MAJORITI pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam menolak Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) ditandatangi atau diratifikasi oleh kerajaan.
Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, pertemuan NGO Islam bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa juga semalam dianggap perjumpaan sehala tanpa mendengar pandangan daripada menteri berkaitan isu penting itu.
Katanya, Mujahid membuat catatan tetapi tidak berdialog dengan NGO Islam yang membantah ICERD atau menyokongnya.
“Namun apa yang dijanjikan hanyalah membawa pandangan NGO ke pihak atasan dan memberi jaminan apa-apa tindakan diambil kerajaan tidak akan menjejaskan kepentingan orang Melayu Islam dan raja.
“Dalam masa yang sama juga, menteri turut menafikan ada tempoh masa ditetapkan oleh kerajaan untuk meratifikasi ICERD,” katanya hari ini.
Pada pertemuan itu juga, Zainul Rijal terkejut dengan ucapan wakil Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) yang seolah-olah memberi amaran bahawa NGO Islam ingin memecahkan perpaduan dan tidak bertamadun selain menafikan hak untuk menyatakan pendirian.
Katanya, sikap wakil SUHAKAM itu seakan-akan menafikan hak asasi dengan terus menghukum NGO Islam.
“Jelas seolah-olah SUHAKAM mahukan kerajaan menandatangani dan ratifikasi ICERD.
“Walau apa pun tindakan yang diambil oleh kerajaan, ia tidak boleh menghakis hak orang Melayu, kedudukan istimewa agama Islam dan raja Melayu,” katanya. – Harian Metro
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)