IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah mengingatkan umat Islam agar mempamerkan sifat terbuka, persahabatan dan pendamaian yang dianjurkan oleh Islam ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri esok.
Baginda bertitah sifat tersebut adalah dengan membuka pintu rumah, menerima kunjungan tetamu daripada pelbagai agama dan kaum agar terpupuk semangat persaudaraan, rasa kasih sayang dan budaya saling menghormati sesama insan.
“Sambutlah Aidilfitri dalam suasana gembira yang dapat mengeratkan silaturahim sesama anggota keluarga dan sanak saudara.
“Sambutlah Aidilfitri dalam suasana riang yang dapat meningkatkan semangat perpaduan sesama insan,” titah baginda dalam perutusan sempena Aidilfitri.
Titah baginda, umat Islam juga perlu berkongsi kemewahan rezeki yang Allah limpahkan dengan membanyakkan amalan bersedekah kepada golongan yang berada dalam kemiskinan.
Selain itu, Sultan Nazrin bertitah pengorbanan anggota polis, angkatan tentera, bomba, kakitangan penjara, imigresen dan kastam, kakitangan hospital, sektor pengangkutan dan sektor perkhidmatan, kakitangan media, radio serta televisyen perlu dihargai.
“Sama-sama kita hargai pengorbanan oleh pihak terbabit yang telah menyediakan pelbagai perkhidmatan untuk membolehkan Aidilfitri disambut dalam suasana aman, tenteram, riang dan meriah,”
“Semoga pengorbanan mereka diterima oleh Allah Subhanahu Wata’ala sebagai amal makruf yang dikurniakan keberkatan semasa berada di dunia, dilimpahkan rahmat keselesaan ketika berada di alam barzakh dan diberatkan timbangan amal ketika berada di Padang Mahsyar,” titah baginda.
Dalam pada itu, Sultan Nazrin bertitah umat Islam di negara ini dapat menyempurnakan ibadah puasa dalam suasana aman dan damai, menikmati pelbagai juadah berbuka dan bersahur bersama keluarga di rumah atau bersama ahli-ahli kariah di surau dan di masjid.
“Setelah menempuh dugaan berpuasa, semoga kita ditingkatkan keinsafan akan besarnya nikmat ilahi yang dianugerahkan kepada kita, berbanding penderitaan yang dialami oleh begitu ramai insan di dunia, hidup dalam kelaparan dalam kehausan kerana kesukaran mendapat makanan dan minuman.” titah baginda. – Bernama