1. Al-Quran mengingatkan kepada kita bahawa pembinaan Masjid Dirar, sekali pun zahirnya kelihatan baik, namun ia dinilai oleh Allah sebagai usaha untuk memecah-belah kesatuan Muslim. Insiden ini menggambarkan kepada kita bagaimana mereka yang tidak suka kepada Islam mampu untuk menggunakan elemen yang kelihatan baik dengan tujuan yang jahat. Firman Allah:
وَالَّذِينَ اتَّخَذُوا مَسْجِدًا ضِرَارًا وَكُفْرًا وَتَفْرِيقًا بَيْنَ الْمُؤْمِنِينَ
“Dan mereka yang membina masjid dengan tujuan membahayakan (keselamatan orang-orang Islam), dan (menguatkan) keingkaran (mereka sendiri) serta memecah-belahkan perpaduan orang-orang yang beriman…”
2. Menurut al-Imam Ibn Kathir, pembinaan masjid ini adalah atas perancangan Abu Amir al-Rahib, seorang pembesar Khazraj yang mempunyai kedudukan di sisi penduduk Madinah. Namun apabila Rasulullah datang, beliau merasakan kedudukan dan pangkatnya terancam.
Abu Amir bertindak meninggalkan Madinah dan melarikan diri ke Heraclius (pemerintah Rom) untuk meminta bantuan bagi menghancurkan Islam. Abu Amir berkomunikasi dengan kaum munafiq di Madinah dan mengarahkan mereka untuk membangunkan Masjid Dirar ini bagi tujuan memecah-belah kesatuan Muslim.
3. Peristiwa ini mengingatkan kepada kita bahawa sifat kecintaan manusia kepada kedudukan di dunia menjadikan manusia sanggup untuk melakukan apa sahaja demi memelihara kekuasaan yang ada ditangannya.
4. Adakalanya manusia akan menggunakan satu elemen yang secara zahirnya kelihatan baik tetapi hakikatnya ia mempunyai kesan yang buruk terhadap Islam dan kesatuan umat Islam itu sendiri.
5. Malah, apa yang lebih teruk lagi, mereka meminta bantuan dari musuh, untuk menghancurkan Islam dan kesatuan umat Islam. Maka dengan itu tidak hairanlah kalau kita perhatikan bagaimana kuasa besar dunia seperti Amerika mempunyai peranan dalam menghancurkan kesatuan umat.
6. Apa yang lebih menyedihkan adalah, muslim itu sendiri yang menjadi punca kejatuhan umat, dengan meminta bantuan dari musuh Islam, semata-mata untuk menjaga kepentingan kedudukannya di dunia.
Moga Allah sentiasa membantu memelihara kesatuan umat Islam.
Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)