Semua pihak termasuk agensi dan jabatan agama diseru terus kukuh mendepani cabaran globalisasi yang menghentam tembok kukuh agama Islam, khususnya di negeri ini.
Mufti Selangor, Dato’ Setia Mohd Tamyes Abd Wahid berkata, ia bagi memastikan arus kemajuan dan permodenan itu dapat digunakan sebagai senjata memperkasa gerakan dakwah serta bukan alat bagi musuh menghancurkan jati diri umat Islam.
Katanya, sekolah, masjid dan surau adalah aset paling berharga bagi Islam, dengan pendidikan berkesan, ilmu tepat serta kesungguhan pendidikan dalam menyampaikan ilmu melahirkan generasi memahami agama dengan betul.
“Tanggungjawab menjaga keutuhan Islam bukan hanya terletak kepada institusi agama semata-mata tetapi memerlukan usaha menyeluruh, kepakaran dari semua bidang setiap agensi dan jabatan.
“Oleh itu, dengan pendidikan berkesan, ilmu tepat serta kesungguhan pendidik dalam menyampaikan ilmu akan melahirkan generasi yang memahami agama dengan betul, sekali gus membantu menghindari masyarakat fahaman songsang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Seminar Pendidikan Fatwa negeri, di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Majlis Sultan Abdul Aziz Shah, di sini.
Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Insan), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Datuk Paimuzi Yahya.
Pada masa sama, Mohd Tamyes berkata, antara punca yang menyebabkan keruntuhan jati diri umat Islam yang perlu dielakkan ialah kurangnya asas pendidikan, agama dan akidah.
Katanya, ia turut membabitkan tidak mempunyai kesungguhan menggunakan masa dalam menambah ilmu pengetahuan dan berpecah belah sesama insan hanya kerana berbeza pendapat dalam masaalah khilafiyyah.
“Tiada guru yang musyid dijadikan rujukan tetapi hanya menerima maklumat tidak pasti kesahihannya melalui sumber internet.
“Seterusnya dapat membantu menghindari masyarakat dari dijangkiti fahaman songsang yang diperkenalkan musuh Islam,” katanya.
Beliau turut mengingatkan pendidik supaya menyampaikan ilmu kepada masyarakat dan tidak lupa diri supaya bersedia menjadi rujukan juga pembimbing dari anasir jahat. – selangorkini
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)