wala´ kepada Allah, Rasul-Nya dan orang-orang beriman. Mereka Bara´ dengan orang-orang yang memusuhi Allah, Rasul-Nya dan orang-orang beriman.
Sehubungan itu orang-orang beriman wajib saling bertolong bantu, berkasih sayang dan mempunyai hubungan rapat sesama mukmin. Orang-orang beriman wajib menjauhkan diri, berlepas diri, membenci orang-orang yang memusuhi Allah, Rasul-Nya dan orang-orang beriman.
2) Akidah Wala´ dan Bara´ adalah ikatan akidah yang menyatukan masyarakat Islam. Ikatan akidah Wala´ dan Bara´ ini menjadikan masyarakat Islam sebagai masyarakat yang bersatu padu dan menyelamatkan mereka daripada fenomena kecairan jati diri dan hanyut mengikut arus pemikiran yang dibawa oleh orang-orang kafir. Ikatan akidah ini adalah punca kejayaan mereka untuk berdepan dengan musuh-musuh.
Sebarang langkah mengabaikan akidah Wala´ dan Bara´ akan mengakibatkan umat Islam berpecah belah, mudah dikelirukan, diresapi musuh dari dalam, seterusnya dijinakkan dan dikuasai oleh musuh. Oleh sebab itu, akidah Wala´ dan Bara´ adalah persoalan akidah yang paling banyak dipertegaskan oleh al-Quran, selepas akidah tauhid.
3) Kita boleh melayan, bergaul, mencampuri dan berurusan dengan orang-orang kafir yang menjadi warganegara kita dengan layanan dan pergaulan yang baik. Perkara ini merupakan satu perkara yang terlalu asas dan mudah difahami, memandangkan akhlak yang baik itu memang ditekankan oleh ajaran Islam.
Bagaimanapun Allah Taala mendatangkan ayat kelapan daripada Surah al-Mumtahanah itu sebagai jawapan kepada persoalan hukum berbuat baik kepada orang-orang kafir memandangkan orang-orang beriman telah diarahkan secara bertubi-tubi agar tidak membuat hubungan Wala´ kepada orang-orang kafir. Tidaklah persoalan itu timbul kecuali disebabkan larangan-larangan memberi Wala´ kepada orang-orang kafir. Sebab Nuzul ayat ini jelas sekali menunjukkan pengertian itu.
Kesimpulannya, berlaku adil dan berbuat baik kepada orang-orang kafir merupakan keharusan yang diberikan Allah dalam kerangka larangan memberikan Wala´ kepada mereka. Ayat kelapan Surah Mumtahanah ini mesti dibaca bersekali dengan ayat-ayat akidah Wala´ dan Bara´ yang banyak itu. Manakala syarat bahawa orang-orang kafir yang dibenarkan kita berlaku adil dan berbuat baik kepada mereka ialah yang tidak memerangi Islam dan tidak menghalau orang-orang Islam daripada bumi mereka adalah syarat yang jelas dan tidak perlu dihuraikan lagi.
4) Hikmah terbesar dan yang paling penting daripada akidah Wala´ dan Bara´ ialah membentuk pola masyarakat berasaskan akidah secara automatik. Seruan dakwah baginda Rasulullah S.A.W. kepada orang-orang kafir bergerak selari dan serentak dengan usaha baginda mengumpul para sahabat yang telah beriman dalam satu hubungan Wala´ sesama mereka.
Bahkan implikasi dakwah baginda pada hakikatnya ialah orang-orang kafir mengalihkan kepimpinan mereka daripada para pemimpin Quraisy kepada Rasulullah S.A.W., menukarkan hubugan Wala´ mereka sesama orang-orang kafir kepada hubugan Wala´ sesama muslim sebaik sahaja mereka memeluk Islam. Mereka yang mengucap dua kalimah Syahadah secara automatik dituntut memberikan Wala´ kepada orang-orang beriman dan berlepas diri daripada sistem dan persekutuan orang-orang kafir Quraisy.
Oleh itu seruan dakwah baginda menyebabkan masyarakat di Mekah dan Madinah terbahagi kepada dua kelompok; orang-orang beriman dan orang-orang kafir. Pola berasaskan akidah ini terbentuk kerana sememangnya ia tuntutan akidah Islam.
5) Tuntutan agar kita menggunakan kebijaksaaan dalam melakukan dakwah kepada orang-orang kafir bukanlah lesen untuk kita melanggar larangan membuat hubungan Wala´ kepada orang-orang kafir. Seperti mana ayat kelapan Surah Mumtahanah, ayat 125 daripada Surah an-Nahl hendaklah dibaca bersekali dengan ayat-ayat tentang akidah Wala´ dan Bara´ yang banyak itu. Ertinya, kebijaksaaan berdakwah itu mestilah tidak terkeluar daripada kerangka akidah Wala´ dan Bara´.
6) Ayat 141 daripada Surah an-Nisa´ memberikan peringatan kepada orang-orang beriman agar tidak sekali-kali memberikan jalan untuk orang-orang kafir berkuasa ke atas orang-orang beriman. Ayat ini mengajar kita bahawa konsep perkongsian kuasa mestilah dengan syarat orang-orang beriman itu memiliki siyadah kamilah atau ketuanan yang sempurna. Ini kerana ketuanan sempurna orang-orang beriman dalam sesebuah negara merupakan syarat untuk ketuanan syarak dalam negara itu.
Oleh yang demikian, percaturan politik orang-orang beriman dalam sesebuah negara majmuk seperti Malaysia hendaklah menuju ke arah penyempurnaan ketuanan orang-orang beriman itu. Percaturan politik yang membawa kepada bertambahnya kuasa orang-orang kafir merupakan hasil tindakan hubungan Wala´ dengan orang-orang kafir yang jelas melanggar kesemua larangan yang terkandung dalam ayat-ayat Wala´ dan Bara´ di atas.
7) Ayat 73 daripada Surah al-Anfal menyentuh secara langsung mengenai persekutuan dan persepakatan orang-orang kafir sesama mereka. Ayat ini mengajar kita erti perbezaan antara individu kafir dan organisasi kafir. Hakikatnya organisasi kafir ini mereka bersatu, walaupun bermulut manis di depan kita dan mengalu-alukan kerjasama daripada kita. Oleh sebab itu, penegasan mengenai hakikat ini diikuti dengan ancaman, bahawa sekiranya orang-orang beriman tidak bersepakat dan bersekutu sesama mereka seperti mana orang-orang kafir itu, maka akan berlakulah kekacauan, kecelaruan dan kemudaratan yang besar, bukan saja menimpa umat Islam bahkan umat manusia seluruhnya.
Inilah yang terjadi sekarang ini. Dunia Islam berada dalam situasi yang amat menyedihkan ini akibat daripada tindakan sebahagian daripada umat ini membuat hubungan Wala´ dengan orang-orang kafir dan membelakangkan orang-orang beriman. Keadaan ini bertambah buruk lagi apabila kumpulan yang menggelarkan diri sendiri atau digelar sebagai gerakan Islam turut membuat hubungan Wala´ dengan organisasi-organisasi kafir.
Akibat tindakan yang membelakangkan ayat-ayat akidah Wala´ dan Bara´ yang banyak itu, umat Islam mengalami kecelaruan pemikiran, tidak mampu membezakan antara yang hak dan yang batil, tertipu dengan slogan-slogan indah seperti keadilan, persaudaran insan, kebebasan yang berasaskan pemikiran sesat Barat tetapi dilaungkan oleh muslim sendiri daripada kelompok yang bercampur aduk antara mukmin dan kafir. Lebih parah lagi apabila ramai muslim yang meluat dengan fenomena bercelaru ini mengambil solusi mudah iaitu menjauhkan diri dan membuat hal masing-masing tanpa mempedulikan keadaan umat yang tenat.
Fitnah kekacauan yang besar akibat mengabaikan ayat 73 daripada Surah al-Anfal ini ialah orang-orang kafir berani menghina umat Islam, mencampuri urusan pentadbiran agama Islam, bahkan sudah menjadi pencatur dan penentu kuasa dalam sebuah negara Islam. Semuanya gara-gara sebahagian umat Islam melanggar larangan membuat hubungan Wala´ dengan orang-orang kafir, atas pelbagai alasan dan justifikasi.
Ustaz Mohd Hazizi Ab Rahman
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)