Kenyataan menteri agama Malaysia, Datuk Mujahid Yusof Rawa berkaitan kes khalwat atau aktiviti menyalahi ajaran Islam adalah urusan peribadi dan tidak boleh diganggu oleh pihak berkuasa agama Islam, terus mendapat reaksi negatif alim ulama.
Terbaharu, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria menasihatkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) itu, supaya bertemu dan berbincang dengan agamawan terlebih dahulu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung penguatkuasaan jenayah khalwat.
Beliau berkata, undang-undang pencegahan maksiat yang dilaksanakan di negara ini sudah menjangkau lebih 50 tahun dan sebagai seorang menteri, Mujahid perlu lebih memahami undang-undang berkenaan.
“Orang berkhalwat selalunya buat ditempat tertutuplah, kalau ada kesalahan (maksiat) di hotel boleh kita masuk, itu pencegah maksiat buat.
“Jadi kalau tak boleh tegah biarlah orang buat maksiat, tak perlu undang-undanglah, kita laksanakan undang-undang ini sudah lama, tiada masalah pun,” katanya.
Memetik laporan Sinar Harian, Harussani berkata, amalan mencegah maksiat sepatutnya dilaksanakan di mana-mana kawasan sekalipun.
“Kita yang salah jika kita tidak cegah, kita kena cegah maksiat di mana pun. Saya rasa kita jangan buat kenyataan di surat khabar tak tentu pasal mari kita bincang dahulu pergi ke jabatan agama, adakan mesyuarat macam mana, jadi kalau kita buat tak tentu pasal ia jadi celarulah,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Mujahid dalam temu bual eksklusif dengan akhbar The Star, yang melaporkan menteri berkenaan sebagai berkata, tiada lagi ketukan pintu di tengah malam atau pintu dipecahkan oleh pegawai agama jika mendapat laporan khalwat atau aktiviti lain yang menyalahi ajaran Islam.
Mujahid menegaskan apa yang dilakukan oleh orang Islam di sebalik pintu yang tertutup adalah bukan urusan kerajaan.
Dalam temu bual itu, Mujahid turut dilaporkan mengutuk tindakan memecahkan pintu untuk menahan pesalah khalwat dan berharap ia tidak akan berlaku dalam pembaharuan yang akan dilakukan nanti.
“Penguatkuasaan khalwat ini telah disalahgunakan dan dieksploitasi dalam beberapa kes. Mereka (pegawai) tidak sepatutnya menggangu ruang lingkup peribadi seseorang individu,” kata Mujahid.
Pada 2015 lalu, satu kumpulan yang kononnya dianggotai individu Melayu profesional dan menggelar diri mereka sebagai G25, mempersoalkan jenayah khalwat di Malaysia serta mencadangkan supaya undang-undang berkaitan khalwat dipinda dan hukuman mengenainya dimansuhkan.
Kumpulan itu juga mahu sebuah jawatankuasa perunding ditubuhkan bagi membincangkan untuk meminda atau memansuhkan beberapa undang-undang syariah.
Jurucakap kumpulan itu, Datuk Noor Farida Ariffin dipetik sebagai berkata, dengan berpandukan pada prinsip Perlembagaan, G25 menentang sebarang hukuman terhadap perbuatan khalwat jika dilakukan di rumah persendirian kerana itu adalah hak dan privasi setiap individu.
Beliau berkata, perbuatan khalwat di tempat peribadi adalah dosa peribadi antara pelakunya dengan Allah kecuali jika dilakukan di kawasan awam, namun Malaysia adalah satu-satunya negara yang menjatuhkan hukuman terhadap kesalahan itu.
“Ini bertentangan dengan Islam. Apa orang buat di dalam rumah sendiri, anda tidak boleh ketuk pintu pada pukul 3 pagi dan menahan mereka, ini bertentangan dengan prinsip perundangan Islam, dosa peribadi adalah antara diri sendiri dengan Allah,” katanya. – ismaweb
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)