Soalan lelaki ini buat ustaz menangis

image (19)

 

SHAH ALAM – Pendakwah terkenal, Ustaz Ebit Lew akui tidak dapat tahan sebak apabila ditanya soalan daripada seorang lelaki ketika seminar keluarga sunnah bersamanya.

Menurutnya, soalan yang dikemukakan lelaki itu soalan terbaik dari seorang lelaki dan ketua keluarga kerana beliau turut berkongsi matlamat sama dengannya.

“Terharu dan menangis saya, bila seorang lelaki bertanya soalan di depan semua orang, ‘Ustaz, bagaimana saya nak jadi lelaki yang dapat membawa wanita dalam hidup saya ke Syurga. Saya nak bawa ibu, isteri, anak-anak perempuan dan adik beradik saya ke Syurga’.

“Itulah soalan terbaik dari seorang lelaki dan ketua yang baik. Lelaki yang sebenarnya. Lelaki paling ‘macho’…paling ‘awesome’. Saya rasa sedih sebab itu jugalah matlamat saya. Dalam kelemahan diri memerlukan pertolongan ALLAH. Pegang dan takkan lepaskan tangan orang yang kita sayang sampai melangkah masuk Syurga,” katanya menerusi coretan di Facebook, semalam.

Menulis panjang lebar, beliau sempat menceritakan bagaimana seorang lelaki mampu menjadi lelaki sebenar dalam keluarga.

“Lelaki ketua keluarga mesti jaga solat awal waktu berjemaah. Bawa keluarga jaga solat. Kejutkan keluarga bangun Tahajud. Menangis malam. Bangun awal sebelum Subuh. Rasulullah SAW kejut isteri dan anaknya solat. Abu Bakar RA ajar setiap ahli keluarganya solat paling khusyuk dan hebat. Tegur anak bila tak solat berjemaah.

“Umar RA solat malam dan kejut semua ahli keluarga bangun malam menangis depan ALLAH. Aisyah RA berkata apabila azan dilaungkan, Rasulullah SAW seolah-olah tak kenal sesiapa. ALLAH nombor satu. Barulah hidup berkat dan bahagia. Bila hati penuh kebesaranNYA.

“Lelaki ketua keluarga paling lemah lembut dengan ahli keluarga. Melayan dengan rasa sayang. Bergurau berbual dan bermanja. Bantu kerja rumah bila di rumah,” katanya.

Tambahnya, Rasulullah SAW sangat rajin di rumah mengurus pakaian sendiri, membantu menyiapkan makanan serta jahit baju dan kasut sendiri.

Katanya, lelaki hebat memicit dan prihatin perasaan, kepenatan dan sakit sang isteri serta rajin berkhidmat ibu bapa.

“Abu Bakar RA biasa tolong perah susu kambing. Biasa khidmat walau kerja biasa sedangkan beliau khalifah besar.

“Umar RA pandai masak. Masak dengan kayu api. Janggut kena asap. Dia hidangkan makanan untuk anak-anak kecil. Dia bergurau dan seronok tengok anak-anak bermain-main.

“Dia pejuang hebat, pemikir ummah, paling tegas dan kuat menangis depan ALLAH. Tapi dia suka tengok anak-anak bermain. Itulah lelaki sebenarnya,” katanya.

Beliau juga menasihatkan agar hidupkan rumah tangga itu dengan amalan Al-Quran dan Hadis Nabi SAW.

“Kenalkan keluarga kepada kebesaran ALLAH, sunnah Nabi SAW dan kenalkan kepada keluarga Nabi SAW dan para sahabat. Ketua keluarga akan sentiasa membangunkan keluarga dengan dakwah dengan kasih sayang, bersama-sama buat dan bersabar. Bertenang dan istiqamah dalam mendidik.

“Akhirnya waktu malam setelah melakukan semua itu. Perlahan-lahan berdoa ‘Ya ALLAH betapa diriku sayang akan isteriku yang banyak berkorban. Sayangi dan ampunilah dia. Betapa aku sayang ibubapaku dan ibubapa mertuaku.

“Ampunkan mereka dan sayangi mereka. Anak-anakku, ampunkan dan sayangi mereka. Anak saudaraku semuanya, Adik-beradik dan manusia di seluruh alam maafkan kami semua. Sayangi dan ampunkan kami semua’,” katanya.

Sumber: http://www.sinarharian.com.my/nasional/soalan-lelaki-ini-buat-ustaz-menangis-1.519192

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts