BANGI – Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Melayu Islam sederhana, kecewa dan terkilan terhadap pendirian negara-negara Islam yang menganggotai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), termasuk Malaysia kerana gagal membela nasib etnik muslim Uyghur, dalam semakan berkala hak asasi manusia di Geneva.
Presiden Isma, Aminuddin Yahaya berkata, sikap berdiam diri kebanyakan negara Islam, terutama Malaysia dalam menyuarakan pandangan dan tentangan terhadap penindasan ke atas etnik itu disifatkan sangat mendukacitakan.
Beliau kesal apabila kebanyakan negara anggota bersikap ‘double standard’ dalam memperjuangkan isu berkenaan, sedangkan penindasan yang dihadapi Uyghur juga sama seperti di Palestin dan Myanmar.
“Apakah kita hanya memperjuangkan Palestin sedang apa yang berlaku pada Uyghur juga mempunyai nasib yang teruk oleh rejim China.
“Kita juga kecewa dengan sikan gerakan-gerakan hak asasi manusia dunia, termasuk UNHRC yang membisu terhadap isu ini, Adakah mereka mengamalkan sikap selektif?,” katanya kepada Ismaweb.net.
Aminuddin berkata, sikap itu adalah kesan apabila dunia dikuasai oleh kuasa besar seperti China, sehingga negara dunia ketiga yang bergantung dengannya terpaksa akur dan tidak berani menyuarakan keberanian.
“Banyak negara-negara ketiga yang berhutang dengan China dalam projek ‘Belt dan Road Initiative’ sehingga mereka tidak lagi berani mengangkat suara walaupun saudara di Uyghur diseksa setiap hari.
“Justeru, kita menggesa OIC supaya segera bersidang dan memberikan tekanan kepada kerajaan China supaya segala kekejaman terhadap rakyat Uyghur dihentikan segera sebagaimana yang berlaku ke atas etnik Rohingya,” katanya.
Dalam sesi semakan berkala oleh Majlis Hak Asasi Manusia PBB, beberapa negara Barat mendesak China menutup kem tahanan khas yang menempatkan etnik muslim Uyghur.
Pada forum perbahasan semalam, Kanada, Amerika Syarikat dan Jerman mendesak China menghentikan penindasan ke atas umat Islam serta memansuhkan semua bentuk penahanan termasuk kem pengasingan di wilayah Xinjiang.
Bagaimanapun, kritikan itu tenggelam apabila kebanyakan negara Islam, termasuk Malaysia mengambil pendirian sebaliknya dan tidak bersuara mengenai isu itu. – Ismaweb
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)