Pertahankan peranan institusi agama: Timbalan Mufti

 

DALAM al-Quran jelas menggariskan antara tanggungjawab pemerintah yang diberikan amanah oleh Allah untuk memiliki kekuasaan di atas muka bumi ini ialah menjaga agama rakyatnya. Dengan erti kata lain memberikan ruang yang selesa agar rakyatnya dapat melaksanakan tanggungjawab agamanya dengan selesa serta mengekang perkara-perkara yang boleh menganggu aqidah rakyat serta memperlecehkan syariat Allah SWT.

Kewajipan pemerintah melakukan langkah-langkah amar ma’ruf dan nahi munkar mengikut kesesuaian keadaan. Adakalanya dengan hanya menasihati, adakalanya dengan mengadakan undang-undang tertentu dan adakalanya dengan menguatkuasakan undang-undang.

Firman Allah SWT: “Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.” (QS al-Haj: 41)

Al-Quran juga mengingatkan agar umat Islam mengambil iktibar terhadap apa yang berlaku kepada umat-umat terdahulu di mana kuasa pemerintahan yang mereka nikmati, di tambah pula dengan kestabilan ekonomi yang dikecapi; telah menghanyutkan mereka di dalam lautan maksiat dan kemungkaran. Kerja amar makruf telah kumpuh, maka Allah datangkan bencana dan kesusahan kepada mereka.

Firman Allah SWT: “Tidakkah mereka memerhati dan memikirkan berapa banyak umat-umat yang telah Kami binasakan sebelum mereka, padahal (umat-umat itu) telah Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi (dengan kekuasaan dan kemewahan) yang tidak Kami berikan kepada kamu, dan Kami turunkan hujan atas mereka dengan lebatnya, dan Kami jadikan sungai-sungai mengalir di bawah mereka, kemudian Kami binasakan mereka dengan sebab dosa mereka mereka, dan Kami ciptakan sesudah mereka, umat yang lain?” (QS al-An’am: 6)

Dalam konteks pentadbiran negara kita, agensi-agensi agama samada peringkat pusat seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang berfungsi sebagai penyelaras kepada pentadbiran hal ehwal Islam di Malaysia; manakala di peringkat negeri diwujudkan agensi seperti Jabatan Agama Islam Negeri-negeri untuk melaksanakan polisi-polisi yang telah ditetapkan dan diperkenankan oleh Duli-duli Yang Maha Mulia Sultan-sultan sebagai ketua-ketua Agama Islam di negeri-negeri.

Apa yang sedang berlaku di negara ini, di mana Islam diurus oleh pemerintah sama ada pemerintah pusat mahupun negeri selaras dan tidak bertentangan dengan perlembagaan negara yang meletakkan Islam sebagai Agama Persekutuan. Inilah yang membezakan negara ini dengan negara sekular.

Seruan untuk menghapuskan mahupun mengecilkan peranan agensi-agensi yang mengurus hal ehwal agama Islam di negara ini, yang telah mula kedengaran di media-media sosial adalah seruan yang amat ganjil di tengah-tengah majoriti umat Islam, di sebuah negara yang telah kukuh perundangan dan amalan Islam sejak zaman berzaman.

Sesungguhnya Islam adalah satu agama yang mengatur kehidupan individu dan bermasyarakat bahkan bernegara. Pandangan yang mengatakan agama adalah semata-mata urusan peribadi dan tidak perlu diselenggara oleh kerajaan adalah pandangan yang salah dan tidak bersumber kepada ajaran Islam sebaliknya ia adalah antara doktrin utama fahaman fahaman liberalisme.

Fahaman liberalisme lebih suka meluaskan keadilan sosial dan perspektif individu bukan dari perspektif masyarakat keseluruhan. Urusan agama biarlah diurus sendiri oleh individu dan negara tidak berhak campur tangan. Bagi fahaman ini, negara hanyalah alat (The State is Instrument) yang akan menjadi pengawal agar setiap individu mencapai kehendak-kehendak mereka tanpa sebarang gangguan. Kehendak individu lebih diutamakan dari keperluan masyarakat. Dengan ungkapan yang lebih jelas Negara tidak mencampuri urusan peribadi warga negaranya termasuklah urusan beragama.

Pandangan ini jelas sangat bertentangan dengan ajaran Islam. Dua petikan ayat al-Quran di atas jelas perlunya kerajaan dan masyarakat sama-sama memikul tanggungjawab menjaga agama dan mengekang perkara-perkara yang melanggar peraturan agama yang berlaku di dalam masyarakat.

Ini diperkukuhkan lagi dengan sabda Rasullullah SAW: Daripada Abu Said al-Khudri RA, beliau berkata: “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa di kalangan kamu yang melihat kemungkaran hendaklah dia mengubah dengan tangan (kuasa), sekiranya dia tidak mampu hendaklah mengubahnya dengan lidah, sekiranya tidak mampu mengubah dengan lidah hendaklah dia mengubah dengan hati, dan mengubah dengan hati adalah selemah-lemah iman.” (HR Muslim)

Sahibus Samahah Ustaz Zamri Hashim
Timbalan Mufti Perak

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts