Konfrontasi alam dengan kedegilan manusia

 

SEPANJANG minggu ini kita disibukkan dengan berita-berita dan insiden-insiden yang melibatkan kes-kes kehilangan nyawa dan dikaitkan dengan fenomena-fenomena alam seperti gempa bumi, tsunami dan sebagainya.

Bagi orang yang beriman, tiada yang layak untuk diisytiharkan pelik dan ajaib bagi Allah SWT kerana semuanya adalah milik Allah SWT. Apabila Allah SWT mengkehendaki sesuatu perkara berlaku maka pasti ia akan berlaku. Tiada satu kuasa pun yang mampu menahan kehendak Allah SWT. Firman Allah SWT:

“Allah jualah yang menguasai alam langit dan bumi serta segala yang ada padanya; dan Dia lah jua yang Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” (QS al Maidah :120).

Tidak kiralah apa yang diistilahkan oleh manusia samada kejadian alam atau fenomena alam, namun hakikatnya ia adalah tertakluk kepada kekuasaan mutlak Allah ke atas alam ini. Menariknya, semua ciptaan Allah SWT ini sepatutnya patuh dan tiada pilihan selain mentaati segala perintah Allah SWT samada secara suka rela mahupun secara terpaksa. Ini dijelaskan oleh Allah SWT:

“Dan kepada Allah jualah sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi tunduk menurut, sama ada dengan sukarela atau dengan terpaksa; dan (demikian juga) bayang-bayang mereka; pada waktu pagi dan petang.( QS al Ra’du:15)

Makhluk-makhluk lain selain manusia semuanya patuh dan taat kepada semua arahan Allah SWT namun ia berbeza dengan manusia yang Allah beri kebebasan memilih walaupun hakikatnya semua perbuatan itu dijadikan Allah SWT. Ini dijelaskan oleh Allah SWT:

“Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya); Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa; Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat).” (QS As Syams :7-9)

Ada beberapa ayat al Quran yang menghubungkan antara sifat ketaatan mutlak alam kejadian terhadap semua arahan Allah SWT berkonfrontasi dengan kedegilan sebahagian manusia kerana memilih untuk melakukan perkara-perkara yang di larang oleh Allah SWT seperti firmanNya:

“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” (QS al Rum:41)

Al-Quran juga penuh dengan kisah-kisah benar betapa kedegilan-kedegilan manusia, walaupun telah didatangi penyeru-penyeru kebaikan, tetap meneruskan perbuatan syirik dan maksiat berhadapan dengan fenomena alam yang amat dahsyat sehingga memusnahkan segala-galanya. Ia tidak mustahil bagi Allah Yang Maha Berkuasa.

Menafsirkan fenomena alam semata-mata kejadian alam tanpa dikaitkan dengan unsur-unsur ketuhanan (rabbani) adalah salah di sisi Islam. Begitu juga keadaannya apabila wacana-wacana ekonomi dan politik dijauhkan dari nilai-nilai agama dan kekuasaan Allah dalam mengatur kehidupan ini sebenarnya akan menjauhkan manusia dari rasa penuh sedar bahawa ia adalah hamba Allah SWT dan berkewajipan mentadbir kehidupan ini mengikut kemahuan Allah.

Alhamdulillah, majoriti umat Islam di Malaysia masih tidak rela melepaskan diri dari unsur ketuhanan dan rabbani dari urusan kehidupan mereka. Mereka masih sensitif terhadap kedegilan-kedegilan manusia menyusun agenda kemaksiatan mereka di negara tercinta ini.

Umat Islam menggunakan saluran-saluran yang ada untuk menyuarakan bantahan terhadap program-program yang berpotensi membuka konfrantasi besar antara alam dan kedegilan manusia seperti bantahan terhadap Octoberfest, program Kissing Krist & Singto yang akhirnya dibatalkan oleh Jabatan Muzium Malaysia. Begitu juga umat Islam di Malaysia masih waras untuk ditipu dengan agenda-agenda ekonomi dan politik yang jauh dari unsur Rabbani lantas sentiasa akan menjalankan kerja-kerja memantau dan memberi nasihat kepada pihak yang berwajib.

Inilah contoh warga negara yang sangat patriotik, sayang kepada negaranya dan sangat cemas jika negara ini Allah datangkan tentera-tenteranya dalam bentuk fenomena alam yang akan berkonfrantasi dengan mereka yang masih berdegil untuk sedar bahawa mereka adalah makhluk Allah jua.

Sahibus Samahah Ustaz Zamri Hashim
Timbalan Mufti Perak

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts