DALAM aqidah Islam, jumhur ulama’ menegaskan bahawa para Malaikat itu tidak melakukan kesilapan. Pandangan ini dinyatakan oleh al-Qadi Iyyad dan Al-Imam al-Suyuti. Mereka berhujah dengan dua ayat daripada al-Quran (Surah al-Tahrim: 6 dan Surah al-Anbiya’: 27) yang menggambarkan sifat Malaikat itu menerima arahan dan tidak melakukan kesilapan.
Said Sabiq pula memetik hadith dari Sahih al-Bukhari yang menyatakan:
إِذَا قَضَى اللَّهُ الأَمْرَ فِي السَّمَاءِ ضَرَبَتِ الْمَلاَئِكَةُ بِأَجْنِحَتِهَا خُضْعَانًا لِقَوْلِهِ، كَأَنَّهُ سِلْسِلَةٌ عَلَى صَفْوَانٍ
Maksudnya: “Apabila Allah menetapkan suatu arahan di langit, para malaikat mengibas-ngibaskan sayapnya, kerana patuh akan arahan tersebut, firman yang didengarnya itu bagaikan gemerincing rantai besi (yang ditarik) di atas batu rata. (Perkara ini memekakkan mereka (sehingga jatuh pengsan kerana ketakutan). Mereka patuh pada arahan Allah, melakukan apa yang diarahkan kepada mereka.Menurut Sheikh Hasan Ayyub, pendapat yang menyatakan tentang kesempurnaan Malaikat ini adalah pandangan yang lahir dari kesepakatan jumhur ulama berdasarkan dalil dari Quran dan Sunnah. (Said Sabiq, Aqidah Islamiyyah, 1/114, Hassan Ayyub, Tabsit, 1/186)
Al-Imam al-Suyuti juga menggunakan ayat pertama dari Surah Fatir yang menyifatkan Malaikat sebagai utusan (Rasul), dan utusan Allah tidak mungkin melakukan kesilapan. (Umar Sulayman al-Ashqar, Alam al-Malaikat, 1/26).
Namun menurut al-Imam al-Qurtubi pula, terdapat juga mereka yang berpandangan bahawa Malaikat melakukan kesilapan. Mereka memetik pandangan dari ahli kitab (dikalangan Yahudi dan Kristian) berhubung kisah Harut dan Marut. Kisah ahli kitab ini sangat ganjil apabila mereka menggambarkan Malaikat tersebut telah meminum arak, menyembah berhala dan membunuh bayi.
Atas dasar itu itu, pandangan ini ditolak keras oleh sarjana Muslim termasuklah al-Imam al-Qurtubi, Ibn Kathir dan Sheikh Atiyyah Saqar. Menurut mereka, sandaran hujah Israiliyyat (kisah yang datang dari Bani Israel) yang dibawa oleh mereka ini disifatkan sebagai daif (lemah) bahkan bertentangan dengan al-Quran dan usul aqidah Islam. (Tafsir al-Qurtubi, 2/52, Umar Sulayman al-Ashqar, Alam al-Malaikat, 1/26).
Adalah sangat jelas menurut al-Quran, para Malaikat itu disifatkan sebagai makhluk yang sangat taat pada Allah serta tidak melakukan kesilapan dan dosa.
Sekiranya Malaikat melakukan kesilapan, barangkali nyawa orang lain yang di ambilnya dahulu, wahyu barangkali diutus pada orang yang salah, bahkan catatan amal juga mungkin boleh tersilap.
Moga Allah membimbing kita semua.
Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)
Subhanallah… Syukur ada penjelasan yang tepat diberikan kepada kami orang biasa yang dahagakan ilmu supaya tidak dikelirukan oleh kenyataan yang tidak berasas.