GENERALISASI hukum akan lebih mudah difahami apabila didatangkan contoh seperti menyalahkan semua orang Islam hanya disebabkan kesalahan yang dilakukan oleh sebahagian kecil dari orang Islam.
Umat Islam dimomokkan sebagai penganut ugama yang suka membunuh orang lain dan berperang disebabkan ada segelintir orang Islam yang salah di dalam memahami makna jihad dengan melakukan keganasan yang jauh dari ajaran Islam yang sebenar. Wanita muslimah digambarkan sebagai golongan yang tertindas disebabkan pengamalan tidak tepat sesetangah negara orang Islam ketika melayani warga muslimahya.
Orang Melayu dilabel sebagai pemalas, hidup bergantung kepada subsidi dan berbagai lagi label-label negatif sedangkan yang berkelakuan begitu bukanlah semua bahkan ramai lagi orang Melayu yang rajin dan berdikari. Kita menikmati makanan setiap hari hasil jerih payah kerajinan para petani dan nelayan yang majoritinya orang melayu. Kita menikmati kemerdekaan adalah hasil perjuangan dan pengorbanan nyawa orang-orang Melayu.
Ada orang yang memandang serong kepada semua Maahad Tahfiz dan sekolah-sekolah agama bahkan ada cadangan agar ditutup sahaja disebabkan kelemahan-kelemahan yang berlaku kepada pengurusan mahupun fasiliti Maahad-maahad dan sekolah-sekolah ini.
Setiap masyarakat sudah tentu ada yang baik dan ada yang buruk hatta masyarakat yang hidup di zaman Nabi SAW sendiri. Ada individu-individu yang cuai sehingga tidak turut berperang bersama Rasulullah SAW, ada yang melakukan perbuatan zina, ada yang cuba menggunakan hubungan baik dengan Nabi SAW untuk mengurangkan hukuman hudud, ada orang yang tidak menyetujui Nabi SAW seperti di dalam Perjanjian Hudaibiyyah, ada yang cuba membocorkan perancangan Nabi SAW dan berbagai lagi.
Ini membuktikan bahawa terjebak di dalam melakukan kesalahan adalah kelemahan manusia biasa namun ia bukanlah alasan untuk menghukum orang lain secara umum disebabkan kesalahan sebahagian kecil dari mereka khususnya apabila ia berlaku di kalangan umat Islam.
Menghukum pihak lain secara umum disebabkan perbuatan sebahagian kecil ahlinya berlawanan dengan syariat Islam. Petunjuk dari al Quran mengingatkan kita agar tidak gopoh menghukum orang lain bahkan tatkala menerangkan perihal ahli kitab, al-Quran menerangkan bahawa di kalangan ahli kitab juga berbagai-bagai kategori . Firman Allah SWT:
“Di antaranya ada golongan yang (telah memeluk Islam dan) tetap (berpegang kepada ugama Allah yang benar) mereka membaca ayat-ayat Allah (Al-Quran) pada waktu malam, semasa mereka sujud (mengerjakan sembahyang).” (Ali Imran: 113)
Al-Quran juga menerangkan bahawa golongan al-A’rab itu berbagai-bagai kategori dan tidak berada di dalam satu peringkat seperti difirmankan oleh Allah SWT:
“Dan sebahagian dari orang-orang A’raab (yang munafik) itu memandang apa yang mereka belanjakan (dermakan pada jalan Allah) sebagai satu bayaran yang memberatkan, sambil menunggu peredaran zaman (yang membawa bala bencana) menimpa kamu; atas merekalah (tertimpanya bala bencana yang dibawa oleh) peredaran zaman yang buruk itu. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Dan sebahagian dari orang-orang A’raab itu ada yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, dan memandang apa yang mereka dermakan (pada jalan Allah itu) sebagai amal-amal bakti (yang mendampingkan) di sisi Allah dan sebagai (satu jalan untuk mendapat) doa dari Rasulullah (yang membawa rahmat kepada mereka) Ketahuilah, sesungguhnya apa yang mereka dermakan itu adalah menjadi amal bakti bagi mereka (yang mendampingkan mereka kepada Allah); Allah akan masukkan mereka ke dalam rahmatNya; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Al-Tawbah: 98-99)
Di kalangan orang beriman pun, al Quran menjelaskan mereka tidak hanya pada satu darjat sahaja seperti firman Allah SWT:
“Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu sedikitpun.” (Al-Ahzab: 23)
Al-Quran meletakkan asas-asas penting untuk mengawal kita daripada cepat menghukum pihak lain disebabkan perbuatan salah segelintir orang lain. Antara konsep asas adalah dosa tidak ditanggung oleh orang lain seperti firman Allah SWT:
“Dan (ketahuilah), seseorang pemikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain.” (Fatir: 18)
Asas lain ialah sentiasa adil di dalam membuat satu-satu penilaian seperti firman Allah SWT: “Dan apabila kamu mengatakan sesuatu (semasa membuat apa-apa keterangan) maka hendaklah kamu berlaku adil.” (Al-An’am: 152)
Al-Quran juga mengarahkan kita bersikap adil dan tidak melakukan kezaliman dengan menghukum secara generalisasi. Firman Allah SWT:
“Dan jangan sekali-kali kebencian kamu kepada suatu kaum kerana mereka pernah menghalangi kamu dari masjid Al-Haraam itu – mendorong kamu menceroboh.” (Al-Maidah: 2)
Kaedah ini sangat penting untuk menjaga perpaduan sesama umat Islam di negara ini bahkan ia menjadi panduan agar umat Islam tidak terlalu gopoh meletakkan umat Islam sentiasa di dalam kandang orang salah dan dilabel dengan berbagai label negatif disebabkan kesalahan segelintir kecil orang Islam.
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)