MANAMA: Tinggalan kota khalifah Arab Muslim dari zaman pertengahan, Medina Azahara berhampiran Cordoba yang terpelihara hingga kini, disenarai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Jawatankuasa Warisan Dunia UNESCO yang bersidang di Bahrain itu, menyifatkan tapak Moor pada abad ke-10 berkenaan memberikan pengetahuan mendalam terhadap zaman keemasan peradaban Islam Andalusia.
“Selepas mencapai kemakmuran beberapa tahun, kota istana menakjubkan yang menjadi ibu kota de facto Andalusia atau Muslim Sepanyol itu, terbiar sepanjang perang saudara yang menamatkan khilafah berkenaan pada 1009-1010,” katanya.
Kota itu dibina sebagai simbol kekuasaan untuk menyaingi khilafah di Baghdad tetapi hanya bertahan tidak sampai seabad sebelum musnah dalam penentangan yang menamatkan khilafah di Cordoba pada awal abad ke-11.
Tinggalan kota itu dilupakan hampir 1,000 tahun sehingga ia ditemui semula pada awal abad ke-20.
Tapak itu menjadi harta karun kepada ahli arkeologi kerana menampilkan komposisi perbandaran yang lengkap termasuk jalan, jambatan, sistem pengairan, bangunan, elemen hiasan dan objek harian, menurut laporan UNESCO.
Selain itu, tapak sejarah yang lebih baharu turut dimasukkan dalam senarai Warisan UNESCO.
Kota industri Itali, Ivrea, yang dibangunkan pada abad ke-20 sebagai tapak ujian untuk Olivetti, iaitu pengeluar mesin taip, kalkulator mekanikal dan komputer pejabat turut mendapat penghargaan itu.
UNESCO menyifatkannya sebagai ‘projek sosial contoh’ yang meluahkan ‘wawasan moden terhadap hubungan antara penghasilan industri dengan seni bina.’
Kelmarin, Jawatankuasa Warisan UNESCO menambah enam tapak lain ke dalam senarai termasuk tapak perburuan kaum Inuit di Greenland, kuil kuno Buddha di pergunungan Korea, tapak pra-Islam di Iran dan bangunan Art Deco Mumbai. – Berita Harian
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)