KUALA LUMPUR – Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) akan menyerahkan resolusi Konvensyen Pertahankan Wilayah Islam (PERTIWI) 2018 kepada semua pihak, termasuk kerajaan dan Majlis Raja-Raja dalam masa terdekat.
Amir Isma, Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman berkata, tujuh resolusi yang digariskan dalam konvensyen kali ini adalah mesej standard yang membawa suara keseluruhan umat Islam supaya dipertimbangkan.
“Kerajaan sudah huru-hara, jadi resolusi ini kita serahkan juga kepada Majlis Raja-Raja agar dapat mengambil bahagian dalam perkara ini.
“Di samping itu, kita minta juga pihak pemerintah kembali kepada rasional mereka. Jadi, apa yang terkandung dalam resolusi konvensyen hari ini perlu difahami dan didengari oleh mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Konvensyen Pertahankan Wilayah Islam (Pertiwi) 2018 anjuran Isma di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.
Bertemakan ‘Mendepani Cabaran Dakwah Islam Era Malaysia Baharu’, konvensyen kali ini memberi pengisian kritikal, dalam usaha membentuk pencerahan kepada masyarakat Islam di Malaysia, berhubung ancaman pemikiran asing terutamanya liberalisme.
Mengulas lanjut, Abdullah Zaik turut menggesa parti pembangkang dan badan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili umat Islam supaya mengambil langkah sewajarnya dalam mengimbangi keadaan, termasuk menghentikan situasi semasa hari ini.
“Kita hanya mahu situasi yang lebih baik, suasana tenang, rasa aman dan dihormati serta menjamin hak-hak yang sepatutnya dinikmati.
“Kalau pemimpin sudah mula menghuru-harakan dan tidak bertanggungjawab dalam perundangan secara betul, maka rakyat rasa tidak selamat, bukan sahaja sekarang malah generasi akan datang,” katanya. – ismaweb
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)