ISLAMABAD – Dewan Senat Pakistan semalam sebulat suara meluluskan resolusi mengutuk pertandingan melukis karikatur yang menghina Islam, dirancang ahli politik pembangkang Belanda – keputusan pertama diambil Islamabad selepas pilihan raya negara itu bulan lalu.
Kelulusan itu dibuat selepas Ahli Parlimen pembangkang Belanda, Geert Wilders mengumumkan akan menganjurkan pertandingan melukis karikatur Nabi Muhammad ﷺ tak lama lagi.
Dalam ucapan julung kalinya kepada Dewan Senat, Perdana Menteri Pakistan yang baharu dilantik, Imran Khan berjanji untuk membawa isu dan resolusi itu ke Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA), bulan depan.
Menganggapnya sebagai ‘kegagalan kolektif dunia Islam’, beliau berkata, hanya sedikit sahaja negara Barat yang memahami kesan pedih dirasai masyarakat muslim berikutan penghinaan yang dibuat.
“Pakistan akan membangkitkan perkara ini dalam Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan akan meminta semua negara anggota supaya membawa perkara itu ke peringkat antarabangsa. Ini sepatutnya dilakukan lama dahulu,” katanya.
Wilders, yang dikenali umum kerana kritikan pedasnya terhadap Islam dan muslim, mengumumkan rancangannya menganjurkan pertandingan melukis karikatur Nabi Muhammad ﷺ November ini. Kerajaan Belanda mengambil langkah menjauhkan diri daripada pertandingan itu.
Pemimpin parti kedua terbesar di Parlimen itu mendakwa sudah menerima lebih 200 penyertaan dan tarikh tutupnya ialah pada 31 Ogos ini.
Sebarang lukisan atau gambaran mengenai Allah dan Rasulullah ﷺ adalah dilarang dalam Islam.
“Saya memahami pola pemikiran orang Barat kerana saya banyak menghabiskan masa di sana. Mereka tidak memahami perasaan cinta dan sayang umat Islam terhadap Nabi Muhammad,” kata bekas pemain kriket itu.
Berikutan itu, Islamabad memanggil duta Belanda dan menyerahkan bantahan terhadap penganjuran pertandingan itu, sambil menyatakan tindakan berkenaan menghina dan memalukan Islam.
Pakistan meluluskan undang-undang tegas, termasuk hukuman mati terhadap perbuatan menghina Nabi Muhammad ﷺ dan penjara seumur hidup jika mencemari al-Quran. – Ismaweb
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)
Assalamualaikum..Sejauh manakah kesohihan berita ini?..Jika berita ini benar adakah kita berkuasa untuk menghalang atau mengizinkan sesuatu itu berlaku?…
#ALLAHMAHABERKUASA
#kun faya kun
Wallahu’alam
Wassalam…