1) Kita perlu rujuk tafsiran ulama dalam memahami dan menghayati (tadabbur) ayat-ayat Allah. Tidak cukup sekadar membaca terjemahannya sahaja.
2) Kita perlu bezakan antara pendekatan dakwah dan penguatkuasaan undang-undang.
Begitu juga mengajak kepada kebaikan (amal makruf), perlu berjalan selari dengan mencegah kemungkaran (nahi munkar). Ia tidak boleh dipisahkan, kerana dalam usaha mengubah manusia ada dua cara – didik dan undang-undang. Dua kaedah ini adalah penemuan universal kajian sains sosial.
Dalam konteks Islam, Saidina Uthman mengungkapkannya (berdasarkan kefahamannya mengenai Islam) dalam bentuk kaedah Siyasah Syariyah (juga al-qadha’)
“إن الله يزع بالسلطان ما لايزع بالقران”
“Sesungguhnya Allah menegah dengan kuasa apa yang tidak tertegah dengan al-Quran.”
Bagi individu LGBT yang telah diberitahu mengenai hukum, tapi masih berterusan melakukan kemungkaran, maka perlu dikuatkuasakan undang-undang untuk pemulihan, manakala individu yang menyeru ke arah LGBT dikenakan hukum ta’zir.
Kita tidak boleh menumpukan pada satu sudut sahaja iaitu didik/dakwah, kerana menurut kerangka sekular dan liberal yang lebih besar, agama adalah isu peribadi dan pemerintah tidak boleh bertindak dalam soal agama.
Mereka tidak menuju ke arah memansuhkan undang-undang agama, tetapi berusaha mematikan fahaman bahawa agama itu berkuasa, dengan menyemai fahaman bahawa negara sepatutnya berkecuali dalam bab agama.
SALAH FAHAM 1:
(Nabi Lut tak mencerca atau menyakiti golongan homoseksual bahkan cuba BERBINCANG dengan mereka dengan memberi ALTERNATIF kepada nafsu seks mereka yang sedang membara. )
JAWAPAN:
1) Nabi Lut A.S memainkan peranannya sebagai seorang Nabi dalam menggalakkan kaumnya memilih perkara yang halal (berkahwin) berbanding yang haram (homoseksual).
2) Nabi Lut A.S bertindak sedemikian kerana ingin mengelakkan kaumnya daripada menyakiti tetamu-tetamunya (Malaikat) yang datang ke rumahnya.
SALAH FAHAM 2:
(Nabi Lut bertanya: “Ada tak dalam kalangan kamu ini orang yang waras/rasional (yang boleh bawa bincang)?” (Hud: 78)
(Bila baca cara Nabi Lut ni, saya rasa takjub betul. Dia guna kaedah psikologi kognitif, spiritual dan sosial untuk cuba menangani golongan homoseksual ni. Berbeza betul dengan netizen di Facebook yang cuba “berdakwah” dengan penuh kebencian!)
JAWAPAN:
Di dalam Tafsir Ibnu Kathir menyebutkan
Firman Allah:
أَلَيْسَ مِنْكُمْ رَجُلٌ رَشِيدٌ
“Tidak adakah di antara kalian seorang yang berakal?” (Hud:78)
Yakni seorang lelaki yang baik, yang mahu menerima apa yang aku perintahkan dan meninggalkan apa yang aku larang.
Manakala di dalam Tafsir At-Tabari menyebutkan…
Firman Allah:
أَلَيْسَ مِنْكُمْ رَجُلٌ رَشِيدٌ
“Tidak adakah di kalangan kamu seorang yang waras akalnya yang mampu melarang dan menghalang sesiapa yang ingin melakukan perkara keji terhadap tetamuku?” (Hud:78)
Sepertimana yang diriwayatkan oleh Ibnu Ishak:
(فاتقوا الله ولا تخزون في ضيفي أليس منكم رجل رشيد)
“…iaitu seorang yang mengetahui kebenaran dan mencegah daripada kemungkaran?”
Bukan untuk berbincang, berdialog atau memberi pentas kepada golongan songsang itu!
SALAH FAHAM 3:
(Itu pun, dengan golongan yang cukup “kurang ajar” macam ini pun, Nabi Lut masih cuba berbincang dengan mereka sehingga saat terakhir – barulah Allah melaknat mereka!)
JAWAPAN:
Di dalam Tafsir Ibnu Kathir menyebutkan…
Nabi Lut A.S mengancam kaumnya dengan berkata:
( لَوْ أَنَّ لِي بِكُمْ قُوَّةً أَوْ آوِي إِلَىٰ رُكْنٍ شَدِيدٍ) (Hud:80)
“Jika aku mempunyai kekuatan, aku akan menghukum, memerangi dan membinasakan kamu dengan diriku dan keluargaku.“
SALAH FAHAM 4:
(Nabi Ibrahim pun cuba mendoakan kaum Nabi Lut?)
(Nabi Ibrahim cuba berbincang/merayu dengan keputusan ini.)
JAWAPAN:
Di dalam Tafsir Ibnu Kathir menyatakan…
(Allah SWT menceritakan perihal Ibrahim A.S, bahawa setelah rasa takutnya hilang terhadap para malaikat – kerana mereka tidak mahu menyentuh makanan – dan setelah para malaikat itu menyampaikan berita gembira kepadanya akan kelahiran seorang anak, serta mereka menceritakan kepadanya akan kebinasaan kaum Lut, maka Nabi Ibrahim berkata seperti apa yang diceritakan oleh Sa’id ibnu Jubair sehubungan dengan tafsir ayat ini, bahawa ketika Jibril bersama teman-temannya datang kepada Nabi Ibrahim, mereka berkata kepadanya:
إِنَّا مُهْلِكُو أَهْلِ هَذِهِ الْقَرْيَةِ
“Sesungguhnya kami akan menghancurkan penduduk negeri (Sodom) ini.” (Al-‘Ankabut: 31)
Maka Nabi Ibrahim berkata kepada mereka, “Apakah kalian akan menghancurkan suatu kota yang di dalamnya terdapat tiga ratus orang mukmin?” Mereka menjawab, “Tidak.” Ibrahim berkata, “Apakah kalian akan membinasakan suatu kota yang di dalamnya terdapat dua ratus orang mukmin?” Mereka menjawab, “Tidak.”
Ibrahim berkata, “Apakah kalian akan menghancurkan suatu kota yang di dalamnya terdapat empat puluh orang mukmin?” Mereka menjawab, “Tidak.” Ibrahim berkata, “Tiga puluh orang mukmin?” Mereka menjawab, “Tidak,” hingga sampai menyebut lima orang mukmin, dan mereka menjawab, “Tidak.”
Ibrahim bertanya, “Bagaimanakah pendapat kalian jika di dalamnya terdapat seorang lelaki muslim, apakah kalian akan menghancurkan mereka juga?” Mereka menjawab, “Tidak.” Maka pada saat itu juga Ibrahim berkata, seperti yang disebutkan oleh firman-Nya:
إِنَّ فِيهَا لُوطًا قَالُوا نَحْنُ أَعْلَمُ بِمَنْ فِيهَا لَنُنَجِّيَنَّهُ وَأَهْلَهُ إِلا امْرَأَتَهُ
“Sesungguhnya di kota itu ada Lut.” Malaikat berkata, “Kami lebih mengetahui siapa yang ada di kota itu. Kami sungguh-sungguh akan menyelamatkan dia dan pengikut-pengikutnya kecuali isterinya.” (Al-‘Ankabut: 32), hingga akhir ayat.
Maka Ibrahim diam – tidak membantah mereka – dan hatinya tenang.
Nabi Ibrahim bukan berbincang dan merayu Malaikat untuk mempertahankan kaum yang sesat, tetapi baginda A.S khuatir dengan nasib Nabi Luth dan orang beriman yang lain.
Semoga Allah SWT membimbing kita untuk memahami kalamnya dengan kefahaman sebenar dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian.
Ustaz Abdullah Hussen
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)