Suruh anak tunaikan solat

 

1. Allah memerintahkan Rasulullahﷺ supaya mengajak ahli keluarga Bagindaﷺ menunaikan solat. Ini jelas terpamer di dalam firman Allah:
وَأْمُرْ أَهْلَكَ بِالصَّلَاةِ وَاصْطَبِرْ عَلَيْهَا

“Dan perintahkanlah (wahai Muhammad) ahli keluargamu supaya menunaikan solat, dan hendaklah kamu bersabar atasnya (atas urusan ini).” Surah Taha: 132.

1.1 Menurut al-Imam al-Qurtubi, setelah turunnya ayat ini, Rasulullahﷺ akan singgah pada setiap pagi di rumah anaknya Saidatina Fatimah dan Saidina Ali, menyeru mereka supaya menunaikan solat. Lihatlah bagaimana sekalipun anak tersebut telah mendirikan rumah tangga dan mempunyai suami, Rasulullahﷺ masih mengingatkan anaknya supaya menunaikan solat. (al-Qurtubi, al-Jami Li Ahkam al-Quran, al-Qahirah, 1964, 11/263).

2. Ingatkah kita bagaimana Nabi Ibrahim berdoa kepada Allah supaya dikurniakan anak yang rajin mendirikan solat. Kisah Nabi Ibrahim ini mengajar kita bahawa selain mengajak mereka menunaikan solat, kita juga seharusnya sentiasa berdoa kepada Allah supaya dikurniakan anak yang rajin menunaikan solat. Perkara ini direkodkan oleh Allah di dalam al-Quran:

رَبِّ اجعَلْني مُقِيمَ الصَّلاةِ وَمِن ذُرِّيَّتي رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

“(Nabi Ibrahim berdoa): Wahai Tuhanku, jadikanlah aku sebagai orang yang mendirikan solat dan begitu juga dengan keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa ini.” (Surah Ibrahim: 40)

2.1 Lihatlah betapa bersunggguhnya Nabi Ibrahim memohon kepada Allah supaya dikurniakan zuriat yang menunaikan solat. Doa ini seharusnya dibaca oleh setiap Muslim.

3. Allah memperkenankan doa Nabi Ibrahim. Dia dikurniakan anak bernama Ismail. Nabi Ismail dipuji oleh Allah di dalam al-Quran kerana bukan sahaja mendirikan solat, bahkan memerintahkan ahli keluarganya supaya turut sama menunaikan solat. Firman Allah:

وَكَانَ يَأمُرُ أَهلَهُ بِالصَّلاةِ وَالزَّكَاةِ وَكَانَ عِندَ رَبِّهِ مَرضِيًّا

“Dan sesungguhnya dia (Nabi Ismail itu) sering menyuruh ahli keluarganya menunaikan solat dan zakat. Dia adalah seorang hamba yang diredhai oleh Tuhannya. (Surah Maryam: 54)

4. Legasi mulia ini diteruskan oleh Luqman al-Hakim yang turut rajin mendidik anaknya supaya menunaikan solat. (Surah Luqman: 17). Begitu juga dengan Saidina Umar. Menurut al-Imam al-Tabari, Zaid ibn Aslam pernah bermalam bersama Umar dan dia dapati Umar adalah seorang yang lama mendirikan qiyamullail. Selesai qiyam yang panjang, Umar mengejut pula ahli keluarganya supaya menunaikan solat. (al-Tabari, Jami al-Bayan, Muassasah al-Risalah, 18/406.)

5. Sebagai ibubapa, kitalah yang sepatutnya yang mendidik dan mengajak anak kita supaya mendirikan solat (bukan warden asrama, maupun ustaz di sekolah). Bahkan, kitalah yang seharusnya mengajarkan anak kita al-Fatihah, surah yang akan dibaca oleh mereka sepanjang usianya. Amalan yang mereka laksanakan ketika kita sudah meninggal akan menemani kita di saat bersendirian di alam barzakh. Apakah yang sudah kita bekalkan buat ke barzakh nanti?

Moga Allah membimbing kita semua.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts